Kemunculan seorang usahawan yang dikaitkan dengan DS Vida, Iqbal dalam rancangan realiti TV ‘Big Stage’ menimbulkan kekecohan seantero alam.
Menyanyikan lagu ‘Biarlah Bulan Bicara’ dengan lenggok vokal yang serba jelik tanpa sebarang rasa hormat terhadap ‘undang-undang nyanyian’ sehingga hanya mendapat markah ‘5’ daripada juri komposer Ajai, ia menjadi bahan jenaka dan kecaman netizen.
Rata-rata, ramai yang mempertikaikan bagaimana persembahan sebegitu boleh dilepaskan menjadi tontonan umum.
Ini satu petanda baik kerana akhirnya sedikit demi sedikit, rakyat jelata mula sedar bahawa banyak sampah sarap yang bermaharajalela di kaca TV (baca: arus perdana) berbanding bakat-bakat sebenar yang ada di luar sana.
Yang bertanggungjawab di sini ialah stesen TV Astro yang tidak mempunyai integriti dalam paparan program-program yang boleh membina negara.
Oleh itu, tidak hairanlah penyanyi Hattan sendiri memaki hamun stesen TV berkenaan agar ada sifat kebertanggungjawaban dalam membuat program-program. Hotshot pengacara Astro sendiri Dato’ AC Mizal juga menyindir ‘yang nyanyi sumbang pun tak sedar jadi bahan lawak’.
@sitizoner Reply to @aliff.kmi #fyp
Begitu juga penyanyi viral, Azman Naim Mantra yang turut menyatakan rasa kesal dan kesian terhadap situasi ini – ‘orang dalam industri seni rosakkan industri seni itu sendiri’.
https://www.facebook.com/azmannaim44mantra/posts/472621554453493
Inilah masalah negara Malaysia. Sistem yang ada dikawal, diselia dan dipantau (gate keeper) oleh mereka yang dari kalangan perosak. Perosak-perosak seni yang hanya mementingkan rating dan populariti tanpa mempeduli tentang integriti kesenian dan peradaban negara.
Hairannya, program realiti ‘Big Stage’ sendiri menempel kepada rating You Tube (online) dan hanya peserta-peserta yang memenuhi kriteria ‘views’ tertentu dibawa masuk ke kaca TV. Dalam era digital dan kripto, adalah mustahil stesen-stesen ‘kampungan dengan bajet besar’ ini boleh bertahan.
Golongan Takda ‘Life’ Sokong Stesen-Stesen Murahan
Persoalannya, siapa yang menyokong stesen ini? Siapa yang pergi bertepuk tangan di dewan? Mereka ini tidak ada kehidupan kah? Malang sekali, jawapannya YA. Stesen ini disokong oleh mereka daripada golongan yang tidak mempunyai kehidupan, jalur hiburan yang sempit dan boleh dianggap buta seni.
Namun di sini, seperti kata Hattan sudah jelas bahawa ‘ketidaktanggungjawaban’ stesen inilah yang memberi ruang kepada golongan tertentu untuk merosakkan dan meranapkan maruah muzik Malaysia sendiri.
Akibatnya, mereka yang miskin seni diangkat manakala artis-artis yang bertungkus-lumus menyalurkan kreativiti mereka terpinggir, terutama karyawan-karyawan muda.
Baru-baru ini, kumpulan independen tempatan, Sekumpulan Orang Gila (SOG) berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) terbitan TV3 dan ini adalah contoh pembaharuan yang perlu disokong.
Seharusnya, kita perlu menampilkan lebih banyak SOG-SOG dengan sokongan stesen-stesen media kerana artis-artis seperti inilah yang memacu masa depan muzik negara dan memberi kesegaran industri yang diperlukan.
Reformasi Penyelamat Industri Muzik Negara
Akhir kalam, seperti mana pernah dikupas oleh saudara Edy J (gitaris ACAB/ Gerhana Skacinta) dalam YouTube MAMY di bawah, apa yang diperlukan sebenarnya ialah Reformasi dalam industri muzik negara.
Kita tidak boleh berterusan membiarkan stesen-stesen dan perosak-perosak ini bermaharajalela dan membiarkan artis, vokalis dan karyawan dengan bakat sebenar terpinggir di medan-medan seperti tikus bandar bergelandangan mencari makan. Ini konsep yang salah dan perlu dielakkan berleluasa dalam negara kita.
Lebih meruncing, isu ini memperlihatkan ketidakadilan kerana ia menyebabkan artis-artis yang benar-benar berwibawa dan perlu ditonjolkan bakat telah dinafikan hak dan slot penyertaan mereka. Dengan reformasi muzik, kita akan berubah menaikkan artis-artis hebat yang membawa wajah sebenar negara, bukannya ikon-ikon palsu yang akhirnya menjadi bahan jenaka dan lawak antarabangsa.
Muzik adalah lambang keperibadian manusia, anda boleh membeli rating dan guna kekayaan untuk populariti tapi akhirnya, ‘Money and Fame can’t buy Class‘.
#ChivasAlexandria