Debut ‘Kemana’ Mengangkat Isu Pengkhianatan: Selamat Datang Igneous!

oleh Boes!
551 bacaan

Igneous, sebuah kugiran lokal yang berpangkalan di daerah yang terkenal dengan menara condong di Perak, muncul sebagai kumpulan gitar rancak arus bawah tanah baharu yang akan memeriahkan industri muzik tempatan. Dianggotai oleh tiga pemuzik iaitu Eizlan (Vokalis, Gitar), Izzat (Bassist) dan Luqman (Dram), mereka mempertaruhkan genre muzik pop punk/ alternatif yang dijangka akan meluaskan lagi spektrum muzik Malaysia dan memeriahkan skena muzik nasional alaf ini.

Igneous. Dari kiri Eizlan (Gitar, Vokal), Luqman (Dram), Izzat (Bass)

Kumpulan kelahiran Teluk Intan ini ditubuhkan pada tahun 2024 dan telah melancarkan lagu pengenalan mereka yang berjudul “Kemana”. Judul lagu ini bukanlah satu pertanyaan kerana tidak diakhiri dengan tanda soal. Penulis yakin lagu ini akan sampai ke telinga pendengar baharu dan mungkin akan dimasukkan ke dalam senarai putar mereka suatu hari nanti.

Dicipta sepenuhnya oleh mereka sendiri dan mendapat sentuhan Amy Ladd dan Steve Corrao (USA) untuk proses rakaman dan mastering, lagu ini telah dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Januari lalu, bersama-sama video muzik rasmi yang disunting sendiri oleh vokalis kumpulan ini, berlatarkan lokasi tempatan. Lagu dan video rasmi ini boleh ditonton dan didengarkan di laman YouTube Igneous-band atau melalui pautan video di bawah:

Sebelum mengulas lagu ini, penulis berkesempatan menemu bual Eizlan, vokalis kumpulan Igneous untuk mengetahui serba sedikit tentang latar belakang kumpulan dan lagu debut mereka.

MAMY : Boleh ceritakan sedikit bagaimana bermulanya sejarah kumpulan dan nama Igneous ini sendiri?

Igneous ditubuhkan pada tahun 2024 selepas kami menghasilkan beberapa buah lagu, namun masih belum mempunyai nama kumpulan yang sesuai. Nama Igneous dicadangkan oleh isteri saya sendiri. Keunikan nama tersebut menarik perhatian kami, dan kami bersetuju untuk menggunakannya.

MAMY : Berdasarkan pengamatan saya, lagu “Kemana” mengisahkan tentang persahabatan yang retak. Kisah seseorang yang meninggalkan kenangan pahit. Adakah lagu ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadi?

Ya, kisah lagu ini memang ditulis berdasarkan kisah benar. Mengisahkan tentang seorang sahabat yang pernah bersama-sama bermain muzik, namun telah mengkhianati kami dan menghilangkan diri. Lagu ini ditulis untuk menceritakan pengalaman tersebut sehingga kami tidak mahu lagi menerima kehadirannya. Signifikannya ditunjukkan dalam bait terakhir lirik lagu ini yang berbunyi, “Jika nanti kau kembali bersama, tak ku terima.”

MAMY : Boleh ceritakan sedikit tentang pengaruh muzik Igneous? Adakah kalian mendapat inspirasi daripada kumpulan muzik tempatan atau antarabangsa? Adakah kumpulan muzik tertentu yang menjadi idola dan rujukan kalian?

Kiblat muzik kami adalah ke arah alt rock/ pop punk. Kami mengutamakan muzik yang ringkas dan enak didengar, tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Kami mendapat inspirasi daripada pelbagai kumpulan muzik seperti Green Day, My Chemical Romance (MCR) dan Bullet for My Valentine.

MAMY : Harapan kalian untuk Igneous dan perjalanan seni di masa hadapan?

Harapan terbesar kami adalah untuk memeriahkan lagi skena muzik di kampung halaman kami iaitu Teluk Intan. Semoga debut pertama kami ini dapat membuka mata semua pihak, terutamanya masyarakat Teluk Intan, sehingga dapat menarik minat anak muda lain untuk mula berkarya.

Mengulas lanjut tentang single “Kemana”, penulis secara amnya menyukai lagu ini berdasarkan justifikasi tertentu. Konsep lagu ini tidak mengecewakan; mempunyai rasa dan gaya yang sesuai untuk diangkat sebagai sebuah lagu yang memperkenalkan kumpulan ini kepada khalayak ramai. Dengan penggunaan bahasa yang menarik, lagu ini secara peribadi melepasi nilai ambang bagi sebuah lagu pengenalan.

Dari segi penceritaan dan penyampaian, lagu ini mengingatkan penulis kepada kugiran indie pop senegeri, Couple, namun dengan sentuhan yang sedikit keras dan berlegar dalam spektrum alternatif genre mereka. Perjalanan lagu ini baik pada rangkap pertama, tetapi terdapat sedikit kekok pada pra-korus dan kemudiannya dipulihkan dengan bahagian korus yang menarik dengan lirik dan susunan melodi yang tersendiri.

Tema kekecewaan dalam persahabatan yang diangkat dalam lagu ini adalah tema universal dan boleh diterima mudah oleh pendengar. Meskipun terdapat pengulangan lirik pada bahagian korus, kumpulan ini bijak bermain dengan suasana yang melengkapi perjalanan lagu, menghasilkan sebuah lagu yang anthemic dan sentimental.

Apa yang kurang pada lagu ini, walaupun  menarik dan melepasi nilai ambang sebagai lagu pengenalan, adalah ia kedengaran agak generik. Mungkin secara peribadi, melodinya kedengaran biasa kerana mungkin kita belum melihat identiti sebenar kumpulan ini kerana mereka masih baharu, atau mungkin mereka sebenarnya menyimpan “senjata rahsia” pada karya yang akan datang? Walau apa pun, penulis berharap agar Igneous terus menghasilkan karya-karya lebih baik yang dapat mengangkat mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Akhir kata, semoga sukses Igenous untuk masa sekarang, akan datang dan sampai bila-bila! Selamat datang ke industri muzik Malaysia!

Ikuti mereka di laman sosial rasmi berikut:

Instagram rasmi Igneous

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅