7.1K
Seperti mana senarai untuk 15 Lagu Rock dalam posting sebelum ini, kali ini penulis membawakan lagu-lagu metal yang menjadi pilihan penulis. Ini antara lagu-lagu yang memberikan nafas segar dan moden dari band-band muda yang akan meneruskan legasi muzik metal tanah air.
- Purbawara – Shaheed War
- Jika kita mahu menjadikan muzik metal kita sebagai bahan eksport kepada industri luar, lagu Shaheed War adalah contoh produk yang boleh kita banggakan. Ia memecahkan taboo kepada scene metal tempatan dengan sesuatu yang unik dan segar. Sangat membanggakan apablia produksi yang berkualiti seperti ini datang daripada anak muda tempatan. Bagaimana mereka menjaga kualiti penulisan lagu, bagaimana mereka membentuk tema dan penampilan mereka, bagaimana mereka memilih elemen-elemen baru dalam mencipta genre ekstrim mereka sendiri , bagaimana mereka menyusun muzik di dalam lagu mereka dan yang paling penting bagaimana mereka persembahkan kepada pendengar.
- Radikal – Radiasi
- Metalcore tidak mudah mati meskipun penurunan kadar populariti di sini semakin menjunam. Namun ia tidak memandulkan kelahiran muzik metalcore yang berkualiti, contohnya adalah lagu Radiasi ini sendiri. Band Radikal sangat jarang mengeluarkan lagu baru tetapi apabila mereka muncul dengan lagu baru, lagu yang dikeluarkan itu sendiri sangat berbaloi untuk dilaburkan. Anak muda tidak pernah mati akal untuk menghasilkan muzik yang mantap, Cuma ia memerlukan sokongan dan perhatian agar mereka dapat mengekalkan motivasi dalam jiwa mereka.
- Mothflesh – The Lotus Denial
- Ini satu lagi bukti bahawa anak tempatan mampu menghasilkan produk metal yang berkualiti tinggi. Produksi rakaman yang cantik, bersih dan kemas. Permainan mereka dalam lagu ini juga tight. Peranan vokal dalam lagu ini juga memainkan peranan yang sangat penting. Menjadikan lagu The Lotus Denial ke satu level yang lebih agung. Dari lagu ke lagu, Mothflesh menunjukan prestasi yang semakin baik hingga ke level cemerlang. Jika di luar sudah ada band seperti Lamb Of God, Gojira ataupun Orbit Culture, apa kurangnya jika kita Mothflesh.
- SOG feat. Tim Lambesis – Second Voyage
- Menjemput Tim Lambesis sebagai penampilan istimewa dalam lagu tempatan? Sekumpulan Orang Gila sentiasa ada saja kejutan yang mereka mahu bikin. Punggung kita pun sentiasa terasa panas dibuatnya. Lagu Second Voyage meletakkan leval yang istimewa kepada muzik metal tempatan. Bayangkan Tim Lambesis dari band agung dalam scene metal antarabangsa menyanyi dalam sebuah lagu yang pekat dengan elemen melayu dari lenggok melodinya sehinggalah ke permainan instrumennya. Ini sejarah yang membanggakan untuk industri muzik kita secara keseluruhannya.
- May of Scarlett – Afornisme
- Akhirnya ada juga band Malaysia yang mahu meneroka sound baru dalam genre metalcore agar ktita tidak kelihatan ketinggalan dalam trend terkini. May Of Scarlet telah mengambil langkah berani dengan improvasi muzik mereka kepada sesuatu yang lebih fresh tanpa mengorbankan prinsip muzik mereka. Lagu Afornisme ini pasti mengingatkan kepada band-band rock dan metal dari luar seperti Bad Omens atau Imminace di mana sound begini sudah menjadi trend hatta di Negara jiran kita, Indonesia sendiri. Scene kita memang terdesak untuk mendapat nafas baru seperti lagu Afornisme ini.
- Measmata feat. Atiq – Eternal Hatred
- Masuk Slam Worldwide? Band dari negara kita telah mencipta kejutan demi kejutan. Meskipun sekali pandang, lagu deathcore dari Borneo seperti Eternal Hatred ini tidak mendapat perhatian pun dari penggemar muzik kita sendiri, tetapi Measmata telah menjadikan Eternal Hatred ini sebagai batu loncatan kepada mereka untuk mencuri tumpuan luar. Apa yang bagusnya, anak muda local yang bermain muzik metal pada hari ini ternyata telah belajar dari kesilapan sebahagian otai-otai mereka, walaupun bermain muzik ekstrim secara underground, kualiti lagu dan proses rakaman tetap perlu dijaga kerana hasilnya akan menjadi seperti lagu ini. Ini adalah antarabangsa punya kelas.
- For Heaven Sake – Philantrophy
- Terlalu lama masa yang mereka ambil untuk hasilkan single terbaru, hampir-hampir nama mereka hilang dari radar. Tetapi penantian yang lama ini membuahkan hasil yang bagus. Lagi satu band metalcore yang menunjukkan bunyi berat tetap boleh menjadikan seni yang boleh dipandang tinggi. Lagu ini bukanlah lagu terbaik yang kita ada tetapi ia menunjukkan potensi bahawa band For Heaven Sake ini ada bakat yang besar untuk membikin karya yang lebih mengejutkan pada masa hadapan. Lagu Philantrophy juga membuktikan muzik keras kita masih lagi bagus dikala scene underground sedang ketandusan karya-karya yang boleh diangkat tinggi.
- Naratu – Mata Pendusta
- Legenda hardcore ini masih lagu mampu menghentakkan kepala kita. Naratu kembali dengan Mata Pendusta sebagai amaran kepada semua orang, bahawa mereka masih lagi wujud. Meskipun sudah berpuluh band hardcore baru yang lebih muda muncul memeriahkan scene, lagu Mata Pendusta dari Naratu nampaknya masih lagi membuatkan mereka akan kekal relevan. Muzik hardcore yang berselaput dengan keberatan heavy metal ini menghasilkan environment yang cukup menyeramkan. Lagu ini memang heavy. Apa lagi boleh cakap? Naratu akan kekal relevan meski untuk 5 tahun lagu ke hadapan.
- Afterfall – Averis
- Anak-anak Borneo tidak kira dari Sabah atau Sarawak nampaknya begitu ghairah dengan muzik moden metal sejak 4-5 tahun kebelakangan ini. Tahun ini, band Afterfall dari Sarawak telah menghidangkan lagu Averis sebagai santapan istimewa kepada kita. Dari gitar saja kita sudah tahu, mereka cuba untuk meneroka gaya djent, mengingatkan kita kepada band-band sepeti Veil of Maya ataupun Periphery. Lagu Averis ini telah bermain dengan elemen progressive seperti anak kecil yang baru belajar bermain api, tetapi mereka tidak membakar rumah, sebaliknya mereka menggunakannya untuk membakar rokok. Perhh… Percayalah, scene modern metal dari Borneo akan sentiasa melangkah setapak demi setapak dan tidak mustahil mereka akan menjadi dominan satu hari nanti.
- Moneybag – Torture in Vain
- Ini adalah bakat baru yang bakal menggegarkan scene local. Torture In Vain juga mendapat tempat dalam channel Slam Worldwide, sebagai petanda awal mereka memiliki misi dan visi yang jauh ke hadapan. Dari lagu ini, anda akan dapat merasai perbezaan slamming detah metal mereka sedikit berbeza dari yang biasa kita dengar. Dan sudah tentu genre ini agak rare di Malaysia, walau meskipun sudah berlambak band local yang memperjuangkan genre ini sebelum kelahiran band Moneybag. Dengan kehadiran lagu Torture in Vain yang memberi nafas kepada genre ini supaya kedengaran lebih muda, tidak mustahil scene muzik extreme kita akan kembali rancak dengan kekejaman yang tidak ada belas kasihan.
- Fxtal – Clown
- Lagu Clown ini memang jahat. Band Fxtal telah memberikan karakter kepada lagu ini agar kedengaran jahat atau bahasa sopannya, ia seperti anak nakal yang mahu merompak dan membelasah anda. Karakter nakal yang mereka letak di dalam lagu ini yang mejadikan lagu Clown berbeza dengan produk-produk metal yang lain. Yeah, ia memang bukan terbaik dari Fxtal, tetapi Clown tetap membuatkan mereka kekal konsisten di dalam liga mereka. Malah lagu Clown lebih baik dari lagu mereka sebelum ini Saw & Claw. Meskipun membawa karakter jahat yang sama, Clown lebih serius mahu membelah kepala anda berbanding lagu yang satu lagi.
- Zerophobia – Seru
- Tahun lepas, Zerophobia membawakan keterujaan dengan lagu Dursila sehingga mereka menjejakkan kali ke pentas Anugerah Lagu Indie. Kali ini dengan lagu Seru, tidak terkecuali, mereka menghidangkan santapan yang menyelerakan. Dengan breakdown yang mantap. Lepas itu ada pula solo yang menggiurkan. Zerophobia harus diberikan kredit kepada kreativiti mereka menghasilkan lagu yang tidak lari dari konsep asal mereka. Lagu Seru ini sama nafas dengan lagu Dursila tahun lepas, tetapi dalam masa yang sama ia masih lagi berbeza dari banyak sudut, sebab itu kreativiti mereka jelas disitu.
- Danella – Racist
- Rasanya sudah agak lama mereka tidak hadir dengan lagu baru. Barangkali tidak ramai pun yang mengenali band ini. Untuk peminat slamming metal, lagu ini cukup brutal dan gore untuk dihidangkan kepada anda. Melalui lagu Racist ini, Danella nampaknya cuba memberi nafas baru kepada genre slamming death metal agar ia berjiwa lebih muda. Mungkin ia sesuai untuk anak muda yang mahu mengenali apa itu slamming detah metal sebelum terjun lebih jauh kepada band-band yang lebih senior dan lebih mendalam.
- Crazy Grizzly – The Seven Sleeper
- Tidak sangka, dari sebuah band alternative rock, bertukar kepada metalcore dan ternyata ia bejaya. Mereka menamakan muzik mereka sebagai new wave of metalcore, iaitu metalcore yang tengah trending pada hari ini seperti Architects. Lagu The Seven Sleeper membawa kita untuk lebih ke hadapan dari yang kita sudah biasa dengar dengan metalcore tempatan sebelum ini. Dan scene memang memerlukan lebih lagi band seperti Crazy Grizzly untuk mengetengahkan sound baru dimana kita sangat memerlukan produk yang fresh seperti ini. Dan lagu The Seven Sleeper adalah contoh terbaik.
- Farasu – Lagenda Lancang Berdarah
- Sang Legenda, Farasu sekali lagi memberikan buah tangan padu kepada peminat muzik metal tanah air. Lagu Lagenda Lancang Berdarah sekali lagi menghidangkan gaya muzik old school death metal dengan sentuhan tradisional Melayu yang menjadi trademark Farasu. Kualiti rakaman juga boleh tahan mantap. Dengan video muzik yang menarik, ia benar-benar mengingatkan kepada band-band klasik seperti Sil Khannaz dan Langsuyr dizaman kemuncak mereka.