Selepas enam tahun menyepi tanpa sebarang aktiviti, unit Melodic Death Metal Malaysia, Herriot mengumumkan bakal membuka persembahan pentas untuk veteran Death Metal dari Netherlands, Sinister di Kuala Lumpur, 24 Januari 2025 dan peneraju Swedish Melodic Death Metal, Dark Tranquillity di Bangkok, 2 Mac 2025.
Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti muzik Herriot yang dirancang untuk 2025 yang turut meliputi pengeluaran album penuh baharu mereka yang masih dalam pembuatan. Bertajuk Black Day Massacre, ia dirakam bersama penerbit tersohor Fredrik Nordström (In Flames, Dark Tranquillity, At The Gates, Dimmu Borgir, Bring Me The Horizon) di Studio Fredman, Sweden pada September 2024.
Chen (vokalis) berkongsi keterujaan mereka merencana perjalanan Herriot untuk 2025: “Herriot dah kembali dan banyak perancangan telah diaturkan. Kami mulakan dengan jadi pembuka untuk Sinister dan Dark Tranquillity.
Yang akan datang, kami masih simpan lagi, tapi berkenaan album baharu memang dah diwar-warkan di media sosial. Album Herriot akan datang ‘Black Day Massacre’ masih dalam proses rakaman dan kami rancang untuk membuat jelajah promosi bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar sana.
Kami bakal bekerjasama dengan beberapa band tempatan untuk kembali aktif bermain persembahan pentas. Tahun 2025 adalah untuk kami jadi serius dan bersama-sama memeriahkan semula scene tempatan sebelum beraksi ke luar negara, harapnya!”
Herriot sedang merangka persembahan pentas di dalam dan luar Malaysia untuk 2025 sebagai sebahagian daripada jelajah promosi album penuh ini diikuti dengan rakaman material pasca-Black Day Massacre.
Informasi terkini untuk Darkness Before Dawn menampilkan Sinister dan Herriot sebagai pembuka boleh didapati di sini.
Tiket untuk Dark Tranquillity: Endtime Signals Live in Bangkok dengan Herriot sebagai pembuka boleh didapati di sini.