Sunny Club Cuba Merawat Jiwa

Sunny Club Tampil Dengan Single Terbaru ‘Senyumlah’

oleh Aniq Ammar Ekhwan
924 bacaan

Sunny Club, sebuah one man band yang semakin meningkat naik dalam industri muzik tempatan baru sahaja melancarkan single terbaru mereka yang berjudul ‘Senyumlah’.

Lagu ini membawa pendengar melalui satu perjalanan melodi yang menyentuh isu kehidupan – bagaimana untuk mengatasi overthinking dan belajar menerima ketidakpastian dengan senyuman. Bagi pengasas Sunny Club, Hafiz Nazri, ‘Senyumlah’ bukan sekadar lagu biasa, tetapi satu terapi peribadi yang membawa erti mendalam tentang kehidupan.

Dalam satu temubual eksklusif, Hafiz berkongsi tentang bagaimana overthinking sering menghantuinya, terutamanya sejak usia 30-an. “Mind aku selalu penuh dengan fikiran. Dari kerja, hubungan, sampai hal-hal kecil yang kadang-kadang tak masuk akal pun. ‘Senyumlah’ ni adalah cara aku ingatkan diri sendiri yang tak apa kalau kita tak ada semua jawapan,” kata Hafiz dengan senyuman.

Sebagai seorang pemilik perniagaan dan seorang suami, Hafiz sering merasakan beban tanggungjawab yang berat.

“Dalam lirik lagu ‘Senyumlah’, aku ada sebut tentang ‘3 pagi fikiran meracau, cakap sendiri bisik hati tak perlu la risau’, sebab waktu tu memang aku selalu tidur lambat. Terlalu banyak benda difikirkan, sampai aku rasa penat, tak cukup rehat. Tapi aku bisik kat diri sendiri, ‘ahhh tak perlu fikir, layan je’.”

Menurut Hafiz, ‘Senyumlah’ bukan hanya sekadar lagu untuk peminat, tetapi lebih kepada satu bentuk hiburan untuk dirinya sendiri.

“Aku ni jenis orang yang selalu happy-go-lucky, banyak cakap, suka senyum, tapi dalam hati, kadang-kadang aku pun rasa berat. Jadi ‘Senyumlah’ ni sebenarnya aku tulis untuk pujuk diri sendiri masa aku tengah overthink dulu.”

Dengan lirik seperti ‘Tidak mengapa kau murung saja, esok lusa bangkit semula, syukurlah masih bernyawa’, Hafiz ingin mengingatkan semua orang bahawa tidak mengapa untuk merasa sedih, tapi kita tak boleh lupa untuk bersyukur setiap hari kerana kita masih diberi peluang untuk hidup.

Perjalanan Hafiz dalam dunia muzik memang menarik. Daripada seorang pemain drum selama 15 tahun, kini dia mencuba sesuatu yang baru – bermain gitar dan menjadi vokalis.

“Bila aku mula main gitar dan nyanyi untuk ‘Senyumlah’, aku memang overthink gila. Tapi aku ingatkan diri sendiri, setiap orang ada ‘mula’ mereka. Kalau aku tunggu sampai semuanya sempurna, tahu-tahu dah umur 50 nanti, kan?”

Walaupun Hafiz mengakui vokalnya masih perlu diperbaiki, dia tetap positif.

“Aku bukan vokalis, aku drummer, tapi aku senyum dan anggap ini cabaran untuk improve diri sendiri. Aku tak nak jadi penyanyi, aku nak jadi entertainer,” tambah Hafiz sambil ketawa.

Sunny Club adalah cerminan sepenuhnya diri Hafiz. Selepas band lamanya, Heavside membuat persembahan terakhir, Hafiz mula mencari sesuatu yang lebih bebas untuk mengekspresikan dirinya.

“Dalam Sunny Club, aku bebas buat apa yang aku suka, tak perlu ikut kehendak orang lain. Mungkin lepas ni aku buat lagu techno, reggae, atau dugem, siapa tahu? Hahaha.”

Menurut Hafiz, dia kini dalam proses menyiapkan EP enam lagu yang dijangka akan dikeluarkan akhir tahun ini atau awal tahun depan. “Aku dah ada 15 demo, tapi yang aku betul-betul jatuh cinta baru empat lagu. So, aku masih terus menulis sehingga jumpa lagi dua lagu yang betul-betul klik.”

Selepas pelancaran EP, Hafiz merancang untuk memulakan jelajah bagi memperkenalkan Sunny Club kepada lebih ramai orang.

“Digital footprint tak cukup bagi aku. Aku nak pergi on ground untuk spread Sunny Club. Tak kisah kalau orang tak minat, yang penting, mereka tahu kewujudan Sunny Club,” 

Dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan Hafiz, Sunny Club pastinya akan terus mengukir nama dalam industri muzik Malaysia. Bagi peminat muzik indie tempatan, ‘Senyumlah’ bukan sekadar sebuah lagu, tetapi sebuah mesej untuk kita semua – kadang-kadang, yang kita perlukan hanyalah senyuman untuk menghadapi hidup.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅