Gig Skala Kecil, Ego, dan Kopi Kuantan

PCHC Fun Day Cemerlang

oleh John DBlend
934 bacaan

Penulis: Aritz Aduridz


Agak janggal apabila saya diberitahu berkenaan gig di Kuantan berjudul PCHC Fun Day diadakan pada 28 Oktober 2023 dan dijemput hadir ke sana. Mungkin ini petanda baik skena muzik di negeri Pahang akan kembali meriah dan saya agak teruja juga kerana gig ini menampilkan Moneybag 1327, Centipede, On Your Side, Rusted dan No Lead.

Dianjurkan oleh Rockfields and Nothereal, gig ini bertujuan untuk membuktikan bahawa Kuantan bukan sahaja tempat lahirnya bundle, patin masak tempoyak dan kopi hipster, namun turut sesuai dijadikan tempat pemuzik melampiaskan geram mereka di pentas.

Ketika sampai di venue iaitu Warung Adri, saya tercengang sekejap dan terfikir ‘betul ke tempat ni?’ sebab sangat kecil dan merisaukan ada barang yang akan hancur musnah diterajang penonton. Namun saya optimis bahawa acara ini akan dijalankan dengan jayanya.

Acara bermula pada jam 8:30 malam dengan No Lead. Di sini, saya melihat kesungguhan kugiran ini sebagai pembuka dan membuatkan penonton mula memanaskan kaki mereka dengan two step dan mosh di bahagian tengah.

Kemudiannya, Rusted mengambil tempat dan kali ini mereka tampil dengan posisi penuh di mana mereka membawa seorang gitaris undangan. Nampak gugup di awalnya ditambah pula masalah teknikal di bahagian bass namun mereka tidak pedulikan semua itu dan memberikan sepenuh tenaga dari awal hingga akhir.

Selepas itu, On Your Side mula membuat persembahan. Saya dikhabarkan mereka mempunyai acara lain di sekitar Terengganu namun mereka sanggup datang dari jauh untuk menghiburkan semua penonton yang ada. Sepanjang persembahan, saya sangat menggemari cara vokalis mereka menarik penonton masuk dan menari melepaskan geram.

Seterusnya, Centipede mengambil alih pentas dan saya melihat ramai tertunggu-tunggu dengan kugiran slam death ini. Sebaik sahaja instrumen dimainkan, penonton mula tidak tentu arah seperti lipas kudung dan vokalis mereka persis Kublai Khan boh! Saya berpendapat Centipede merupakan kugiran alaf baru yang mampu memberi impak yang besar dalam skena hardcore Malaysia dan mereka harus cepat hasilkan album.

Dan yang terakhir, Moneybag 1327 hadir sebagai kugiran penutup pada malam itu. Seperti biasa, kredibiliti Leo sebagai vokalis saya tak pernah sangkal dan mereka telah memberikan tenaga yang luar biasa dan mungkin ada yang akan sakit belakang selepas itu. Selepas gig itu, saya dapat melihat beberapa ‘kerosakan’ yang berlaku pada beberapa penonton seperti hidung berdarah akibat ditendang, pengsan dan kaki bengkak akibat tersepak kabinet. Mungkin kelakar tapi itulah gig hardcore.

Konklusinya, saya berpendapat acara sebegini harus dikekalkan momentum untuk dijadikan siri gig di Kuantan kerana banyak benda yang boleh ditonjolkan dalam muzik bukan sekadar hardcore malah genre lain juga. Kredit juga diberikan pada Warung Adri sebagai venue yang bagus walaupun kecil namun saya melihat elemen intimasi itu agak besar buat pemain muzik dan penonton di sekitarnya.

Satu lagi perkara yang kita perlu lihat ialah isu tidak menepati masa. Saya rasa perkara ni kena elakkan dan kalau boleh jangan jadi isu sebegini. Acara sepatutnya berlangsung pada jam 7:30 petang namun lewat 1 jam 15 minit kerana isu kelewatan dari salah seorang peserta acara tersebut. Mungkin ada yang merasakan itu perkara biasa namun pada saya, jika jadi lagi masalah sebegitu, percayalah bahawa kita mempunyai masalah.

Akhir kata, gig ini berlangsung dengan cemerlang namun harus diperbaiki dari sudut masa dan pengurusan gig tu sendiri harus cakna dengan apa yang jadi. Sekian.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅