Trophy Knives – sebuah kumpulan muzik punk tempatan yang amat disegani, minggu ini telah melancarkan single dan video muzik (MV) terbaharu mereka berjudul Act 2: The Revolution.
Naskah ini merupakan single kelima dipetik daripada album Look the Other Way yang dijadualkan menemui peminat pada bulan Ogos 2022.
MV single ini meneruskan inisiatif Trophy Knives untuk menghasilkan video bermutu tinggi sebagaimana video sebelum ini iaitu High Horses dan Act 1: The Acknowledgement. Jika diteliti, ketiga-tiga video ini mempunyai persamaan dari segi tema dan lirik dan boleh dikatakan sebagai sebuah trilogi untuk menggambarkan mesej yang cuba disampaikan oleh Trophy Knives.
Kumpulan yang dianggotai oleh Vinesh Muniandy (vokal), Sani Khalid (gitar utama dan vokal), Syamir Ali (gitar bass) dan Ryan Lee Bhaskaran (dram), telah memilih untuk menggunakan konsep persembahan live bagi MV ini kerana lirik lagu Act 2: The Revolution sudah cukup jelas untuk mengartikulasikan kesukaran yang dihadapi oleh golongan minoriti dalam mengharungi kehidupan sehari-hari.
MV kali ini diarahkan oleh Azizulhakim Salleh dari Fracas Works, dan Trophy Knives telah mengesahkan bahawa penghasilannya adalah dengan kerjasama dan kolaborasi dengan Cendana Malaysia, Penjana dan Mycreative Ventures.
Menurut Vinesh Muniandy, “Mustahil untuk kami menyelindungi mesej yang cuba kami sampaikan di dalam lagu ini kerana ianya amat jelas. Ia adalah berkenaan isu kematian banduan di dalam tahanan yang membimbangkan dan kami amat terkesan apabila membaca laporan tentang isu ini terutama sekali apabila ia melibatkan golongan atau kaum minoriti. Kekejaman ini hendaklah dihentikan sama sekali dan kami memohon agar rakyat negara ini dan masyarakat global agar lebih sedar betapa seriusnya perkara ini. Ini adalah satu revolusi dari Trophy Knives dan kami menyeru agar anda semua dapat bersama-sama kami!”
MV Act 2: The Revolution kini boleh ditonton di platform YouTube. Ikuti perkembangan terkini Trophy Knives di: