Cats in the Cradle merupakan sebuah lagu yang dipopularkan oleh kumpulan alternative-punk, Ugly Kid Joe pada awal 90-an dan menjadi siulan peminat muzik rock baharu. Lagu itu sebenarnya berasal dari era 70-an iaitu Harry Chapin, seorang penyanyi folk America yang juga aktivis kemanusiaan.
Lagu itu berkisar tentang ratapan seorang ayah yang melihat anak lelakinya membesar ketika dia sibuk dengan kerjayanya dan berasa mengabaikan si anak, tanpa sedar masa berlalu dan si anak kini berubah dengan cepat.
Harry mencipta lagu itu setelah diberikan puisi oleh isterinya, Sandra sempena kelahiran anak lelaki mereka, Josh dan ia menjadi trek popular pada 1974 serta mendapat anugerah Grammy.
Di dalamnya, lirik mempunyai pelbagai simbolik seperti ‘Silver Spoon‘ permainan kraf kanak-kanak, ‘Little Boy Blue‘ lagu buaian sebelum tidur dan ‘Man In The Moon‘, imaginasi anak tentang manusia di bulan.
Selain itu, lirik mengandungi luahan si anak dalam verse ‘”I’m gonna be like you Dad, you know I’m gonna be like you…”
Lagu itu dilupakan sehinggalah Ugly Kid Joe bertindak merakamkan semula lagu dalam bentuk Alternative bagi album mereka ‘America’s Least Wanted’ (1992) lalu mengembalikan keepikan karya tersebut.
Bagi vokalis UKJ, Whitfield Crane lagu itu sangat bermakna baginya kerana ia menggambarkan kekeluargaan semasa kecil.
Ironinya, Harry Chapin tidak sempat melihat anak lelakinya, Josh membesar apabila mati dilanggar lori trak semasa dalam perjalanan ke persembahan konsert amal di New York pada tahun 1981. Terdapat juga versi yang menyatakan ia adalah sumpahan lagu yang membolehkan Harry mencapai kejayaan sebagai artis.
Apapun, lagu ini pasti memberi kesedaran kepada para ayah yang berjuang di luar sana untuk tidak mengabaikan anak yang disayangi kerana masa berlalu begitu pantas dan akan mencuri detik kebahagian keluarga.
#ChivasAlexandria