Salammusik Tubuh Label Gema Pelagu – Luncur 2 Single Pertama

oleh MAMY Editor
685 views

Pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM), Salammusik kini melangkah setapak lagi dalam industri muzik Malaysia apabila menubuhkan sebuah label rakaman yang diberi nama Gema Pelagu. Pada awalnya, Gema Pelagu hanyalah nama bagi studio mereka dan ‘port lepak’ Salammusik bagi meneruskan sesi latihan, rakaman dan penulisan lirik.

“Virus Covid menyebabkan kami tidak dapat membuat persembahan namun untuk menghargai masa yang ada, kami meningkatkan produktiviti dengan menghasilkan lebih banyak lagu serta berkolaborasi dengan artis-artis lain. Berbekalkan semangat yang tinggi terhadap muzik, ianya merupakan langkah yang pasti bagi melancarkan karya-karya ini.” – Salam

Dalam masa seminggu, Gema Pelagu telah melancarkan dua buah single iaitu Mengejar Pelangi dan Kasih Yang Jauh. Mengejar Pelangi adalah sebuah lagu berkisah tentang mengejar cita-cita yang bermula dari mimpi. Lagu ini dihasilkan oleh Muhd “Payung” Irhas yang juga merupakan pemain trumpet dan komposer Salammusik. Liriknya pula ditulis oleh Syed Al Daim dan Payung.

 

Kasih Yang Jauh pula lebih kepada lagu puisi. Lagu puisi moden ini ditulis oleh Jay Tan yang pernah menghasilkan lagu Aku Pelat dan lagu-lagu lain untuk Salammusik dan muziknya pula dihasilkan oleh Salam. Kasih Yang Jauh menceritakan tentang kerinduan seorang anak terhadap ibu bapanya dalam menanti waktu untuk bertemu.

 

Lagu-lagu yang dilancarkan oleh Gema Pelagu boleh didengar di platform-platform strim digital seperti spotify. Video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Salammusik.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati