Tahun 2020 dan 2021 merupakan tahun gelap bagi anak-anak seni seluruh dunia, khususnya pemuzik di Malaysia. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan membantutkan segala aktiviti seni mereka untuk mengeluarkan material baharu selain melumpuhkan terus niat untuk membuat persembahan di pentas-pentas bagi mempromosi bakat dan kreativiti.
Walaupun dengan segala keterbatasan, lahir juga beberapa karya yang baik, terima kasih kepada teknologi yang semakin maju dan memungkinkan segalanya berlaku hanya dari rumah.
Di Lembah Klang, sekumpulan pemuzik independen dan alternatif mengapikan semula wawasan dan usaha mereka untuk menghidupkan apresiasi terhadap sejarah scene underground Malaysia yang kekal di hati ramai pencinta muzik dan budaya yang menjadi nadi jiwa muda anak Malaya moden sejak beberapa dekad yang lalu.
Fareeq Alias, salah seorang yang pernah aktif dalam scene tersebut, memikul peranan untuk meraikan suasana kemeriahan 10, 20, dan 30 tahun dahulu. Bersama rakan-rakan seangkatan beliau, Fareeq mengangkat semula obor itu demi menyumbangkan senaskah dua khazanah bagi pengalaman yang cukup bermakna bagi komuniti seni lokal yang mungkin dilupai dan terlepas pandang oleh industri.
Maka lahirlah PEKIK, sebuah album runut bunyi bagi dokumentari dengan tajuk sama. Sementara menunggu naskah dokumentari tersebut hadir menemui peminat pertengahan tahun ini, produksi Stereo Pixels Sdn. Bhd. terlebih dahulu menghadiahkan album dengan ketumbukan 17 band dan artis solo ini ke pasaran dalam bentuk boxset yang bagi penulis sangat berbaloi untuk disimpan sebagai koleksi.
Album ini diterbitkan secara rasmi pada Disember 2021 dan masih boleh dipesan di laman web mereka bagi yang berminat. Lagu utama dalam kompilasi ini, Pekik menampilkan Radhi (OAG) dan Tam (Blind Tribe), dua nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam babak alternatif tempatan kerana suara dan sumbangan mereka yang sangat besar dan telah menginspirasikan puluhan dan mungkin ratusan band-band baharu sejak dekad 90an.
Single tersebut diringi oleh pemuzik-pemuzik berkaliber yang dikenali sebagai Budak Scene All-Stars menumpukan ahli-ahli daripada setiap band yang berperanan besar dalam membentuk kemaraan scene muzik independen. Antaranya adalah Izzat Uzaini (bassis) dari kumpulan Hujan; Kudux (Pesawat), serta dua gitaris handalan iaitu Ihzwan Omar ataupun ‘Ijoo’ (monoloQue) dan Alel Hashim (Upon Arrival), yang juga bertindak sebagai penerbit lagu PEKIK ini.
Selain itu, kugiran dan artis-artis bebas lain turut mempersembahkan karya-karya mereka sebagai kontribusi kepada bara baru ini merangkumi semua genre yang pernah mewarnai scene kita.
Dari indie sampai ke metal, grunge sampai ke reggae, hardcore dan rapcore sampailah ke punk dan serat-serat di antara, semangat berkugiran dihidupkan semula melalui album runut bunyi yang dinamik ini. Nama-nama yang cukup biasa dilihat pada poster-poster serta flyers gig sekitar 20 tahun lepas adalah:
Private Whizz, kumpulan grunge Melayu yang bereputasi kebanggan halaman ‘Kepong Garden’, dengan Sinar Akan Tiba; Zero, bawaan baru yang bertenaga daripada kumpulan pengasas grunge-rock di kotaraya KL, Motherland; Mat Koboi, oleh kumpulan peneraju gerakan muzik berat ‘Keramat Durjana’ Naratu; Bangun, satu tandukan berkuasa oleh veteran hardcore Malaya, Restraint; Warzone, dari ‘supergroup’ rapcore terbaru lahiran Malaysia, Strikeout; sahutan peringatan No Hypocrisy dari rockers 90an kegemaran, Dead Mushroom; teriakan gumbira Couple, dengan sound indie sebenar melalui Goddamn Mighty Tune, cukup dengan melodi keanak-anakan kesukaan pengunjung gigs; Upon Arrival dengan Built To Last, satu tumbukan ketat yang memberangsangkan bagi kepalakepala metal yang menjiwai rentak begitu; Auburn, trio kultus dengan tona rock alternatif melalui lagu BM mereka berjudul Youth, yang menceritakan tentang paranoia akhir zaman; Nervedeless, kuartet post-grunge tempatan dengan trek mereka For A While; X-cited Screamers, dengan kerancakan riff gitar berat berintikan post-hardcore serta melodi vokal yang catchy melalui kontribusi Motinovation; irama reggae dengan resipi modern dari King I & The EasyBabaSound; anthem punk penuh bertenaga dari Glasswar; kata-kata nasihat yang bernas dari ‘profesor’ scene bebas merangkap ‘Bob Dylan Malaysia’, Azmyl Yunor, dengan pesanan Orang Kita yang mencuit; Francis Wolf (bintang underground lewat 90an bersama trio pop-punk Spunky Funggy) dengan lagu penutupnya, Paint.
Istimewanya, hampir kesemua lagu dalam kompilasi ini merupakan lagu baharu dan ada antaranya yang dirakam secara live khas untuk Pekik. Menurut Fareeq:
“Mostly memang lagu baru. Cuma lagu PEKIK yang memang dibuat khas untuk dokumentari. But some of the bands memang main lagu baru (either from latest single, from new or upcoming album or new recording). Senarai trek-trek baru: 1,2,3,4,5,6,11,12,13,16.”
Selain lagu-lagu rakaman studio, kompilasi Pekik turut menampilkan rakaman live daripada dua sesi iaitu Live Untuk Dokumentari Pekik dan Live Dari Bilik Sebelah. Ditanya tentang pilihan untuk mempilkan trek live, Fareeq memberitahu:
“Untuk doku PEKIK memang kita nak includekan band live performances. So basically those track yang kita mark untuk dokumentari PEKIK, akan dimuatkan dalam doku PEKIK (half or full song). Yang selebihnya kta akan guna untuk background music dalam doku.
‘Dr Bilik Sebelah’ pulak actually web series yang kitaorang buat. Kalau tengok dalam channel YouTube SPXMuzik, antara lagu yang dah pernah keluar adalah Dish, Private Whizz, Motherland dan Patriots.”
Proses menyenarai pendek kesemua band dan melaksanakan rakaman live memang mencabar, lebih-lebih lagi ketika negara masih dibelenggu pandemik, namun visi unit ini jelas, demi mengembalikan nostalgia dan memeriahkan semula gerakan muzik alternatif tempatan untuk rujukan anak-anak muda di masa akan datang.
“Album kompilasi ni kira macam satu introduction utk projek PEKIK. Sebab dulu-dulu, memang banyak compilation dibuat, tapi sekarang dah tak ada. So kita bagi intro sikit la, macam mengimbau nostalgia zaman late 90s. Selain tu compilation album ni jugak adalah OST untuk docu film PEKIK.
Docu film PEKIK pulak kita produce dengan niat untuk mendokumentasikan movement-movement awal pergerakan music underground kat Malaysia ni, sampailah muzik indie dapat breakthrough market mainstream. It’s like a tribute to those unsung heroes, yang maybe generasi sekarang ni kurang kenal. Sejarah perlu didokumenkan, untuk rujukan generasi akan datang.”
Album kompilasi Pekik tampil dengan sebuah kelainan iaitu menggabungkan lagu-lagu rakaman studio dan live. Dari segi konsep, ia bersesuaian dengan keadaan semasa malah menggambarkan situasi sebenar rintangan yang dihadapi pengkarya-pengkarya ini untuk terus berjuang mengetengahkan bakat masing-masing walau dunia belum pulih sepenuhnya daripada virus durjana.
Tolak ke tepi kualiti rakaman yang mungkin tidak memuaskan hati sesetengah pendengar kerana usaha dan proses itu sendiri adalah sebuah kejayaan yang boleh dibanggakan. Syabas team Pekik!
Kepada yang berminat untuk membeli khazanah ini sebagai koleksi selain menyokong usaha murni mereka, anda boleh layari laman web PEKIK untuk membuat tempahan.
Ikuti PEKIK di: