#TheImpSis
The Impatient Sisters, satu nama yang semakin meningkat naik dalam kalangan peminat muzik bebas, terutamanya Gen Z dengan keunikan harmoni suara serta kemampuan mereka mengendalikan instrumen. Kumpulan tiga beradik, Soraya, Nazeera dan Irena yang berasal dari Kuantan ini memperjuangkan nuansa Indie-folk dan sepanjang durasi karier bermula tahun 2011, mereka sempat mengeluarkan dua buah album; The Impatient Sisters (2014) dan 7 Years (2022).
Trio ini semakin mendapat tempat di hati peminat setelah berjaya menjadi finalis Anugerah Lagu Indie pada tahun 2021. Kali ini mereka terus mengorak langkah dan tidak teragak-agak untuk mencuba genre yang jauh terpesong dari genre asal mereka iaitu Metal.
Mempertaruhkan lagu asal single mereka iaitu Comets & Stars yang dirilis pada tahun 2011 sekaligus menyambut ulang tahun ke 12 pada tahun ini, The Impatient Sisters begitu berani sekali berevolusi dengan merakam semula lagu hit mereka ini menjadi sebuah karya yang disuntik dengan elemen Metal dan Scream. Penulis pada mulanya mendengar dahulu versi asal lagu ini. Tidak dapat disangkal lagi, dengan suara yang manis dan harmoni, lagu Comets & Stars versi 2011 ini sememangnya cukup membuai deria pendengaran penulis. Ini menyebabkan penulis meletakkan satu aras tanda yang agak tinggi kepada rilisan terbaru Comets & Stars versi Metal.
Comet & Stars Versi Metal
Intro lagu ini membuatkan penulis menggoyangkan kepala. Satu perkataan ringkas; Sedap! Tetapi penulis lebih merasakan vibes punk berbanding metal. Namun ini adalah sesuatu yang sememangnya menjadi kebiasaan kerana punk dan metal sering mempunyai hubungan yang sukar ditafsirkan kerana kedua-duanya adalah genre yang lahir dari genre rock yang lebih ekstrim.
Bagaimanapun, penulis merasakan kombinasi vokal The Impatient Sisters yang manis dan harmonis di permulaan lagu agak kurang kena. Kedengaran seperti sebuah mashup; kurang attitude, rawness dan drive bila diadun bersama bunyian muzik keras. Jika dibandingkan dengan versi asal, versi asal lebih kemas dan mantap. Segalanya berubah apabila tiba ke bahagian pre-chorus di mana Shahril Redzwan membuat penampilan khas dengan Screamo bertenaga dan bahagian irama mula menunjukkan taring. Penulis mula goyah dan berubah fikiran. Tidak mengecewakan!
Setibanya bahagian chorus, paduan muzik bersama vokal The Impatient Sisters dan Scream Shahril Redzuan mula kedengaran serasi. Dengan getaran gitar dan bass, tempo yang pantas dan lirik yang catchy, penulis mula membayangkan bagaimana jika lagu ini dipersembahkan di mana-mana gig. Pasti peminat punk dan metal akan menoleh dan memenuhi ruang hadapan bagi menikmati keunikan lagu ini.
Dalam keinzalan penulis menikmati karya ini, lagu berdurasi 2 minit 56 saat ini akhirnya tamat. Ahhh… belum sempat puas penulis menikmati paduan petikan gitar dan bass riff yang mengasyikkan selepas chorus, lagu ini selesai. Amat jarang sekali lagu metal tamat di bawah 3 minit, apatah lagi faktor menarik lagu ini hanya bermula di pertengahan. Jika durasi lagu ini dipanjangkan sedikit lagi pastinya lebih mengasyikkan.
Temubual bersama The Impatient Sisters
MAMY: Bagaimana tercetusnya idea nak reimaginasi lagu yang dah sedia sedap ni kepada versi metal?
Irena: Drummer kitaorang Ryan, edit gambar kita jadi metal pastu kitaorang macam ehh cool juga. Jadi kan merch lepas tu terfikir cool juga if ada satu lagu Metal. Sebab kitaorang dalam latest album memang ada feature Shahril as screamer dalam lagu Kejam.
Soraya: Sebab nak main Rock The World (RTW) and kita suka try try benda baru!
Nazeera: Shahril best scream dalam lagu Kejam, so why not tukar Comets & Stars! Kasi surprise sikit!
MAMY: Suara Impatient Sisters lebih kepada sweet-sweet manja. Bagaimana boleh terdetik untuk mencuba genre baru yang lebih ekstrim?
Irena: Nak cuba sesuatu yang baru. Di luar comfort zone kami. And masa kat RTW inspired juga tengok community metal scene. Diaorang accept kita eventhough kitaorang jauh daripada genre metal.
Soraya: Tak penah rasa nak try benda baru tu, adalah benda yang kita patut takut. Sebab most important thing is kita sendiri nak cuba, and kita enjoy. Orang suka ke tak suka tu lain cerita haha!
Nazeera: Kalau tak cuba kita tak tau!
MAMY: Apakah ekspektasi kalian terhadap peminat-peminat The Impatient Sisters untuk naskah terbaru ni?
Irena: Hmm ada rasa nervous tapi kami enjoy perform lagu tu dengan band so rasa okay.
Soraya: Tak takut. Nape nak takut……kita suka have fun!
Nazeera: Sikit nervous, tapi hope diorang enjoy! Mungkin dapat tarik metal fans dengar The Impatient Sisters pula!
Secara keseluruhannya, penulis mengucapkan syabas kepada The Impatient Sisters yang berani keluar dari zon selesa dan mengambil jalan yang jauh berbeza dengan apa yang biasanya mereka lalui. Mungkin dari segi produksi, lagu ini tidak setanding dan sekemas lagu asal tetapi kreativiti mereka harus dipuji kerana tidak banyak band yang berani berkesperimentasi sehingga ke tahap ini. Semoga yang baik-baik sahaja untuk The Impatient Sisters dan terus berkarya melawan arus!