Tahun 2021, muzik rock masih hidup dengan baik. Sayangnya ia agak kurang popular sehingga tenggelam dalam lambakan muzik pop dan hip hop yang mula menguasai hatta dalam scene indipendent sendiri. Contohnya kita lihat pada Anugerah Lagu Indie yang gagal memartabatkan lagu-lagu rock dan metal pada peringkat semi-final lagi. Jadi mari kita telusuri serba ringkas 15 buah lagu pilihan penulis yang membawa nafas segar kepada genre ini.
1. Sekumpulan Orang Gila – Tugu Ugut
– Bukan saja kerana lagu ini merupakan lagu rock terbaik untuk tahun ini, malah ia boleh dijadikan satu benchmark kepada pemuzik-pemuzik lain untuk buat satu eksperimentasi terhadap muzik dengan gaya yang luar biasa seperti ini. Anda boleh menghasilkan muzik yang bagus walau dengan genre heavy, tidak perlu menjadi pop psychedelic untuk berasa lebih bebas dengan muzik dan nusantara yang sedang menjadi trend hari ini.
2. Patriots – Misguided
– Bagaimana sepatutnya muzik rock pada tahun 2021 dihasilkan? Seperti lagu inilah. Rancak, energetik, ada karisma, berselera moden dengan produksi yang kemas. Tidak terlekat kepada nostalgia muzik lama ataupun mengitar semula apa yang sudah biasa kita dengar suatu ketika dahulu. Dari metal, pop punk, pop rock hinggalah ke J-Rock, Patriots memiliki bakat dalam genre sebegini. Boleh kita angkat lagu ini menjadi simbol kepada muzik baru Malaysia dalam dekad 2020’an ini.
3. Plvindre – 1990’s
– Dikhabarkan ini adalah lagu terakhir Plvindre sebelum dibubarkan. Tolong betulkan jika salah informasi. Jika benar, sayang seribu kali sayang. Kenapa? Plvindre cuba memasukkan trend terkini yang sedang menjadi fenomena dari luar ke dalam scene local. Iaitu eksperimen diantara metal dan alternative rock, seperti band Issues, Dance Gavin Dance, dan seumpamanya. Dan ia menjadi. Seperti nilah jenis ekperimental rock yang sepatutnya diusahakan oleh band-band generasi baru.
https://www.youtube.com/watch?v=zZQksK0qS0U
4. Jemson feat. Noh – Lu Power
– Projek band dari dua otai yang sangat berbisa, dengan jemputan legenda yang masih menyengat. Lagu ini adalah bukti bahawa membawa konsep revival terhadap genre lama tidak semestinya perlu kedengaran persis bunyian klasik dan mendayu-dayu. Kerana lagu ini begitu bertenaga dengan attitude yang sepatutnya ada pada era baru ini. Meskipun mereka cuba membawa kembali genre rock 80’an, tetapi ia kedengaran segar, tidak kedengaran seperti 80’an. Inilah revival yang diperlukan.
5. Hey Jay – Good Vibration
– Kualiti muzik alternative rock sejak setahun dua ini agak terumbang-ambing dan tidak konsisten. Seharusnya band seperti Hey Jay ini wajar dijadikan inspirasi, namun sayangnya mereka tidak dikenali ramai. Meskipun lagu Good Vibration ini menggunapakai konsep alternative rock yang biasa didengar pada dekad 2000’an lalu, tetapi tak boleh dinafikan ia membawa citarasa yang tinggi terhadap genre tersebut. Kepada band-band alternative rock seperti ini, contohilah penulisan lagu Hey Jay yang memang sedap gila.
6. Trophy Knives – Nauseous
– Tahun ini adalah tahun Trophy Knive. Antara band yang menjadi wajah scene muzik alternative kita dengan muzik yang membakar jiwa. Meskipun konsep akarnya adalah punk rock, tetapi lagu mereka langsung tidak terikat dengan punk rock yang biasa kita dengar di gig-gig local. Lagu Nausesous ini memiliki metalnya sendiri, ada hardcorenya sendiri dan sudah tentu ada jiwanya sendiri. Karakter lagu seperti inilah yang scene rock kita perlukan, jangan jadi tipikal muzik yang sudah ada, tetapi cuba kembangkannya jauh ke hadapan.
7. Modread feat. Riko – Melarayu
– Sedang sebahagian band-band muda lain menaiki mesin masa untuk menggali apa yang sudah ada di belakang untuk dikitar semula, band yang berusia matang seperti Modread pula yang mengambil langkah mengorek apa yang ada pada masa kini. Lagu Melarayu membuktikan jiwa Modread masih muda remaja. Masih dahagakan kerancakan yang mengalir dari riff berat, drum yang kencang, rap yang laju dan scream yang membangkitkan adrenalin sehingga ia dapat kita rasai dari lagu Melarayu ini.
8. Yubi – Terhenti Seketika
– Yubi membuktikan banyak lambakan band-band yang bagus tetapi tidak diberi perhatian yang sepatutnya. Lagu yang bagus seperti ini juga mendapat view yang tidak memberangsangkan. Projek supergrup ini membariskan pemuzik-pemuzik muda yang berpengalaman dalam scene independent, dengan genre yang fresh persis One Ok Rock atau Sleeping With Sirens. Rasanya jika band Yubi ini di Indonesia misalnya, sudah sebaris dengan Slap It Out, Alone At Last atau Forevenge.
9. An Honest Mistake – All Over Again
– Tidak melampau untuk menobatkan An Honest Mistake adalah antara band moden rock terbaik dalam era ini, cumanya entah kenapa mereka ini sangat underated. All Over Again adalah bukti betapa mereka tidak pernah kekeringan idea untuk menjaga mutu produksi mereka, dari penulisan lagu, rakaman sehingga ke video muzik. Dengarkan revolusi lagu lama mereka, dan lagu All Over Again ini, bagaimana mereka menginovasi muzik mereka tanpa perlu mengubah genre pop punk mereka.
10. Half Asleep – Au Revoir
– Apabila bercakap tentang band yang underated, Half Aleep adalah salah satu contohnya. Lagu Au Revoir menunjukkan peningkatan mereka yang semakin matang dalam penghasilan lagu pop punk dan punk rock yang baik. Cukup sifat, ada keseronokan dia, ada parti dia, ada rasa muda dia. Ini yang menjadi kelebihan pop punk atau punk rock, ia menjadikan anda seronok disepanjang lagu. Perhatikan band ini, dengarkan lagu ini, anda tidak akan kecewa.
11. Segi – Perisai Jiwa
– Apabila memasuki daerah alternative atau pop rock, Segi adalah antara yang terbaik kita ada. Perisai Jiwa adalah lagu yang membuatkan penulis rasa sangat bersalah jika tidak memasukkannya di dalam senarai. Kualiti yang dipersembahkan benar-benar sangat bernilai sehingga menimbulkan rasa sayang terhadap produk seperti ini untuk berlalu tanpa dihebahkan. Kita kena mula belajar untuk menikmati lagu-lagu berkualiti seperti ini, kerana sayang sekiranya ia terbiar tanpa diketahui kewujudannya dengan begitu sahaja.
12. T.I.M – Kata Hati
– Satu evolusi dalam muzik band T.I.M yang begitu mengujakan. Dalam lagu Kata Hati ini, mereka sudah mula berani memasukkan elemen hardcore dan metal di dalam muzik mereka yang sebelum ini lebih fokus kepada punk rock dan pop punk. Ini adalah satu bentu inovasi yang bagus untuk menarik perhatian pendengar di luar sana. Apa yang bagus tentang T.I.M ini, mereka kini begitu menjaga mutu lagu-lagu mereka, dan dengan kualiti seperti lagu Kata Hati ini, mereka sepatutnya sudah menjadi tarikan di sirkit gig tempatan.
13. The Fridays – Responsible
– Nama lama dalam scene alternative rock tempatan yang memberi harapan agar genre ini kekal hidup. Entahlah, beberapa lagu alternative rock yang dihasilkan oleh band tempatan dalam 3-4 tahun kebelakangan ini tidak memberangsangkan, mujur adanya band seperti The Fridays ini. Mereka lebih menjaga karakter muzik mereka tanpa terikut-ikut trend band-band lain yang condong kepada gaya yang sama. Dan ya, lagu yang bagus seperti ini masih tidak mendapat perhatian yang selayaknya.
14. Radhi OAG, Tam Blind Tribe & Budak Scene All Stars – Pekik
– Sebuah lagu dari band projek istimewa yang mebariskan nama-nama berpengalaman luas dalam scene independent. Dan ia didepani oleh Radhi OAG, seorang legenda alternative rock yang sudah berstatus rockstar dalam industri muzik Malaysia. Apa yang menariknya lagu Pekik ini bukan kerana ia dibarisi pemuzik yang hebat semata-mata, tetapi ia cuba membawa nafas baru kepada apa yang sudah kita biasa dengar dari band-band asal pemuzik-pemuzik ini. Apatah lagi ia dinyanyikan oleh Radhi OAG dan Tam Blind Tribe, sesuatu yang diluar zon selesa mereka. Dan ia menjadikan lagu ini istimewa.
15. Motherwit – Thunder
– Tidak banyak band indie rock baru yang memberangsangkan, namun Motherwit membawakan genre ini dengan baik. Ia seperti menyambung legasi band-band indie rock yang begitu menjaga kualiti seperti Kyoto Protocol atau They Will Kill Us All. Namun mungkin kerana sound seperti ini sudah banyak dibawkan oleh band tempatan yang lain, kehardiran lagu ini sukar untuk menarik perhatian pendengar. Tetapi percayalah, berbanding band-band lain yang sama genre dengan mereka, Motherwit adalah antara yang terbaik kita ada.