Peneraju sound Death Metal beracuan Kemelayuan, Langsuir telah mengumumkan siri jelajah terkini mereka Melayu-Mystic Peninsular Tour 2025. Siri jelajah yang dianjurkan oleh label rakaman Goatlordth Records akan mengelilingi lokasi di Semenanjung Malaysia dengan disokong oleh Apocalyptic Carnage dan Pendita Gila.
Melayu-Mystic Peninsular Tour 2025 merupakan yang pertama kalinya menampilkan ahli-ahli Langsuir terkini semenjak EP Engkar dikeluarkan selain mempersembahkan imej Langsuir yang diperbaharui. Sebanyak 6 tarikh persembahan telah disahkan dengan beberapa lagi masih dalam perbincangan. Melayu-Mystic Peninsular Tour 2025 juga merupakan promosi untuk EP Engkar dan juga sebagai teaser kepada EP terbaharu yang di peringkat akhir adunan.
Bentara (gitar utama/komposer) dan Mirlanast (gitar kedua) dalam kenyataan bersama, “Ini adalah seruan kepada pengikut lama dan baharu Langsuir! Kami bakal bergentayangan ke kawasan anda dalam siri jelajah Melayu-Mystic Peninsular Tour 2025 mulai Februari ini!
Nantikan persembahan pentas lebih bertenaga, diperkaya dengan haruman kemenyan, serapah keturunan serta elemen mistikal Melayu yang membangkitkan semula semangat asal Langsuir.
Kini dengan kemasukan ahli-ahli baharu, Langsuir tak sabar untuk menjamu anda pilihan gurindam dan serapah purba daripada EP Engkar, menjampi sumpahan terbaharu daripada EP ‘F’ selain melagukan syair klasik Langsuir. Semuanya dilengkapi dengan sentuhan mistikal Melayu Nusantara yang mendefinisikan Langsuir sejak sekian lama.
Hadir ke mana-mana ritual Langsuir atas risiko sendiri! Ayuh Berdansa!”
Perancang utama, Aizat Rosebi (Goatlordth Records) menerangkan, “Goatlordth Records teruja dengan peluang merangka tour untuk band bertaraf legenda seperti Langsuir. Ini adalah peluang untuk peminat lama dan baharu melihat Langsuir kembali berpentas dengan line-up baharu serta menjiwai pengalaman Malay-Mystic Death Metal yang sebenar. Tiada yang lain, hanya satu sahaja Langsuir!”
Melayu-Mystic Peninsular Tour 2025 dimulakan dengan penampilan Langsuir di Goatlordth Black Congregation, 15 Februari 2025, Petai Belalang Kuala Lumpur. Tiket boleh didapati di sini.
Berita terkini siri jelajah ini akan sentiasa dikemas kini di profil Facebook Goatlordth Records dan Langsuir.