Kembara Kembali Selepas 8 Tahun Dengan Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah

oleh Music Addicts Malaysia
3,599 bacaan

Lapan tahun bukan jangka masa yang sekejap untuk sebuah rindu yang meranum. Terakhir, pada tahun 2014 kumpulan Kembara muncul dengan sebuah konsert di kota Kuala Lumpur. Kemudian dengan konsert yang meninggalkan 1001 kenangan itu, turut berbekas adalah kerinduan terhadap lagu-lagu rakyat serta perjuangan mereka.

Tahun ini, Shiraz Projects Sdn Bhd memikul tanggungjawab melunaskan kerinduan tersebut dengan membawakan KONSERT KEMBARA PANORAMA JINGGA: 1444 HIJRAH pada 31 Julai 2022 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bakal bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan Dato’ M.Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan mengheret penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Buat Zoul selaku gitaris dan gitaris kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1979 ini,  semangat mereka kali ini lebih membara. “Saya merasakan bahawa semangat kami lebih walaupun usia semua sudah agak menjangkau tetapi semangat kuasa kuda masih ‘maintain’. Kami betul-betul teruja dengan konsert yang akan datang ini.”

Kumpulan Kembara sudah memulakan persiapan sejak dua bulan lepas dan membayangkan bahawa banyak lagu yang akan dimainkan khusus untuk para peminat setia mereka. Menarik lagi, pemilihan lagu-lagu untuk konsert kali ini dibayangkan dalam repertoire yang sangat istimewa dan rare!

“Kita banyak nak kena main lagu-lagu yang kita belum pernah mainkan lagi. Jadi praktis kena lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, istimewanya kerana lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun. Tak disangka bila Kembara semak balik lagu-lagu kita ada, kita sendiri jadi  ‘ehh lagu ni sedap’ dan patut diketengahkan sebelum ini,“ ujar mereka bersama.

Buat Shahrum, pemain dram yang sebelum ini tidak dapat beraksi dalam konsert terdahulu, dia sangat ternanti-nantikan konsert yang akan berlangsung pada 31 Julai ini.

“Konsert ini saya rasa macam yang terbaik untuk semua kerana konsert yang lepas saya tak dapat main kerana tuntutan kerja. Saya berasa bangga dan akan buat terbaik.”

Ditanyakan kepada Dato’ M. Nasir tentang keistimewaan konsert kali ini, beliau menyifatkan ia sebagai suara satu generasi.

“Istimewanya konsert ini kerana ia merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80 an. Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi senikata. Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia,” terangnya yang merupakan vokalis dan pengasas kumpulan ini.

Tambahnya, “Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (80 an) sahaja. Dan bentuk muzik  akan menjangkau generasi.”

Menurut Shirazdeen Karim selaku Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat akhirnya bakal terlaksana juga pada Julai ini.

“Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelum pandemik lagi dan kami akur dengan keadaan yang melanda. Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu- lagu Kembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari. Pastinya Kembara akan memberikan sebuah persembahan yang bertenaga dengan untaian lagu-lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik untuk para pendengar.”

Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) sudah mula dijual mulai 10 Jun 2022 lalu. Peminat-peminat Kembara juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman web www.myticket.asia.

Shiraz Projects mengharapkan para peminat Kembara khususnya akan mendukung konsert ini. Melihatkan sokongan yang diberikan kepada selebriti tanah air yang muncul dengan pelbagai konsert tahun ini, Shiraz malah yakin konsert ini memang ditunggu-tunggu.

Konsert Panorama Jingga 1444 tesebut disifatkan akan mengubat rindu peminat Kembara di zaman 80an dan akan juga memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik Kembara dengan akrab lagi dengan persembahan bertenaga mereka kelak.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati