Setelah berehat hampir dua tahun daripada dunia muzik, kumpulan muzik yang berasal dari Sarawak, Roses Are Black (RAB), kembali mencuri perhatian dengan single terbaru mereka, Just Confess No Regrets. Lagu ini disertakan sekali dengan video muzik rasmi yang telah dimuatnaik ke saluran YouTube rasmi mereka, menawarkan pengalaman visual yang mendalam dengan durasi 3 minit 56 saat.
Dalam perbualan eksklusif, Arthur (vokalis/gitar kedua) mengulas mengenai makna lagu yang menyayat hati ini. Lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang terperangkap dalam hubungan yang toksik. Dia mula berfikir panjang tentang masa depannya, kesejahteraan mentalnya, dan akhirnya memutuskan untuk mengakhiri hubungan tersebut demi kesejahteraan hidupnya, menggambarkan bahawa lagu ini adalah suatu luahan untuk mereka yang mungkin melalui situasi serupa.
Walaupun kumpulan ini berasal dari Sarawak, mereka telah giat melangkah ke hadapan demi menonjolkan bakat mereka di persada muzik tanah air.
“Kami baru sahaja selesai membuat persembahan di Behave, Ampang, dan mengharapkan lebih banyak jemputan daripada penganjur di Semenanjung. Kami ingin mempersembahkan lagu-lagu kami dan mendekati para peminat di seluruh Malaysia,” kata Arthur dengan penuh semangat.
Lagu ini tidak hanya bertujuan untuk menghibur, tetapi juga mencetuskan kesedaran mengenai kesan emosi daripada hubungan yang tidak sihat.
Di pengakhiran video muzik, penonton dapat melihat babak yang dramatik di mana wanita tersebut melanggar si lelaki dalam suatu simbolik bahawa perpisahan kadangkala mungkin membawa kebebasan dan harga diri. Kesimpulan yang dipaparkan juga seolah-olah mengajak pendengar merenung lebih dalam tentang makna hubungan dalam kehidupan.
Berkongsi pengalaman mereka dalam menghasilkan single ini, anggota kumpulan turut mengakui pelbagai cabaran yang perlu diharungi.
“Masa adalah cabaran terbesar kami. Kali terakhir kami merilis lagu adalah pada tahun 2022, Roses for Christmas. Selepas itu, kami semua terikat dengan komitmen peribadi. Tahun ini kami akhirnya dapat mengatur masa bersama, dengan harapan membawa karya kami ke tahap lebih tinggi,” kata mereka dengan nada penuh harapan.
Mengenai pelan jangka panjang, RAB berhasrat menghasilkan album penuh yang bakal memuatkan lagu-lagu baru termasuk ‘Just Confess No Regrets’. Mereka juga turut menzahirkan harapan agar karya mereka dapat diputar di stesen radio di Semenanjung Malaysia.
“Dengan pelancaran single ini, kami menyasarkan untuk menembusi pasaran yang lebih luas dan menghiburkan lebih ramai pendengar,” tambah mereka.
Unit ini mengakhiri perbualan dengan pesanan manis kepada para peminat: “Teruskan mengikuti perkembangan kami di laman sosial seperti Facebook, YouTube, Instagram, TikTok dan X untuk berita terkini. We love you guys ❤️,” ujar mereka dengan senyuman lebar.
Bagi peminat dan penggemar muzik tempatan, Just Confess No Regrets menjanjikan perjalanan emosi yang mendalam dan memberi harapan baharu kepada mereka yang menginginkan kebebasan daripada hubungan yang toksid. Saksikan sendiri, dan nikmatilah kisah lagu yang mungkin menyentuh hati anda.
Ikuti perkembangan kugiran ini di: