Media arus perdana kita memang terkenal dengan sifat suka menyibuk hal peribadi orang lain. Bila dijemput ke majlis-majlis sidang media berkenaan karya terbaharu atau acara akan datang, sedikit pun tidak terlintas di dalam benak hati mereka untuk bertanyakan tentang hasil seni artis dan selebriti tersebut. Sebaliknya, kisah peribadi mereka pula yang sibuk ditanya dengan soalan-soalan yang memualkan dan adakalanya sangat mengganggu privasi mereka.
Begitulah yang berlaku baru-baru ini sewaktu sidang media Konsert 3 Generasi Noh Salleh, Spider dan XPDC yang diadakan di Kuala Lumpur.
Kosmo! Online semalam memuatnaik satu video temubual mereka bersama Noh Salleh yang melihatkan vokalis Hujan tersebut kelihatan sangat terganggu dengan soalan peribadi tentang gossip rumah tangganya bersama Mizz Nina. Sepatutnya yang ditanya adalah tentang persiapan Noh untuk konsert tersebut, ada tak sebarang gimik atau kolaborasi, kenapa memilih persembahan solo berbanding bersama Hujan, perancangan untuk album baharu atau beratus lagi soalan lain yang relevan dengan situasi dan peluang. Malangnya, anda boleh tonton sendiri video di bawah:
https://www.facebook.com/100001702227905/videos/627672465010127
“Korang ketandusan cerita kot? Media kita kan suka cerita pasal peribadi berbanding pasal lagu.”
Sambil menghembus vape, khalayak umum, waima media sendiri yang sudah terbiasa dengan cerita-cerita gossip murahan pastinya terkejut mendengar ayat tersebut keluar dari mulut Noh.
“Saya faham kelemahan media kita. Dia lagi fokus benda yang merepek daripada benda yang betul-betul artis tu kerjakan.”
Jawapan sinis dan pedas tersebut ternyata ‘mengoyakkan’ wartawan yang tidak biasa berdepan dengan selebriti lantang seperti Noh.
“Kenapa pulak nak kata kat media? Yela, kami tanyalah sebab benda dari media sosial. Daripada kami percaya kat benda tu baik kami tanya tuan punya diri.” – Wartawan
Kepedihan mereka ditambah lagi apabila Noh menjawab, “Pada saya hal peribadi adalah peribadi, saya keluar untuk menonjolkan karya saya dan seni saya, bukan jual kisah peribadi saya.”
Sudah masanya media arus perdana kita ‘diajar’ tentang dan adab dan sensitiviti ketika bertemu selebriti. Kehadiran sosok-sosok berani seperti Noh Salleh di dalam industri amat diperlukan ketika ini untuk bersuara sekaligus ‘membalun’ nyamuk-nyamuk ini sebelum ia menjadi kudis yang akan merosak dan membantutkan usaha kita untuk lebih maju ke hadapan. Syabas Noh!
Menelusuri ruangan komen di media sosial Kosmo! Online, majoriti netizen bersetuju dengan respon Noh tersebut.
“Nak bercakap tu kena pandai, umpama menarik rambut di dalam tepung, salah tanya sendiri yg tanggung.” Mohamad Sapini Sam
“Dia gini…aku tak kisah pun ape nk jadi dgn rumahtangga artis…aku doa yg baik2 je… Bolleh tak kalau media tumpu kat karya…ko nak spin berita karya tu lantak lah mcm mana pun…be kreatif sikit …peminat muzik xde masa nk layan gossip media karat.” – Ari EniQma Ahmad
“Media koyak
tulah kan lebih elok tanya apa karya baru ke, lagu baru ke, projek seterusnya, apa benda tanya hal rumah tangga orang.” – Alif Din
“fitnah netizen pulak, cakap wakil netizen tanya. hello netizen tahu cerita pun dari media eh. bila masa netizen pulak yang cakap. pandai2 je. dah malu pastu cakap mcm tu. tak nmpak pun netizen update pasal noh dgn pasangan
boooo” – Shena Saharuddin
“Betul laa tu. Media ni suka menghangatkan cerita. 1 of reason Mr general malique keluar Dari industri adalah MEDIA !” – Rahmat Reza
“Cara lu hembus asap vape berulang kali kt dpn muka reporter tu pun wa da nmpk lu x suka dia Noh.dia cam x paham2 jer.pe pun,pe lu ckp wa suka.media mmg suka jaga hal peribadi artis dr up kan hasil seni artis tu sendiri.nak kasi laku paper diorang.” – بنجي إسکندر
Konsert 3 Generasi Noh Salleh, Spider dan XPDC akan diadakan pada 27 Ogos 2022 ini di Zepp, Kuala Lumpur. Kepada yang ingin mendapatkan tiket, boleh layari laman web Uber Ticket sekarang.