Gila Gilaan Bersama Kugiran Masdo x The Changcuters

oleh Music Addicts Malaysia
242 bacaan

Pepatah selalu mengatakan, muzik meski disampaikan dalam bahasa yang tidak difahami, tapi selalu menyatukan penggemar di dunia.

Begitu juga bukan sebuah ‘dosa’ saat kugiran hebat tanah air bergabung dengan pemuzik dari seberang.

Bahasanya mungkin sedikit berbeza, tetapi muzik bersifat nusantara dan serumpun bukan sahaja membuat dua kugiran dari Malaysia dan Indonesia ini bersatu, namun bakal menghimpunkan rantaian peminat yang menjadi tulang belakang mereka.

Untuk itu dengan bangganya, Kugiran Masdo Empire (KME) sebagai peneraju menganjurkan konsert julung kali yang menggabungkan ‘kolaborasi pecah’ antara Kugiran Masdo dan The Changcuters.

Diberi nama Kugiran Masdo x The Changcuters, kolaborasi persembahan dua kumpulan yang berkongsi peminat dari dua negara ini dijadual berlangsung pada 29 Disember 2022, bertempat di Zepp KL. Konsert ini juga mendapat kerjasama dari Homebois, HWlab dan Flavaco.

“Sebagai penganjur KME mahu membawakan sebuah hiburan yang bersifat nusantara dan sangat berbesar hati kerana dapat menyatukan Masdo bersama The Changcuters.

 

“Ini melambangkan muzik tempatan atau dari negara jiran tidak ada beza jika kita saling menghargai, menyokong dan menghormati.

 

“Dengan dua genre muzik yang ‘gila gilaan’, disokong peminat yang sangat menjadi tulang belakang kelangsungan perjuangan kami, KME percaya Kugiran Masdo x The Changcuters di Zepp KL kelak akan mendapat sambutan.

 

“Apalagi pemilihan tanggal 29 Disember sebagai sebuah signifikan penutup tahun 2022 yang sudah melihat industri seni kembali semarak dan kami berharap kehadiran 2023 akan memberi lebih banyak rezeki serta kesempatan baik untuk seluruh industri terutama muzik,” ujar wakil penganjur KME iaitu  saudara Azanol atau lebih dikenali sebagai Putu Ceri.

Sementara itu, The Changcuters juga melahirkan keterujaan kembali ke Malaysia setelah sekian lama tidak membuat persembahan di hadapan peminat mereka di sini terutamanya buat Changcut Rangers.

“Tentu sekali lamaran yang diberi tidak akan disia siakan. Kugiran Masdo adalah sebuah ‘maniac’ di Indonesia dan The Changcuters sangat berbesar hati untuk berkongsi panggung dengan mereka.

 

“Kami akan pastikan malam Kugiran Masdo X The Changcuters adalah momen tak terlupakan buat semua penggemar kami,” ujar The Changcuters.

Kugiran masdo.

Kugiran Masdo yang cukup terkenal dengan hit Bunga dan Dinda telah berada dalam persada seni tempatan sejak 2015. Untaian karya mereka yang bersadurkan irama 60-an kemudian menjadi kegilaan di Indonesia dan membuat Kugiran Masdo sebagai  pemuzik ‘wajib’ dalam kebanyakan festival yang diadakan di serata republik tersebut.

The Changcuters.

The Changcuters  pula cukup terkenal dengan muzik garage rock sudah menakluk belantika muzik Indonesia seawal tahun 2006 menerusi lagu seperti Racun Dunia dan I Love You Bibeh.

Tiket bermula harga RM159 (Minami), RM179 (Berchanda), RM199 (Gila Gilaan), RM249 (Amore) dan RM799 (VIP Box) sudah mula dijual melalui https://tapau.asia/ticket. Dapatkan sebelum terlewat!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati