Produser/rapper DC Willie telah mengumumkan pelancaran EP terbaru beliau dengan kolaborasi bersama Sophiarazk berjudul Pop*Yihh pada tanggal 1 Julai 2022. POP*YIHH telah dilancarkan di platform penstriman rasmi YouTube dan Spotify dengan dua trek dan jangka masa 6 minit 44 saat.
Menurut DC Willie, POP*YIHH merupakan sebuah EP yang hadir dengan 2 trek sahaja iaitu POP dan YIHH. Beliau juga menyatakan bahawa POP*YIHH adalah sebuah EP yang penuh dengan rentak emosi amarah yang dipengaruh oleh Playboi Carti, Cochise, Kaycyy, dan juga Lancey Foux.
Pop*Yihh merupakan diskografi ketiga yang dihasilkan oleh DC Willie. Sebelumnya, beliau telah menghasilkan album debut yang direkodkan secara DIY di Sentul dengan judul Qhail. Qhail telah dilancarkan pada 20 November 2020. Selepas itu, beliau berkolaborasi dengan DC Maine dan menghasilkan EP Moon Trap pada tahun 2021.
Dengan lebih 165,000 oenstriman seluruh dunia untuk album Qhail, DC Willie kembali bersama Sophiarazk di dalam EP terbaru dengan hasil kerja moden yang dipenuhi kepelbagaian DC Willie dan juga spektrum pengaruh yang meluas.
DC Willie menegaskan bahawa POP*YIHH berkisar tentang pergelutan mereka di dalam skena bawah tanah Hip-Hop di Malaysia dalam penghasilan muzik. Pergelutan yang dilalui mendorong mereka membuat muzik tentang usaha mereka untuk menjadi artis kreatif seterusnya menghasilkan karya gelombang baru di dalam industri Hip-Hop.
Duo dinamik ini menjanjikan persembahan terbaik buat para pendengar yang bakal membuatkan mereka naik gila untuk turut serta di dalam moshpit. Tidak dilupakan juga trademark “SLATT!!” DC Willie pada setiap persembahan.
Dengarkan EP POP*YIHH di platform penstriman Spotify dan Youtbe rasmi DC Willie serta ikuti media sosial rasmi Instagram DC Willie dan Sophiarazk untuk kemaskini aktiviti terkini.