Apa Pendirian Spotify Terhadap Isu Joe Rogan?

oleh Anome
1.2K bacaan

Beberapa minggu belakangan ini, dunia hangat memperkatakan tentang isu para pengguna Spotify yang menghentikan langganan mereka dan beralih ke platform muzik lain. Hal ini berpunca disebabkan isu Joe Rogan dan Spotify yang berlegar-legar di laman web dan media sosial.

Joe Rogan merupakan seorang bintang siniar (podcast) Spotify di  bawah nama The Joe Rogan’s Experience yang telah ditubuhkan sejak 24 Disember 2009. The Joe Rogan’s Experience telah mencapai sejumlah 1770 episod setakat 2 Februari 2022.

Isu ini menjadi kontroversi disebabkan oleh penggunaan perkataan-perkataan cerca perkauman yang telah digunakan beliau pada episod-episod awal siniarnya. Beliau juga bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat palsu mengenai virus Covid-19 di dalam siniar beliau yang menyebabkan kemarahan netizen.

Akibat hentaman bertalu-talu yang diterima daripada masyarakat, Joe Rogan bertindak mengeluarkan pemohonan maaf atas penggunaan perkataan-perkataan cerca perkauman sebelumnya. Beliau juga turut menurunkan sebilangan besar episod awal siniar The Joe Rogan’s Experience dari laman Spotify.

CEO Spotify, Daniel Ek turut mengeluarkan kenyataan menyelar tindakan Joe Rogan menggunakan perkataan-perkataan tersebut. Bagaimanapun, di dalam sebuah memo kepada pekerjanya, Daniel Ek menyatakan pendiriannya untuk tidak membatalkan siniar The Joe Rogan’s Experience daripada terus bersiaran di Spotify.

Di dalam memo tersebut, Daniel Ek turut menyatakan bahawa rancangan siniar tersebut telah menjadi ekslusif kepada Spotify sejak tahun 2020 dan syarikat telah membuat satu perjanjian lesen penyiaran bersama Joe Rogan yang bernilai lebih 100 Juta USD.

Daniel Ek menyatakan bahawa beliau percaya dengan cara mendiamkan Joe Rogan bukanlah jawapan bagi isu tersebut. Beliau turut menyatakan bahawa Spotify perlu mempunyai garis panduan yang jelas untuk konten yang dibawakan dan tindakan perlu diambil jika garis panduan dilanggar. Bagaimanapun membatalkan suara-suara yang dibawa merupakan satu risiko yang tinggi.

Disebabkan oleh penyebaran maklumat palsu mengenai virus Covid-19 di dalam siniar Joe Rogan, Spotify menerima boikot skala kecil dan kritikan atas talian secara berkala daripada para pemuzik. Malah sebilangan kecil turut menurunkan muzik mereka daripada Spotify dan berpindah ke platform yang lain seperti Apple Music, Youtube Music, Tidal, dan sebagainya.

Berikutan kontroversi dua isu ini, nilai saham Spotify telah jatuh menjunam pada 3 Februari yang lalu. Jika dikumpulkan, terdapat lebih kurang 11 juta pendengar untuk setiap episod The Joe Rogan’s Experience. Bagi menghadapi tekanan yang semakin membesar daripada masyarakat, kini Spotify harus menyatakan pendirian terkini mereka terhadap kontroversi yang dihadapi.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅