Gempita Alam Seribudaya: Manifestasi Keringat dan Budaya Margasatwa Berhasil!

oleh Boes!
333 bacaan

Margasatwa sekali lagi mencipta nama dalam persada muzik Malaysia menerusi kejayaan mereka menganjurkan konsert sulung yang berjudul Gempita Alam Seribudaya yang berlangsung di RCD Big Studio, Shah Alam pada Sabtu, 30 November yang lepas.

Berspektrumkan unggu kemilau, showcase ini diadakan bersempena dengan pelancaran album kedua mereka, Seribudaya yang mengetengahkan nilai estetika tersendiri selain menjadi kesinambungan kejayaan album pertama yang menaikkan nama Margasatwa melalui lagu-lagu menangkap jiwa pendengar seperti Asmara Botol Kaca, Merpati dan Ego yang juga menjadi siulan ramai.

Konsert pada malam tersebut disusun dengan signifikan, menggabungkan hampir kesemua lagu di dalam kedua-dua album yang dibahagikan kepada beberapa slot, menggambarkan ‘elemen’ dan ‘jiwa’ lagu-lagu mereka.

Bermula dengan slot pertama, alunan seruling bergema dan disambung dengan munculnya setiap entiti Margasatwa ke pentas dan persembahan bermula dengan lagu Gemersik Hilai dan Merpati yang dipetik daripada album pertama yang disulamkan dengan bunyi rebana. Kemudian, lagu baharu pertama, Bah Tangga diperkenalkan kepada penonton. Kimal (vokalis) yang terkenal dengan gaya tersendiri menghidupkan slot tersebut dengan berbusana tradisional dan bertongkat.

Seusai slot, beliau dengan adlibnya yang tersendiri berlari keluar dari pentas untuk meneruskan acara ke slot yang seterusnya dan mendendangkan lagu Alam Sendiri, Cuaca dan Perasaan dengan penuh bertenaga.

Kredit : Suara TV

Pada slot yang seterusnya, Kimal mengambil sedikit masa menceritakan proses perjalanan album ini yang sebenarnya telahpun bermula pada tahun 2021 lagi bersama bersama Allahyarham Tony Iskandar, bassist tersohor dari kumpulan Spider. Namun, perkara ini terhenti seketika atas pemergian Arwah pada tahun yang sama. Walaupun hasrat untuk menerbitkan album bersama beliau tidak kesampaian, Margasatwa mendapat pelawaan bekerjasama dengan Loque (MonoloQue) dan terhasillah Seribudaya ini yang secara harfiahnya membawa dua maksud menggambarkan diri mereka, seribu daya bergiat dalam seni dan album yang penuh dengan seri budaya yang tersendiri.

Pentas dihidupkan semula dengan dendangan lagu yang sempat digubah bersama arwah iaitu Yang Asli sebelum mereka menyanyikan lagu tribute, Sang Puteri khas untuk Tony dan Cek Mek Molek untuk Allahyarham Datuk M. Daud Kilau. Intermission break menyusul selepas slot tribute.

Tribute kepada Tony Iskandar.

Sekitar sepuluh minit berselang, pentas kembali dibuka dan kali ini persembahan santai dan akustik pula disajikan kepada mereka yang menghadiri konsert ini.

Dendangan lagu Aroma Kopi dari album baharu yang diilhamkan dari secangkir kopi diperdengarkan kepada khalayak umum dan disambung dengan lagu Setelah Itu dan Seribudaya. Momentum konsert disambung dengan dendangan lagu Blues Sang Pemalu, Hadirmu dan lagu debut mereka, Ego yang disampaikan dengan penuh adil dan meresap ke jiwa. Petikan gitar yang asyik dari Fadli merancakkan lagi suasana pada malam itu.

Slot akustik. Kredit : dinda.ptwki

Kredit : dinda.ptwki

Mengakhiri konsert pada malam itu, lagu yang didendangkan untuk memanaskan suasana, Orang Laut, Lelaki Romansa dan single pertama album baharu, Kasa Rubia diperdengarkan dan diakhiri dengan lagi Asmara Botol Kaca yang menggamatkan suasana penutup.

Dari kaca maa penulis, Margasatwa berjaya memanifestasikan segala kepayahan dan keseriusan mereka dalam berkarya dan memartabatkan lagu-lagu mereka seiring memartabatkan elemen budaya kepada khalayak ramai. Konsert pada malam itu tidaklah semata-mata untuk menghiburkan penonton sahaja, tetapi mereka telah menunjukkan satu perjalanan seni yang tersendiri. Penataan cahaya dan LED, susunan lagu, susunan bunyi dan iringan pemuzik tambahan seperti brass, string dan percussionist juga menaikkan seri Konsert Gempita Alam Seribudaya.

Satu lagi pujian ditujukan kepada mereka kerana penonton disajikan dengan Persembahan Randai yang dipersembahkan oleh Kumpulan Sanggar Pandeka. Fragmen Randai Tradisional diketengahkan pada waktu selingan.  Penulis sendiri baru pertama kali menyaksikan persembahan ini dan mengagumi kesungguhan mereka dalam menjayakan persembahan kaya budaya. Konsert ini tidaklah konsert kosong semata-mata.

Fragmen Randak Tradisional oleh Sanggar Pandekar mengisi persembahan selingan.

Sekalung penghargaan sekali lagi ditujukan kepada Margasatwa atas kejayaan konsert sulung mereka yang juga disokong oleh Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures serta kolaborasi bersama RCD BIG Studio sebagai lokasi rasmi.

Semoga aspirasi Margasatwa dalam mengetengahkan pemerkasaan budaya menjadi teladan kepada semua lapisan masyarakat kerana tanpa budaya, seni itu tiada daya tarikannya. Terus maju, Margasatwa!

Terus Maju, Margasatwa! Kredit: dinda.pwtkl

Dengarkan album terbaharu Margasatwa, Seribudaya sekarang!

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅