‘Donna’ – Sebuah Kisah Cinta Yang Tidak Kesampaian

oleh Anome
1.8K bacaan

Pada tanggal 3 Februari 1959, dunia telah dikejutkan dengan berita pemergian seorang bintang rock n roll yang sedang meningkat naik, Ritchie Valens. Beliau terlibat dengan sebuah insiden nahas kapal terbang yang turut meragut nyawa penyanyi Buddy Holly dan The Big Bopper yang mana hari tersebut kemudiannya dikenali sebagai “The Day The Music Died.”

Ritchie Valens merupakan seorang penyanyi-penulis yang berpengaruh di dalam gerakan rock Chicano. Beliau telah merekodkan beberapa single terkenal dalam karier pendek beliau terutamanya La Bamba dan Donna yang dilancarkan pada 1958.

Donna merupakan sebuah puisi cinta Ritchie Valens terhadap kekasih hatinya, Donna Ludwig yang kemudiannya menjadi sebuah balada popular yang berjaya menginjak naik ke tangga kedua di dalam carta pop. Donna telah direkodkan ketika Ritchie Valens berumur 17 tahun di Los Angeles beberapa bulan sebelum pemergian beliau.

Donna Ludwig dan Ritchie Valens merupakan pelajar di San Fernando High dan mula bercinta pada tahun 1957 selepas berjumpa di sebuah parti di mana Ritchie Valens dan kugirannya, The Silhouettes bermain. Hubungan mereka pada awalnya dihalang oleh bapa Donna Ludwig atas alasan Ritchie Valens berasal daripada keluarga miskin dan juga bangsa latin. Hubungan mereka mula diterima hanya apabila Ritchie Valens menjadi seorang penyanyi yang sedang melonjak naik namanya ketika itu.

Menurut Donna Ludwig, Ritchie Valens menceritakan kepadanya bahawa Donna merupakan sebuah lagu untuknya dan beliau hanya mendengarkannya pertama kali dimainkan di corong radio di dalam keretanya. Rakan-rakannya yang turut berada di dalam kereta ketika itu menjadi gila apabila mendengarkan lagu tersebut buat pertama kalinya dan lebih teruja apabila radio mengulang siar lagu tersebut.

Kisah cinta mereka kemudiannya difilemkan di dalam sebuah filem biografi La Bamba yang dilancarkan pada tahun 1987. Filem tersebut menceritakan tentang hidup dan kerjaya Ritchie Valens. Ia turut menceritakan kesan yang dibawa oleh kerjaya Ritchie Valens terhadap hidup abang, teman wanita dan kesemua ahli keluarganya.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅