Sudah agak lama juga kita tidak mendengar khabar tentang band Escape Plan, sehinggalah baru-baru ini aku dihubungi oleh vokalis dan gitarisnya, Ash yang bercerita tentang perkembangan terkini mereka.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2013, Escape Plan telah mengharungi pelbagai cabaran dan kejayaan. Meskipun bermula ketika para anggotanya masih bersekolah, band ini telah berkembang menjadi salah satu nama yang dihormati dalam scene independen Malaysia.
Escape Plan bermula daripada semangat muda ketika mereka masih di bangku sekolah menengah. Pada awalnya, mereka aktif dalam sirkit Battle of the Bands, gig dan festival tempatan. Namun, pada tahun 2015, Escape Plan secara rasmi menetapkan pembentukan band mereka setelah meriliskan dua single hit, ‘Yang Terindah’ dan ‘Gadis’ yang berjaya menjadi runut bunyi untuk beberapa telemovie dan drama tempatan.
Kejayaan ini menjadi batu loncatan untuk Escape Plan. Pada tahun 2016 dan 2017, mereka mendapat peluang besar untuk membuat persembahan di pentas Rock The World selama dua tahun berturut-turut, memperkukuhkan lagi jenama mereka kepada audiens yang lebih besar. Mereka juga pernah menduduki carta ‘Local Hot FM’ selama beberapa minggu serta berjaya menjadi finalis ‘ROTTW Soundstage’ pada tahun 2018 dan tetamu jemputan pada 2019.
Antara tahun 2015 hingga 2019, Escape Plan gigih memenuhi jemputan gig, festival, dan konsert bersama artis-artis indie dan mainstream ternama. Setiap persembahan menjadi pengalaman berharga yang membantu mereka membina portfolio muzik yang kukuh.
Namun, cabaran dalam mengekalkan anggota band tetap menjadi halangan besar. Seperti yang dijelaskan oleh Ash, komitmen dan kekangan berkeluarga membuatkan Escape Plan hanya tinggal dua anggota daripada empat orang asalnya. Kini, Escape Plan terdiri daripada Ash dan Edy (gitaris utama), namun semangat mereka untuk berkarya tetap membara. “Walaupun tinggal berdua, kami masih terus berkarya dan rasa makin semangat,” kata Ash.
Setakat ini, Escape Plan telah menghasilkan tujuh lagu, di mana enam daripadanya disertakan dengan muzik video. Semua lagu ini dimuatkan dalam EP mereka yang bertajuk ‘Rentak Kita’. Meskipun perjalanan mereka agak perlahan dalam penghasilan album penuh, mereka telah belajar daripada kesilapan lalu dan merancang untuk meriliskan album sulung mereka pada tahun 2025. Menurut Ash,
Kekangan masa dan modal menjadi faktor yang melambatkan proses penghasilan album Escape Plan. Kami bercadang untuk menjalankan tour sulung di beberapa negeri selepas merilis album pada tahun 2025.
Banyak yang tertanya-tanya mengapa Escape Plan agak sunyi sejak kebelakangan ini. Ash mengakui bahawa mereka tidak pernah berhenti, namun pandemik COVID-19 yang melanda pada 2020 sedikit sebanyak memperlahankan pergerakan mereka.
“Pada penghujung 2019, kami sudah lock beberapa show untuk 2020, tetapi semuanya terpaksa ditunda akibat pandemik,” jelas Ash.
Escape Plan tetap aktif, cuma proses untuk bangkit semula selepas PKP agak perlahan. Perubahan dalam selera pendengar dan munculnya band-band baru turut menjadi cabaran besar bagi mereka. Namun, Ash tetap optimis dan yakin mereka akan bangkit semula untuk menebus masa yang hilang.
Ketika ditanya bagaimana mereka merancang untuk kekal relevan dalam industri muzik yang sentiasa berubah, Ash menekankan kepentingan identiti muzik sesebuah band.
“Setiap line gitar, solo dan lirik memainkan peranan penting dalam membentuk identiti band. Walaupun kita perlu mengikut rentak pendengar masa kini, kami tidak akan mengubah 100% muzik kami,”
Buat masa ini, Escape Plan sedang dalam proses merilis single terbaru yang dijangka keluar hujung tahun ini atau awal tahun depan. Mereka juga sedang merangka pelan jangka panjang untuk menjadikan Escape Plan sebagai nama besar dalam industri muzik tempatan. “Kami mahu setiap lagu yang kami hasilkan menjadi siulan generasi muda yang akan datang,” kata Ash.
Meskipun cabaran sentiasa ada, Escape Plan kekal optimis dan bersemangat. Mereka bercita-cita untuk menjadikan band mereka sebagai satu jenama yang mampu bertahan dalam industri tanpa ditelan zaman. “Selagi kami berdaya, kami akan terus mencuba,” tegas Ash.
Escape Plan merupakan contoh bagaimana semangat dan dedikasi boleh membawa sebuah band dari pentas kecil ke pentas utama. Dengan perancangan rapi, mereka bersedia untuk kembali dengan lebih mantap. Para peminat boleh menantikan album sulung mereka yang dijangka keluar tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan Escape Plan di: