Menua Bersama D’Masiv: Cinta Sampai di Kuala Lumpur

oleh Music Addicts Malaysia
696 bacaan

Kredit: @taufiqnadzri

Oleh: Wan Ahmad Syakir


Pada tanggal 4 Februari yang lalu, aura magis D’Masiv kembali menyapa penggemar setianya di Malaysia untuk siri perjalanan muzik bertajuk D’Masiv: Cinta Sampai di Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Ifix Entertainment dengan kerjasama Panggung Asia, pentas megah Mega Star Arena, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai venue rasmi bagi band pop terkemuka dari Indonesia itu untuk mempersembahkan karya-karya mereka kepada para penggemar setia di Malaysia.  Bagi mereka yang terlepas, atau masih merindukan momen bergalau bersama D’Masiv pada tahun sebelumnya, peluang ini tidak boleh disia-siakan. Acara ini berhasil mengumpulkan lebih dari 2,000 pengunjung yang membanjiri venue, termasuk penggemar dari negara-negara tetangga seperti Singapura, Brunei, dan Indonesia.

Bermula seawal jam 8.00 malam, konsert ini menampilkan kumpulan Spider sebagai pembuka acara tersebut. Karisma semula jadi yang mengalir dalam tubuh vokalis utama Spider, Tam benar-benar terasa sebaik sahaja beliau membawakan lagu-lagu hits mereka seperti ‘Tapi Bagaimana’, ‘Aladin’, ‘Relaku Pujuk’ dan ‘Bila Nak Saksi’. Suara emas Tam seolah menghidupkan semangat penggemar yang hadir, siap untuk menelusuri samudra kesedihan bersama D’Masiv. Pemilihan Spider sebagai kumpulan pembukaan tidak diragukan lagi sebagai pilihan yang tepat, menambah semarak acara ini.

Tanggungjawab sebagai ‘emcee’ pada konsert tersebut pula digalas sebaiknya oleh Muaz yang merupakan penyampai radio daripada Kool Fm. Jelas pengalaman yang ada pada dirinya berjaya mengawal ‘mood’ pengunjung yang hadir, di saat mencuri masa memberi ruang kepada D’Masiv sedang melakukan persiapan terakhir. Kebijaksanaan beliau berinteraksi bersama pengunjung berjaya mewujudkan suasana yang tidak bosan sehingga tak terasa diri sedang disidai. Sedikit pandangan peribadi, hal ini seharusnya diambil serius oleh semua penganjur acara khususnya untuk ‘scene’ lokal dalam kriteria pemilihan ‘emcee’ bagi sesebuah acara. Ulangkaji yang secukupnya amatlah diperlukan untuk mengendalikan sesebuah acara bagi mengelakkan suasana menjadi suram dan bosan, apatah lagi ‘cringe’ dan syok sendiri yang kadang kala dapat dilihat pada sesetengah acara. Slot yang diamanahkan tersebut sebenarnya merupakan waktu kritikal untuk sesebuah acara dan disebabkan itulah pemilihan untuk ‘emcee’ tersebut perlu dititik beratkan dan bukanlah sekadar tangkap muat.

Kredit: @taufiqnadzri

Kembali ke panggung utama bersama D’Masiv, segalanya tampak berjalan lancar dan teratur. Semua elemen digarap dengan baik oleh kumpulan yang dipimpin oleh vokalis Rian Ekky Pradipta. Meskipun D’Masiv dikenali dengan lagu-lagu yang melankolis, malam itu turut menjadi malam yang penuh dengan sentuhan persahabatan, kekeluargaan, dan persatuan antara dua negara. Boleh dikatakan, kekuatan D’Masiv bukan sekadar pada melodi galau yang mereka bawa, tetapi juga ikatan jiwa, di tengah pergelutan dunia. Energi yang dipancarkan daripada kumpulan ini sungguh luar biasa, hanya memerlukan istirahat yang minimal sebelum kembali menghabiskan 21 buah lagu keseluruhannya pada malam itu. Antara lagu-lagu yang dibawa adalah ‘Rindu Setengah Mati’, ‘Cinta Sampai Disini’, ‘Sudahi Perih Ini’ dan ‘Apa Salahku’. Objektif utama kumpulan ini yang ingin menyajikan malam yang penuh dengan muzik elektrik, balada emosional dan pengalaman yang tidak terlupakan bagi peminat di Kuala Lumpur, sejujurnya berhasil dengan jayanya.

“Kalau aku tua, kamu juga sudah tua”.

Kata-kata yang diucapkan oleh Rian Ekky Pradipta sungguh menggetarkan jiwa para pengunjung pada malam itu. Membesar dengan kenangan-kenangan masa lalu yang terpatri dalam lagu-lagu hits era 20-an, kehadiran D’Masiv membawa para hadirin dalam perjalanan nostalgis yang mendalam. Dulu, mereka mungkin hanya bisa mendengarkan melodi-melodi indah itu melalui corong radio dan ‘walkman’, atau menyaksikannya melalui Youtube di layar monitor siber kafe sambil menikmati maggi cup. Namun, pada malam itu, D’Masiv hadir di hadapan mereka secara langsung. Setiap lagu yang dilantunkan oleh D’Masiv memicu ribuan kenangan, terutama bagi mereka yang tumbuh besar di era di mana lagu-lagu tersebut merajai tangga muzik ketika di bangku sekolah. Di Mega Star Arena, malam itu menjadi saksi dari keindahan yang tak terlupakan; sejuta emosi terasa bermain-main di dalam irama dan lirik yang dilantunkan. D’Masiv bukan hanya sekadar sebuah band, melainkan sebuah kisah yang tak akan pernah berakhir. Hanya melalui musiklah jiwa-jiwa yang hanyut dapat bersatu.

Ada yang menari riang, ada yang menangis tersedu di antara kerlipan air mata di pipi, dan ada yang terdiam dalam refleksi pribadi; semuanya terjadi saat melodi yang memikat dan lirik yang memeluk hati bergema di arena itu. Kita tak pernah menyadari, bahwa bersama D’Masiv, kita juga menua. Dalam setiap catatan melodi dan lirik yang mereka hadirkan, terukirlah perjalanan hidup kita yang beriringan dengan evolusi mereka. Sekali lagi, D’Masiv tidak hanya sebuah band; mereka adalah teman sejati yang menyertai kita sepanjang perjalanan menuju kedewasaan. Ya, D’Masiv dan aku, kita menua bersama.

Benarlah, cinta ini membunuhku. Terima kasih D’Masiv untuk itu. Semoga kita dapat berhibur bersama dan ‘sing along’ lagi di masa hadapan. Selamat maju jaya D’Masiv untuk pengeluaran album baharu pada April hadapan. Terus sukses, ya. Tahniah juga kepada semua yang terlibat, dan sampai kita berjumpa lagi.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅