‘Raya Kita 2021’ – Gabungan 4 Empat Bintang IMCT

oleh Rahmat Mohd Did
1.9K bacaan

Walaupun kemungkinan besar kita tidak dapat balik beraya ke kampung halaman tahun ini akibat pandemik Covid-19, itu bukan alasan untuk tidak merayakannya seadanya.

Terbaru, gabungan empat bintang dari International Music Collaboration Team (IMCT) yang dibarisi oleh MoFadz (penyanyi/ pengurus), Matt Data (pemain dram), Omar Akira (gitaris) dan Anuar Lee (pemain bass) baru sahaja meluncurkan lagu raya berjudul Raya Kita 2021 di YouTube pada 14 April 2021.

Raya Kita 2021 by IMCT merupakan hadiah kepada semua yang menyokong gabungan ini sejak dari 2015 lagi. Idea ini terhasil dari perbincangan bersama pada tahun 2020 namun Covid-19 telah menyebabkan rancangan awal ditunda ke tahun ini. Lagu ciptaan Matt Data dan MoFadz ini telah direalisasikan dengan penglibatan Saat Omar sebagai penulis lirik dan dibantu oleh Matt Data dan MoFadz,” jelas MoFadz.

Pada awalnya, Matt Data yang merupakan anggota kumpulan Data telah bersama-sama MoFadz berbincang untuk menghasilkan siri kolaborasi bersama penyanyi dan pemuzik dari luar negara seperti United Kingdom, Bulgaria, Jepun dan USA. Siri kolaborasi yang bertujuan membawa nama pemuzik Malaysia ke persada antarabangsa ini telah berjaya dengan sebuah projek bersama penyanyi dari luar negara iaitu Louise Steel yang menawarkan kontrak untuk merakamkan album beliau di Malaysia di studio Big A Productions (M) Sdn Bhd, Petaling Jaya. Sehingga kini, dua buah album yang mengandungi 18 buah lagu telah disiapkan.

“Kesefahaman di dalam gabungan pemuzik ini membolehkan kualiti muzik yang dihasilkan menjadi sangat membanggakan di mana beberapa buah lagu yang dihantar ke UK mendapat tempat di radio BBC.

“Termasuk single lagu raya ini, 19 buah lagu telah disiapkan dengan kualiti audio yang amat memberangsangkan. Semestinya IMCT telah membawa nama baik pemuzik-pemuzik dari Malaysia di mana Louise Steel juga telah memenangi beberapa anugerah dan menduduki tempat pertama di carta-carta radio online di sana. Gabungan kolaborasi ini juga pernah menggunakan khidmat Shahril Kuzairi Che’en (bass) dan juga Lan Alias-Lantaroo (guitar),” tambah MoFadz lagi.

Mengulas tentang harapan untuk lagu ini, MoFadz yang mewakili IMCT berharap agar rakyat Malaysia terus menyokong penglibatan pemuzik-pemuzik Malaysia di dalam dan luar negara supaya nama Malaysia terus dihormati dan dibanggakan di persada dunia.

Kepada yang rindukan sentuhan Omar Akira (Laksamana) dan Matt (Data), bolehlah jadikan Raya Kita 2021 sebagai lagu raya rasmi anda tahun ini. Masing-masing juga turut menyumbang suara menjadikan lagu ini sangat meriah dengan melodi yang sangat catchy dan menangkap! Enjoy!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅