Refleksi Kehidupan Dalam Karya Instrumental Pertama Nick Ekhwan, OHH DEE YELL

oleh Rahmat Mohd Did
1.3K bacaan

Pemain gitar/ vokalis Hayley’s Komet merangkap pemain bass Thy Fall Ov Baghdad, Nick Ekhwan melepas geram dengan melancarkan projek solo sekaligus memuatnaik lagu pertamanya, OHH DEE YELL di YouTube pada 27 November 2020.

Single ini merupakan salah satu trek untuk EP IRE yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi. Kali ini, beliau berkolaborasi dengan Danial Abrar (Rotan Chippers/ Kabus/ Run Neighbour Run) menterjemah sebuah instrumental yang berkisar tentang dugaan kehidupan serta harapan.

Menurut beliau, selain refleksi tentang cabaran belajar secara dalam talian, OHH DEE YELL juga merupakan simbolik kepada kehidupan dan kerinduannya kepada ketenangan laut.

“Lagu ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama dimainkan oleh Nick Ekhwan sendiri di mana ia menggambarkan keserabutan dan ketidaksempurnaan. Terlalu banyak perkara dan masalah yang difikirkan.

“Di bahagian kedua, Danial Abrar muncul membetulkan keadaan dan memberi harapan baharu. Sebab itu bahagian kedua kedengaran lebih kemas. Pendek kata, ia tentang semangat bantu membantu dan setiakawan,” jelasnya.

Segala proses rakaman dijalankan secara mandiri oleh Nick Ekhwan dari rumah dan sumbangan solo daripada Danial Abrar juga hanya menggunakan emel. Satu usaha yang sangat baik di kala pandemik ini di mana situasi semasa menuntut pemuzik untuk menjadi lebih inovatif dan terus berkarya tanpa menghiraukan halangan yang ada.

Walaupun hasil akhir lagu ini tidaklah sehebat rakaman di studio dengan segala proses professional, tetapi ia adalah manifestasi bahawa pemuzik akan terus hidup dan karya-karya sebegini akan terus terhasil.

Syabas diucapkan kepada Nick Ekhwan. Kami menunggu kejutan baharu untuk trek seterusnya nanti.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅