Penulis: Anome
Anarchy In The U.K dilancarkan pada 26 November 1976 dengan durasi selama 3 minit 31 saat. Lagu ini kemudiannya dimasukkan ke dalam debut album Sex Pistols, Never Mind the Bollocks, Here’s the Sex Pistols.
Lagu ini mendapat kritikan hangat daripada masyarakat disebabkan liriknya yang bebaur ganas, negatif dan antikristian. Kritikan yang diterima menyebabkan album sulung mereka dilancar setahun kemudian oleh kerana tiada pihak yang ingin menyiarkan lagu-lagu mereka. Malah album tersebut telah ditolak oleh dua syarikat rakaman sebelum diterima oleh Virgin Records.
Anarki membawa maksud masyarakat tanpa kerajaan atau undang-undang. Kontradik dengan imej dan budaya anti-institusi yang dibawa Sex Pistols di dalam lagu-lagu mereka, Anarchy in the U.K sebenarnya bukan menyokong atau menggalakkan anarki.
Menurut vokalis Sex Pistols, John Lydon atau nama pentasnya Johnny Rotten di dalam wawancara bersama majalah Rolling Stone, beliau berpendapat bahawa anarkisme merupakan permainan minda buat golongan pertengahan. Ia merupakan satu kemewahan yang hanya mampu diperoleh di dalam masyarakat demokratik, jika difikirkan agak berlebihan.
Tambahnya lagi, anarkisme di dalam masyarakat demokratik tidak memberikan sebarang jawapan dan beliau berharap penulisan beliau memberikan satu bentuk jawapan kepada yang mencari, berbanding perasaan marah yang membuatkan kita ingin menghancurkan semua benda tanpa sebab, hanya kerana tidak menepati citarasa diri.
Walaupun karier muzik Sex Pistols hanya berjangka masa selama dua tahun setengah, mereka diiktiraf sebagai salah satu kumpulan yang memberikan impak besar dalam sejarah muzik. Sex Pistols juga bertanggungjawab menyemarakkan pergerakan punk di United Kingdom, dan menjadi inspirisasi bagi kumpulan-kumpulan muzik punk kemudiannya.
Anarchy In The U.K. disenaraikan di tempat ke-56 dalam Senarai 500 Lagu Terbaik Sepanjang Zaman majalah Rolling Stone dan juga dalam senarai 500 Lagu Yang Membentuk Rock And Roll milik Rock And Roll Hall of Fame.