Kepada yang mengikuti perkembangan skena metal tanahair sekitar lewat 90an dan awal 2000an, nama Halun pasti melekat di cebisan memori. Band gothic black metal yang ditubuh pada 1996 tersebut berjaya mengeluarkan beberapa demo termasuk satu EP, Celestial Minstrel Midnight (2011) dan sebuah album penuh, Via Nex Via Dolere Via Tenebrae.
Walaupun Halun telah menamatkan hayatnya sejak 2015, pendiri utamanya, Silenced Minstrel masih tidak berhenti berkarya. Aktif menulis material di studio bilik tidurnya yang diberi nama Sky Panacea Enterprise, beliau kini sudah menerbitkan lima buah album solo termasuk sebuah album kompilasi, An Ode To A Sickening Year (Remixed 2020 Compilation) yang menghimpunkan lagu-lagu terbaik daripada tiga album pertama termasuk sebuah lagu baharu.
Menurut Silenced Minstrel atau nama sebenarnya Saiful Nizam Shukor, kompilasi ini mengandungi sembilan buah lagu yang diadun semula dan sebahagiannya dirakam kembali bertujuan sebagai refleksi evolusi band projek ini setelah lima tahun dan turut bertegas bahawa tidak akan mengulang lagi elemen muzikal yang terkandung di dalamnya untuk rilisan akan datang.
Setelah mendengar beberapa kali album ini, penulis memuji usaha, visi, kreativiti dan semangat yang ada pada Silenced Minstrel. Bukan mudah untuk kekal prolifik sebegini walaupun impaknya tidaklah sebesar yang diharapkan. Masih ramai peminat muzik waima dalam kalangan peminat muzik ekstrim tempatan yang masih belum menyedari kewujudan beliau walaupun sudah mempunyai profil yang agak baik dalam sirkit bawah tanah ditambah pula dengan diskografi yang berlambak.
Dari segi stail muzik, Silenced Minstrel menggabungkan banyak elemen seperti death/ black dan gothic metal ke dalam material beliau tetapi penulis secara jujur kurang berminat dengan bunyi dram dalam setiap lagu yang kedengaran terlalu elektronik. Komposisi lagu, lirik, imej memang tidak dinafikan sangat baik, tetapi ia akan jadi lebih baik jika dram dirakam secara live atau menggunakan perisian yang lebih elok. Ini hanyalah sekadar pendapat peribadi. Mungkin Silenced Minstrel mempunyai visi tersendiri tentang pilihannya.
Buat masa ini, Silenced Minstrel sedang giat dalam rangka promosinya untuk album baharu ini dan dalam masa sama turut mengumpul material untuk rilisan seterusnya. Beliau turut aktif bersama band Shadowed Grace yang membawa nuansa New Age Scifi Fantasy Instrumental Synthesizer.
Ikuti Silenced Minstrel di: