Walau Diserbu Polis, Tetap Happy Ending di Street Music Festival 2023

oleh Rahmat Mohd Did
1.8K bacaan

Hari tu pergi Street Music Festival 2023 (SMF23). Ini bukan gig biasa-biasa sebab Roots N Boots dan The Suspects AKA buat comeback. Rhadio Bros sebagai penganjur pun ada visi nak jadikan festival ni sebagai acara tahunan, selain nak meriahkan balik scene Oi!, Ska dan Punk tempatan.

Daripada awal, Rhadio Bros dah buat yang terbaik untuk menjayakan SMF23. Promosi jangan cakaplah, dah macam buat festival kat stadium. Band-band yang terlibat pun bagi sokongan yang mantap, siap keluar kat dada akhbar. Tapi apakan daya, hari yang sama juga banyak gig dan event lain, jadi kehadiran di SMF23 tak begitu memberangsangkan seperti diharapkan. Tapi yang best, suasana tetap meriah dan mesra. Sesuai dengan falsafah brotherhood yang dipegang gerakan ni.

Acara yang berlangsung di Panggung Asia pada 28 Oktober tu berjalan lancar pada sebelah siang dengan variasi band-band baru dan lama seperti Idle Hands, The Sections, ABC Youth, Hibiscus dan Skinrovers mempersembahkan jiwa dan raga mereka untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat-peminat yang hadir.

Setelah melayan hujan lebat dan makan nasik, acara diteruskan di sebelah malam dengan band-band seperti The Offside, Armpunk Sindicate, The Murphys dan Skudap Skudip. Sesi kedua ni lebih menarik sebab variasi genre yang ketara antara keempat-empat band. The Offside dengan Oi!, Armpunk Sindicate membawa nuansa ska punk/rock/metal, The Murphys merealisasikan Irish rock/Celtic punk ala Dropkick Murphys dan Flogging Molly serta Skudap Skudip dengan jenama ska dan reggae mereka yang happening.

Saat peminat dah betul-betul ‘hangat,’ masa yang ditunggu-tunggu pun tiba. Roots N Boots sebagai salah satu main act pada hari itu mengambil pentas dengan bergaya dan semangat membara. Peminat jadi tak keruan dan menyanyi serta menari bersama band yang terkenal dengan anthem Made in Malaysia ini.

Tengah syok layan performance Achmed X and the gang, tiba-tiba dapat pengumuman gig kena stop daaaa..

“Minta maaf kepada semua. Kita dapat arahan daripada pihak polis kena tamatkan show hari ni…”

Suasana jadi tak tentu arah. Apahal pulak kena stop? Permit dah dapat, crowds kat dalam ni semua okay je. Tak ada pulak nampak orang bergaduh ke, mabuk ke. Kenapa polis nak kacau?

Keluar je dari venue, dah berkerumun orang kat luar dengan beberapa abang polis. Aku nampak vokalis The Suspects AKA, Rizal G tengah berbual dengan polis. Tanya bos Rhadio Bros, Azam, rupanya polis dapat aduan daripada orang awam yang ada dua budak perempuan bergaduh petang tadi kat kawasan Panggung Asia tu.

Haram jadah betul. Aku ingat budak-budak Skinhead yang buat hal. Entah mana punya parpu pulak yang kasi rosak mood orang tengah enjoy. Tanya yang lain, diorang pun tak pasti perempuan tu masuk gig ke tak. Lagi haru.

Tapi malam tu aku dapat tengok sesuatu yang baru dan indah. Kalau ikut kepala anti-establishment Skinhead dulu-dulu, maybe dah riot kot. Tapi memandangkan semua dah besar-besar, taktik nego dijadikan senjata untuk meredakan keadaan. Rizal G betul-betul komited nak sambung gig. Gila apa, Roots N Boots dapat jugak merasa tiga lagu. The Suspects AKA takkan tak merasa langsung. Dah la malam tu sepatutnya malam meraikan diorang, selain pengumuman Double Trouble of Oi! antara dua band Oi! gergasi ni.

Lebih kurang jam 11.15pm, abang polis akhirnya akur dengan kehendak peminat yang sangat kecewa kalau gig tu terpaksa ditamatkan. Yelah, ramai juga yang datang dari jauh termasuk Kedah, Johor Bahru semua.

“Saya bagi masa sampai 11.30pm je. Semua yang ada kat luar ni kena masuk dalam. Kalau ada apa-apa yang tak diingini berlaku kat kawasan dalam atau luar ni, pihak penganjur kena bertanggungjawab.”

Ramai yang happy lepas abang polis cakap macam tu. Tak kurang juga yang mengeluh sebab takkan 15 minit je nak prepare dan tamatkan gig?

Tapi feeling lepas tu memang lain macam. Dia macam kau menang dan nak celebrate betul-betul. Walaupun agak kelam-kabut, band dan peminat dah tak kisah dah. Semua tak kasi chance dan all out untuk persembahan The Suspects AKA malam tu.

Walaupun sepatutnya habis 11.30pm, The Suspects AKA baru sempat dua lagu masa tu. Mana mahunya. Orang kat bawah desak teruskan lagi. Lagu killer belum main! Memandangkan polis pun tak kacau, Roots N Boots dan The Suspects AKA akhirnya naik pentas bersama dan menamatkan SMF23 dengan memori terindah, duet lagu Kuala Lumpur dan Made in Malaysia bersama! Memang chaos habis!

Kesimpulannya, SMF23 ni memang best dan layak dijadikan acara tahunan dengan skala lebih besar. Scene street music kat Malaysia ni dah lama tenggelam sejak Oi! Fest pun dah tak ada. Mungkin SMF adalah jawapannya.

Performance band-band yang terlibat kali ini pun bagus-bagus. Tapi harapnya di masa hadapan, kurangkanlah main lagu cover berbanding lagu sendiri. Lebih-lebih lagi bila band tu dah lama dan ada peminat tersendiri.

Satu perkara lagi yang wajar dipuji adalah tema solidariti Palestin yang dijulang penganjur dan dilaungkan oleh band-band. Turut kelihatan adalah tabung-tabung sumbangan yang diharapkan sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukan.

Overall, hats off to Rhadio Bros dan semua bands. Semoga bertemu lagi di edisi akan datang!

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅