Adakah anda sudah bersedia untuk rockin’ bersama Search bulan Jun nanti? Seperti kita semua sedia maklum, dalam masa seminggu, peminat akan disajikan dengan dua konsert Search daripada dua kem berbeza. Pergi salah satu atau kedua-duanya? Itu terpulang kepada anda. Tepuk poket, tanya selera.
Konsert Search Rockin’ On Rooftop akan dibarisi oleh dua gitaris adik beradik paling tersohor di Malaysia, Kid dan Din serta turut menampilkan Yan di posisi bass dan Minn di bahagian dram. Istimewanya line up ini adalah vokalis yang akan mengemudi barisan hadapan formasi merupakan seorang bakat ‘antarabangsa’ dari Indonesia, Denden Gonjalez yang pernah mengambil bahagian dalam pertandingan The Voice of Bulgaria tahun lepas.
Setelah peminat berbelah bahagi dengan inisiatif Search X Akim pada tahun 2021, pastinya tangunggjawab yang bakal dipikul oleh Denden sangat berat kerana peminat sanggup membeli tiket dengan harga ratusan ringgit dan pastinya kepuasan maksima ditagih.
Mungkin atas sebab itu, mereka membuat pemilihan lagu yang luar daripada kebiasaan konsert-konsert Search sebelum ini di mana tiada langsung lagu-lagu sukaramai seperti Isabella, Fantasia Bulan Madu, Pawana, Mentari Merah di Ufuk Timur, Meniti Titian Usang dan sebagainya disenaraikan.
Merujuk kepada sebuah gambar yang dikongsikan di ruangan komen Facebook, satu senarai “Lagu Pilihan Peminat” telah dikongsi yang menampilkan 13 buah lagu yang jarang-jarang atau tidak pernah dimainkan secara live oleh Search seperti Memandu Nafsu, Akhirnya, Manusia Reptilia, Emmanuelle dan Paranoid. Majoriti lagu-lagu ini adalah daripada album Karisma, juga dikenali sebagai era kemuncak kesempurnaan permainan gitar duo ‘Kiddin.’ Turut disenaraikan adalah dua buah lagu saduran daripada Iron Maiden dan Van Halen.
Adakah ini senarai akhir lagu-lagu yang bakal dimainkan oleh Search nanti? Penulis rasa tidak kerana ia mungkin sekadar tinjauan mereka terhadap permintaan peminat di Facebook. Lagipun, takkan 13 lagu sahaja? Mana puas! Paling tidak mesti 20 buah lagu baru keluar peluh! Tambahan lagi, lagu saduran juga tak perlu dimasukkan atau jika mahu juga, jangan lebih daripada satu. Katalog Search daripada 1985 ada beratus lagu. Lebih baik main lagu sendiri sahaja.
Apa pun, penulis angkat dua ibu jari kepada Search jika berani memasukkan semua lagu dalam senarai ini ke persembahan akhir nanti. Ia adalah tindakan yang berani dan peminat sendiri pastinya sudah muak dengan senarai lagu-lagu standard sebelum ini. Bila lagi nak kerah potensi sebenar Denden yang masih muda bertenaga? Ini adalah masa yang tepat bagi membuktikan kemampuan beliau di pentas rasmi sekaligus mengambil hati fanatik-fanatik Search. Dari segi muzik tidak perlulah kita risau. Pastinya bergegar atap Kompleks Campbell tu nanti!
Selamat maju jaya dan semoga semuanya berjalan lancar nanti! Go Search!
Kepada yang belum beli tiket, boleh dapatkan di: