Pemuzik dan penulis berbakat, Faiz Hanip telah melancarkan single terbaharunya bertajuk Menutup Matahari. Lagu ini membawa perspektif segar ke dalam dunia muzik tempatan, menggabungkan elemen sajak dan indie-folk yang menyentuh emosi pendengar.
Menutup Matahari menceritakan perjalanan hidup yang penuh lelah, namun membuka ruang untuk menghargai keindahan kecil di sekeliling, termasuk sokongan insan tersayang ketika melalui fasa jatuh bangun. Dalam satu temu bual eksklusif, Faiz menjelaskan, “Lagu ini mengingatkan kita untuk berhenti seketika dan melihat nilai di sebalik perkara-perkara kecil, terutama di saat hidup terasa berat.”
Lagu ini saya boleh katakan unik kerana menampilkan sajak sebagai tunjang utama. Faiz memilih pendekatan ini kerana baginya, sajak adalah medium seni yang kaya dengan makna dan relevan sepanjang zaman. Tambah Faiz:
“Ia mengajak pendengar berfikir, menghargai seni penulisan dan memberi kebebasan kepada mereka untuk mentafsir lirik berdasarkan pengalaman hidup masing-masing.”
Sebagai gitaris Poskadband, Faiz menyatakan bahawa projek solo ini adalah ruang untuk bereksperimen sementara bandnya merangka langkah seterusnya. Tahun 2025 bakal menyaksikan lebih banyak lagu berunsur sajak, puisi serta inisiatif Faiz untuk menganjurkan acara puisi dalam komuniti indie Melaka.
Ketika ditanya tentang kemungkinan menghasilkan EP atau album, Faiz tidak menolak.
“Ia adalah impian setiap pemuzik. Saya bercadang untuk menerbitkan beberapa lagu sajak dan sebuah buku atau zine yang melengkapkan pengalaman pendengar. EP pula, jika tiba masanya, akan saya usahakan dengan format terbaik,” jelasnya.
Faiz turut menzahirkan penghargaan kepada peminat dan semua yang menyokong seni tempatan. “Saya sentiasa berusaha menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat. Seni adalah tamadun kita dan saya berharap lebih ramai penggiat muzik dan penulis menggunakan seni sebagai medium dalam mendidik masyarakat.”
Menutup Matahari kini tersedia di Spotify, Apple Music, Joox, YouTube Music, dan pelbagai platform digital lain. Jangan lupa juga menonton video muzik rasmi lagu ini di saluran YouTube.
Faiz Hanip telah membuktikan bahawa seni dan sajak masih mampu memberi nafas baharu kepada muzik. Apakah langkah seterusnya? Kita tunggu dan lihat!
Untuk maklumat terkini, ikuti Faiz di: