
Hamtaro dari Kaleidoscope Flowers
Di sebalik perkembangan pesat muzik di negara jiran, industri muzik Malaysia masih lagi berdepan dengan cabaran untuk bersaing, dengan kebanyakan karya tempatan lebih cenderung kepada tema percintaan. Biasanya, keberanian yang sering ditemui dalam karya muzik tempatan lebih terarah kepada mengkritik pemimpin atau kerajaan. Namun kali ini, kami ingin memperkenalkan satu lagi bentuk keberanian dalam berkarya, yang tidak hanya terhad kepada isu sosial atau politik, tetapi dalam menafikan semua aturan penulisan lagu yang biasa digunakan, selain turut mengambil inspirasi daripada gaya muzik Jepun yang unik untuk memberi kelainan dalam lanskap muzik yang dicipta.
Pizza Crust dan Kaleidoscope Flowers
Luqmanul Hakim bin Zulkifli, atau lebih dikenali dengan nama pena Hamtaro memulakan perjalanan muziknya dengan membentuk unit indie bernama Pizza Crust pada tahun 2021 bersama dua rakannya. Namun, selepas mengalami beberapa cabaran, band tersebut akhirnya berubah menjadi sebuah projek solo dan dijenamakan semula kepada Kaleidoscope Flowers sebagai ‘one-man band‘ yang diterajui oleh Hamtaro sendiri sebelum Zakuan menyertai band tersebut pada 27 Ogos 2024 yang lepas.
Kaleidoscope Flowers mengambil inspirasi daripada The Beatles dalam penulisan liriknya, serta mencorakkan gaya muziknya dengan pengaruh band indie tempatan seperti Komplot, Hujan, dan The Times. Muzik dan liriknya sering kali mencerminkan gabungan antara elemen penulisan yang berani dan nuansa lagu yang moden. Hamtaro berjaya mencipta satu identiti unik dalam muzik yang dicipta beliau.
Weeaboo dan Muzik
Sebelum menceburkan diri dalam dunia muzik, Hamtaro pernah melalui fasa sebagai seorang ‘weeaboo’, iaitu peminat setia (obses) budaya anime Jepun. Di zaman sekolahnya, beliau amat meminati watak Akeno Himejima dari siri Highschool DxD, yang memberikan pengaruh besar dalam fasa awal pembentukan dirinya.
Namun, seiring berlalunya waktu, Hamtaro meninggalkan fasa tersebut dan kembali pulang dan terus masuk ke dalam dunia muzik indie tempatan. Perubahan arah hidupnya semakin terlihat selepas sesi jamming yang santai di sekitar kem jati diri yang disertai sewaktu zaman persekolahan yang akhirnya membawa kepada penghasilan tiga demo pertama ini. Demo ini jugalah yang menjadi titik permulaan kepada karier muziknya yang kini mula berkembang.
Inspirasi Utama Penulisan Lagu
Usai dari kem jati diri, Hamtaro merasakan bahawa mencipta lagu bukanlah sesuatu yang sukar, malah ia menjadi lebih mudah selepas beliau menjadikan Noh Salleh (Hujan) sebagai sumber inspirasi semasa tempoh lockdown. Sesi ‘Satu Hari Satu Lagu’ yang diperkenalkan oleh Noh memberikan impak besar dalam proses kreatifnya, di mana ia bukan sahaja memberi motivasi, tetapi juga membuka ruang untuk beliau mencuba pelbagai gaya penulisan lagu. Persembahan yang ditunjukkan oleh Noh dalam sesi tersebut memberi dorongan tambahan kepada Hamtaro untuk mula berkarya dan menghasilkan lagu-lagu yang menunjukkan ekspresi beliau secara terus tanpa selindung dan berlapik selari dengan adab Melayu.
Tapi aku betul-betul into writing ni masa pkp ah, lepas aku tengok dekat ig, time tu Noh release satu hari satu lagu, dari situ ah aku macam, “oh, senang je nak buat lagu”.
Aku perhatikan yang nak buat lagu ni sebenarnya, tak perlu pon pasal cinta. kau literally boleh tulis apa-apa topik yang kau rasa nak tulis.
I’d Like To See Her Pee : Pertemuan Kreatif Weirdo Bedroom Pop dan Kaleidoscope Flowers
Mewangikan seluruh
Hidupku ini biarpun hanya
Bau dari peluhmu
Tetapku bawa sampai ke tidur
Salah satu rangkap lirik dalam lagu Hamtaro mungkin memberi gambaran tentang seseorang yang memiliki sindrom fetishism, di mana seseorang yang menyukai barangan atau objek tertentu yang memberi mereka kelegaan.
Namun, menurut Hamtaro sendiri, lirik tersebut lebih kepada sebuah igauan di siang hari yang tiada maksud mendalam.
At the time, tak penah la dapat apa-apa barang dari crush, banyak berangan je aku ni dulu.
Bagi beliau, ia lebih kepada ekspresi perasaan yang muncul secara spontan, tanpa niat atau tujuan tertentu. Lirik tersebut bukanlah untuk menggambarkan sesuatu yang literal atau sesuatu memiliki makna yang mendalam, tetapi lebih kepada penceritaan yang bebas yang menjadi inspirasi semasa proses penulisan.
Demo : Nia, Senapang Patah dan Gadis Anime
Tiga demo yang berani telah dipertontonkan kepada umum oleh Hamtaro, mempamerkan sound indie-bedroom pop yang diadun bersama alunan rock dan penuh dengan ekspresi. Penulisan liriknya yang berani mencerminkan pemikiran yang jujur dan tiada kompromi. Hamtaro menegaskan bahawa tidak akan ada apa yang berubah terutamanya penulisan lirik sekiranya tiga demo ini berpeluang untuk pergi ke arus perdana.
Bagi beliau, mengubah lirik asal hanya akan menghilangkan kesenian yang sebenar, kerana dia benar-benar melemparkan isi hatinya dalam setiap kata yang tertulis dalam lagu-lagu tersebut. Suka atau tidak, Hamtaro tetap mempertahankan ketegasannya dalam berkarya, dan ini membuktikan bahawa beliau adalah salah seorang penggiat indie yang berani. Dalam salah satu liriknya, Hamtaro juga mengkritik masa lalunya sebagai seorang weeaboo yang pernah terjebak dalam dunia tersebut, namun berjaya diselamatkan dan kembali kepada dunia yang lebih bermakna. Dengan kesedaran itu, Hamtaro jelas mengutuk sifat loser dalam diri seorang weeaboo, sebuah kritikan terhadap dirinya yang lalu, dan juga terhadap mereka yang masih terperangkap dalam fasa tersebut.
Kini, anda boleh dengarkan ketiga-tiga demo ini di platform strim SoundCloud dan Youtube.
Klik pautan: