Jikalau Hang Tuah dahulu kala masyhur serata alam Melayu kerana kehebatannya berpencak silat dan mengepalai hulubalang Istana Melaka, Hang Tuah moden ini apa kurangnya juga. Memulakan perjalanan seni dari Kota Temasek, Hang Tuah yang satu ini tahu bahawa untuk menawan jiwa penghuni tanah Melayu, beliau harus berhijrah. Kota Kuala Lumpur menjadi pilihan Hang Tuah kita, untuk memperkasakan legasi seni serta menghasilkan karya-karya hebatnya.
Sedar tidak sedar, sudah genap 45 tahun Hang Tuah kita atau nama pentasnya Dato’ M. Nasir, berada dalam lapangan seni. Menjadi juara dalam kerjayanya tanpa bersaing dengan sesiapa – begitulah hebatnya sang Sifu yang satu ini. Malam minggu lalu, beliau melakarkan satu lagi kejayaan menerusi Konsert Dato’ M. N4sir Cipta di Axiata Arena. Dihadiri oleh 8,000 peminat yang datang bukan hanya dari Kuala Lumpur saja, bahkan dari Singapura, Sabah dan Sarawak. Ada juga penulis terdengar perbualan penonton, yang mereka pulang dari Qatar semata-mata untuk menyaksikan konsert legenda yang satu ini.
Kalau dikira dalam banyak-banyak konsert yang telah beliau jayakan, pasti ramai juga yang terfikir apa lagi kelainan yang boleh ditampilkan. Namun maestro yang satu ini tahu bahawa umpan utama dalam konsertnya sudah pasti adalah himpunan lagu-lagu hebat dari katalog muziknya untuk dipersembahkan secara langsung dengan susunan melodi lebih segar. Beliau tidak perlukan gimik dan juga set pentas yang melebih-lebih, cukup dengan deretan lagu legendanya sahaja.
Sorakan kuat satu stadium bermula saat Dato’ M. Nasir tampil di pentas. Raikan Cinta menjadi lagu pembuka acara. Ternyata pada minit pertama konsert saja peminat sudah mula bangun dan berjoget beramai-ramai. Kemudian, penonton dibawa mengimbau kembali memori pada tahun 1992 menerusi lagu Bikin Filem. Liriknya yang cukup sinikal, memerli industri perfileman pada zaman itu, penulis kira masih lagi relevan hingga ke hari ini. Sesi pertama konsert diteruskan dengan lagu-lagu seperti Tujuh Nafas Lagi, Senandung Semalam dan lagu ikonik daripada kumpulan Kembara; Hati Emas. Gabungan lagu-lagu Dato’ M. Nasir dari beberapa era menjadikan 15 minit pertama konsert berjalan cukup meriah.
Dato’ M. Nasir kekal menjadi seorang Dato’ M. Nasir, tidak banyak berbicara. Kalau ada pun, ayatnya pendek-pendek sahaja. Beliau tahu peminat datang menantikan persembahan lincah dan bertenaga beliau. Tiada berbasa-basi, terus saja beliau meneruskan konsert dengan segmen medley ballad. Gegak-gempita Axiata Arena apabila lagu-lagu berhantu beliau dipersembahkan pada malam itu; Seroja, Cinta Kristal, Senja Nan Merah dan Seribu Tahun Takkan Mungkin – berjaya membuat para penonton berkaraoke beramai-ramai. Ternyata lagu rock ballad seperti ini tidak akan hilang ditelan zaman dan sentiasa akan ada peminat yang cukup ramai.
Komposer serba boleh bukan sekadar polemik atau retorik buat sifu kita ini. Seloka Cinta Remaja dan Bercanda Di Pasiran Pantai dipersembahkan, mewakili genre bossa yang pernah beliau hasilkan. Terus saja penulis merasa rindu kepada diva yang satu, Anita Sarawak dan juga Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad. Bercanda Di Pasiran Pantai yang Dato’ M. Nasir tampilkan mengimbau kenangan penonton akan kehebatan dua legenda tanah air, yang mana lagu ini cukup seksi dipersembahkan oleh mereka berdua.
ketahui kisah-kisah menarik di sebalik lagu-lagu Dato’ M. Nasir di sini:
Pasti sukar menjadi seorang singer songwriter seperti beliau, apabila dalam lembaran diskografi muziknya lebih 3,000 buah lagu telah ditulis, sama ada dinyanyikan sendiri atau pun diberikan kepada penyanyi lain. Namun Dato’ M. Nasir terpaksa memilih hanya tiga lagu untuk mengisi persembahan beliau dalam segmen medley Rock Berat. Sekali lagi, satu stadium bergema dengan suara penonton yang bernyanyi bersama-sama menerusi Cinta Sakti, Seragam Hitam dan Tinggal Satu Peluru. Menerusi segmen ini, penulis sangat suka dengan rendisi Seragam Hitam yang dipersembahkan cukup solid dan segar. Limpahan cahaya lampu pentas membuatkan penontoh makin naik ‘sheikh’.
“Kalau nak bangun menari, menarilah. Jangan malu-malu!” Dato’ M. Nasir mengingatkan kepada penonton bahawa konsertnya itu adalah tempat untuk mereka berhibur dan lupakan masalah. Penulis sangat suka melihat penonton-penonton dewasa dan matang, rata-rata berumur 30 tahun ke atas, datang bersama pasangan dan keluarga lalu berhibur bersama-sama. Masing-masing pastinya mengimbau semula kenangan membesar bersama rantaian lagu-lagu popular komposer hebat yang satu ini.
Malam itu diteruskan dengan seleksi lagu irama tradisional dan nusantara yang telah beliau karang. Segmen ini pastinya menjadi segmen paling peminat tunggu-tunggu, kerana siapa saja boleh lupa persembahan seorang M. Nasir yang lincah melompat ke sana ke mari apabila menyanyikan lagu-lagu irama sebegini. Penulis cukup hairan entah mana datang kuasa dan tenaga beliau yang sudah berusia 67 tahun ini! Sikit saja lagi akan mencapai usia 7 dekad, namun tenaganya seperti tidak pernah habis. Lebih buat penulis kagum, sepanjang konsert tiga jam itu, Dato’ M. Nasir tidak sekali pun berhenti untuk minum air! Tidak ada ya. Gila betul tenaga dia ini!
Phoenix Bangkit, Tanya Sama Itu Hud Hud, Andalusia, Sahabat Gua, Ada, Menterah Semerah Padi, Suatu Masa, Sentuhan Listrikmu antara deretan lagu yang didendangkan pada segmen ini. Ketika ini, penonton semua sudah hilang malu, satu stadium bangun menari bersama-sama. Aura dan persona legenda yang satu ini ternyata tidak pernah pudar kerana bukan mudah untuk menguasai dan mempengaruhi para peminat. Namun beliau membuktikan kehebatan beliau apabila kekal relevan selamat hampir 5 dekad dalam dunia seni.
Malam indah itu ditutup dengan persembahan Apokalips. Lirik lagunya yang cukup dekat dengan nasib dan hidup kita semua menjadi penutup yang cemerlang dan signifant buat Konsert Dato’ M. N4sir Cipta ini. Konsert yang berlangsung selama 3 jam ini tidak langsung terasa lama, bahkan ramai seperti tidak puas kerana ada lagu kegemaran mereka yang tidak dipersembahkan! M. Nasir membuktikan bahawa bakat dan persona seorang bintang bukan bersandar pada usia dan rupa. Dan penulis percaya, lagu-lagu seniman Dato’ M. Nasir pastinya berdiri setanding karya Tan Sri P. Ramlee dan menjadi lagu malar segar sepanjang zaman. Magika dan taring beliau di atas pentas terbukti tidak pernah berkurang.
Kalau Hang Tuah zaman dahulu sentiasa dikenang dalam dunia persilatan alam Melayu, Hang Tuah zaman sekarang disanjung kerana hebatnya beliau membina empayar dalam industri muzik alam Melayu.