For Revenge Merayakan Patah Hati Peminat Di Kuala Lumpur

oleh Music Addicts Malaysia
234 bacaan

Kredit: @tasyacure_

Oleh: Hanis Izzatul


Kumpulan muzik emo/ rock alternatif dari Bandung, Indonesia, For Revenge telah memukau peminat di Malaysia melalui konsert Perayaan Patah Hati – Babak 1 pada 6 Disember 2024 yang lalu di Zepp, Kuala Lumpur.

Meskipun sebelum ini mereka telah merayakan patah hati bersama peminat di Kota Kinabalu dan Johor Bahru, kehadiran mereka untuk kali ketiga di Malaysia ini tetap dianggap sebagai satu penghormatan serta pencapaian yang amat bermakna buat mereka.

Konsert anjuran Miebird Projects ini turut menampilkan kumpulan tempatan yang semakin meningkat naik, Insomniacks sebagai pembuka perayaan pada malam tersebut yang menyanyikan lagu-lagu hits mereka antaranya Igauan Malam, Sempurna, Reminisensi, Pulang, Belum Mulai dan Temani Hati.

Sekitar jam 9:15 malam, For Revenge mengambil alih pentas dengan menyanyikan 12 buah lagu-lagu hits daripada album dan single mereka bermula dari Overture, Derana, Jentaka, Penyangkalan, Semula, Jakarta Hari Ini hingga Serana.

Setiap bait lirik dalam lagu-lagu For Revenge pada malam itu seakan-akan meresap ke dalam jiwa, mewakili perasaan penonton yang hadir dengan pelbagai kisah luka yang tak kunjung sembuh.

Kredit: @tasyacure_

Mana tidaknya, dari lagu pertama hingga ke lagu penutup, penonton begitu bertenaga dan tidak henti-henti bersorak, berteriak, menjerit dan sing along seolah-olah setiap lirik yang dinyanyikan adalah ungkapan perasaan yang telah lama mengisi ruang hati mereka.

Konsert berakhir dengan penuh emosi, ada yang menitiskan air mata mungkin kerana mengenang kembali momen-momen patah hati yang pernah atau sedang mereka alami atau mungkin juga kerana penonton masih belum puas sing along dan merayakan patah hati bersama For Revenge.

Akhir kata, tahniah buat penganjur atas kejayaan konsert yang sememangnya #galaubrutal ini dan terima kasih sebesarnya buat For Revenge untuk lagu-lagu yang relatable yang sudah menjadi peneman setia di saat patah hati, memberi suara kepada perasaan-perasaan yang sukar diungkapkan. Semoga kita semua sembuh dari hal-hal yang membuat kita sedih dan patah!

Untuk pengetahuan, kumpulan yang sudah 18 tahun berkarya ini sedang dalam proses mempersiapkan album kelima mereka yang dikatakan bakal siap pada pertengahan 2025 nanti!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅