Muda dan Mencintai di Reality Club Asia Tour 2023

oleh Music Addicts Malaysia
667 bacaan

Reality Club. Kredit: @zairulizzwan

Penulis: Pokjay


Jika anda seorang yang kerap mendalami scene alternatif dari negara seberang, nama Reality Club boleh dikatakan suatu jenama yang semestinya agak familiar. Kugiran yang tertubuh lewat 2016 ini kerap disalah anggap sebagai bukan dari rantau ini oleh kerana dendangan lagu-lagu inggeris mereka yang fasih dan lirik yang menjiwai jiwa muda yang sedang terluka. Buat pertama kalinya, mereka telah mampir ke Malaysia bagi siri jelajah “Reality Club Asia Tour 2023” pada 1 Disember lepas di JioSpace, Petaling Jaya. Sebagai seorang peminat, penulis mampu beri seal of approval yang mereka telah dengan jayanya memberikan sebuah persembahan yang selama ini dimpi-impikan.

Fugo. Kredit: @zairulizzwan

Sebagai pembukaan, para penonton telah disajikan dengan dua bakat lokal yang terdiri daripada FUGŌ dan juga Lunadira. Persembahan penuh tenaga dari FUGŌ telah berjaya memulakan hype lantas mencipta permulaan yang rancak. Mereka turut mengejutkan peminat dengan penampilan istimewa dari Bil Musa untuk lagu “Moon and The Sun”. Nyanyian bersama para penonton membuatkan seolah mereka hadir semata-mata untuk menyaksikan FUGŌ.

Lunadira. Kredit: @zairulizzwan

Transisi seterusnya kepada Lunadira membawa atmosfera yang lebih santai dan pengisian emosi bagi mempersiap penonton buat Reality Club. Penulis kira sebagai peralihan kepada musisi utama malam itu, Lunadira mengakhiri persembahan mereka on a high note dengan lagu “i’ll be alright, right?” dengan sang penyanyi menyeru penonton untuk melompat dan menikmati lagu bersama-sama.

Saat yang dinantikan semua akhirnya tiba. Reality Club memulakan persembahan mereka dengan tayangan gabungan sedutan daripada beberapa video muzik mereka dengan suara latar belakang yang menceritakan tentang hati, perasaan dan segala yang bercampur aduk. Semua mata tertumpu ke arah pentas sebaik saja anggota Reality Club keluar satu demi satu. Set telah disepak mula dengan nyanyian lagu “Arrowhead Man” dan sedari awal itu lagi, para penonton berseronok  singalong  bersama Reality Club sebagai tanda menyambut kedatangan kugiran kesayangan mereka. Lagu “SSR” seterusnya mengetengahkan solo gitar yang berjaya mendapat sorakan besar dari penonton. Antara bahagian kegemaran penulis ialah di saat lagu “Alexandra” mula dimainkan. Lampu digelapkan dan seluruh pentas disinari cahaya biru bagi mengambil langkah ke belakang dan memperlahankan tempo konsert. Rata-rata terlihat penonton menyanyi dengan penuh emosi terpancar di wajah mereka, mengenangkan kepatahan hati yang pernah dilalui bersama “Alexandra” masing-masing.

Untuk mengutip kembali hati yang terpijak, Reality Club meneruskan persembahan dengan lagu “Telenovia” bersesuaian instrumen yang lebih rancak dan tema lirikalnya yang lebih marah terhadap kecurangan. Sorakan gemuruh terdengar menyambut lagu ini dimainkan. Selepas itu, bagaikan semua tertunggu-tunggu, Reality Club telah memulakan lagu “Anything You Want” yang lewat ini telah dipopularkan lagi dengan kehadiran siri Netflix “Gadis Kretek”. Suasana di kalangan penonton sangatlah meriah dan serasa penulis, lagu ini mendapat nyanyian bersama yang paling kuat dan lantang. Momen yang istimewa ketika lagu “Is it the answer” diutarakan adalah apabila Fathia telah turun untuk singalong secara bersemuka dengan penonton. Jejaka yang dihulurkan mikrofon itu pasti akan memahat saat ini sebagai salah satu kenangan konsert kegemarannya!

Persembahan diteruskan sehingga penyudahnya dengan tenaga daripada massa yang seolah-olah konsert ini baru sahaja bermula. Bagi penulis, momen yang sedikit nakal adalah ketika gimik Reality Club yang sepertinya seluruh konsert telah tamat, dan mereka meninggalkan pentas. Buat seketika semuanya senyap, namun mereka tetap kembali ke pentas untuk encore dengan dua lagu terakhir, “Elastic Hearts” dan “2112”. Lagu “2112” sememangnya istimewa bagi penulis, kerana lagu ini adalah pengenalan penulis kepada kugiran dari Indonesia ini. Penulis pasti, perasaan ini bukan perasaan sendiri malah suatu perasaan yang kolektif dalam kalangan penonton juga. Tidak tersangka, dapat juga hadir sendiri melihat persembahan Reality Club yang selama ini sekadar menjadi penyembuh jiwa kala luka.

Ribuan terima kasih Reality Club atas persembahan yang sangat baik dan Scene City Asia sebagai penganjur yang telah menjalankan tanggungjawab dengan sangat teratur. Sudilah datang lagi menghiburkan ‘kipas-kipas’ anda di sini!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅