Rap, HipHop telah melalui evolusi yang tersendiri di Malaysia sejak 2020-an. Hip Hop Malaysia 2022 banyak ditandai dengan genre-genre aliran baru seperti Trap, OVO dan emo rap. Artis-artis generasi Z seperti Quai, ChrpnocalZ, DC Willie, Airliftz sekadar beberapa nama memberi dimensi baru kepada hiphop tempatan. Tiada lagi dominasi elemen rap kacang purba seperti serapah Nusantara dan mainstream. Ini satu perkembangan yang sihat sesuai dengan variasi, citarasa moden.
Berikut ialah lima (5) lagu terbaik HipHop di Malaysia pada tahun 2022:
5. (i) RING RING – Luqman Podolski
Luqman Podolski berasal daripada vlogger youtuber dengan konten-konten komedi dan berdekah. Menukar identiti kepada artis HipHop mulai 2020 dan lagu ini merupakan single pertama Luqman.
5. (ii) Honest – Airliftz
Lagu yang menjadi trek iringan penerbangan AirAsia (Red Records), ramai menyangka lagu ini dendangan artis antarabangsa, namun siapa sangka artisnya berasal dari Kajang iaitu Airliftz, atau nama sebenar Alif Aolani.
Lagu yang sering kedengaran sebaris dengan pop antarabangsa di corong-corong radio Hitz dan FlyFM.
4. Satu Malam di Temasek – Joe Flizzow
Veteran hip hop ini masih ratah mengganas dengan gandingan sidekick produser Sonaone. Walaupun ini mungkin lagu paling ‘purba’ dan masih tegar dengan elemen gangsta berbanding genre terkini, Satu Malam di Temasek menyerlahkan prolifik Joe dalam arus muzik.
3. Must Be Nice – Force Park Bois (FPB)
Berasal dari Taman Daya, Johor Bahru, FPB benar-benar tidak mengecewakan. Nama besar baharu dalam generasi hip-hop tempatan, single terbaru ini menempa status FPB sebagai kuasa hiphop terbesar yang lebih ‘advance’ daripada mana-mana di Malaysia kini. Drill yang mantap dan kombinasi produksi muzikal yang segar ditonjolkan dalam lagu ini, testimoni ulung FPB -‘banger’ yang sangat gempak. Dikepalai oleh Nakalness, FPB antara ‘game changer’ industri muzik tempatan.
(Pertanyaan selingan penulis: Nak tanya intro tu dia pakai sample apa??)
2. Swipe – Alyph
Lagu yang meniti trending di ruang TikTok sejak Oktober 2022 dan menjadi popular terutama dengan ‘Swipe’ challenge. Alyph, artis Rap asal Singapura dan juga ahli duo kumpulan SleeQ (Najwa Latiff).
‘Aku ada Type, Kalau Aku Like, aku Like, Kalau tak Aku Swipe’ adalah frasa lirikal paling pop-rempit tahun 2022. Lagu yang mudah dicerakin masuk kepala sesiapa dengan produksi yang ‘slick’.
1. Aduh Malaysia (Hoi Hoi Ya Hoi) – Altimet
Lagu tema kempen pilihanraya umum ke-15 (PRU-15) yang telah menjadi siulan seluruh rakyat Malaysia pada tahun 2022.
Lagu ini dikatakan antara punca utama yang menjulang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15 selain aura Anwar Ibrahim, PM ke-10 sekarang. Seperti biasa, lagu ini sangat ‘catchy‘ dengan lirikal bersahaja Altimet yang sememangnya sentiasa padat dengan elemen sosio-radikal yang menghembus status quo.
Altimet yang juga ketua cabang PKR Ampang menggunakan sample filem klasik Seniman Negara P. Ramlee, ‘Ali Baba’ dan baru-baru ini juga telah menyumbang kesemua hasil royalti lagu tersebut kepada waris P Ramlee.
Ini menunjukkan karya lagu HipHop bukan sahaja sebagai hiburan tetapi medium perubahan yang berupaya menggalakkan orang kesedaran politik dan keluar mengundi. Pencapaian terbesar artis Rap, HipHop Malaysia kerana inilah buat pertama kalinya, semua rakyat tidak kira lapisan umur budak sekolah hingga pakcik pencen bersatu-padu menyanyikan antem rap tempatan.
Dengan variasi, kualiti dan kreativiti, Rap dan HipHop moden Malaysia diramal akan terus berkembang pada masa depan dan harapnya, lebih banyak karya terbaik dengan produksi taraf antarabangsa dapat dihasilkan oleh rapper-rapper tanahair.
#ChivasAlexandria