Pada 9 April 2021, Lust dan Krew Filem Sek Kito telah mengadakan sebuah tayangan tertutup untuk filem pendek eksperimental mereka yang berjudul Silika.
Tentang Silika
SILIKA adalah sebuah filem eksperimental hitam putih, terbitan Krew Filem Sek Kito (KFSK). Filem yang mengekori jalanan pembikin filem Azfar dan Faris, yang juga ahli kumpulan muzik LUST ini membawa penonton menelusuri selerakan kota di waktu pandemik.
Filem ini memaparkan siri visual yang menarik oleh efek lensa yang kabut, kasap, kasar dan unik. Sewaktu penggambaran filem berjalan, terakam oleh lensa mereka kisah aneh tiga insan: anak (Fakhrul Aiman), orang asing (Eli Orkid), dan seorang pengecong (Nisdusmas). Aneh, bilamana ketiga manusia ini mengekspresi diri mereka secara ekstrim di sisi refleksi “Vantablack” – dalam sedetik, minda ketiga-tiga insan ini terolah ke satu sifat, di mana mereka hilang kesekatlakuan, dan diri mereka yang sebenar muncul melalui bahasa tubuh dari gerak tari primal yang viseral. “Vantablack” menjelma melalui herot-benyot biasan cermin yang terwujud entah dari mana, namum kewujudannya itu.. bukan tanpa tujuan. Naratif filem ini usai bilamana “Vantablack” berkecai, memperlambangkan ketiga insan itu kini dapat meneruskan hidup setelah berhadapan dengan diri mereka yang benar.
Melalui Silika, mereka ingin mempersaksikan penceritaan eksperimental yang tulus visual dan muziknya melalui gabungan unik “Vantablack” dan jalinan bunyian, selain gaya perfileman gerila oleh KFSK. Tiada dialog yang hadir di dalam filem ini. Seluruh naratif dan ekspresi emosi yang dimainkan watak adalah gerak tari semata dari seni persembahan yang dikareografi oleh Eli Orkid. Silika difilemkan di tengah kemuncak pandemik, ketika PKP ke 2 hampir tiba. Filem pendek ini adalah kolabrasi pertama di antara LUST dan KFSK. SILIKA diterjemahkan melalui gaya visual yang mencebis sekelumit hidup harian manusia biasa: pemandu bas, pengunjung pasar malam, tukang-sapu, tukang gunting, pemilik gerai – kebenaran yang hakiki.
Tentang LUST
LUST adalah kumpulan muzik indie eksperimental yang berpusat di Kuala Lumpur sejak 2016. Dianggotai oleh Azfar dan Faris, masing-masing juga merupakan penghibur solo dengan nama singkatan Orang dan Krooktroupe. Tidak pernah selesa di bawah satu genre, LUST cenderung dengan kepelbagaian di dalam setiap rakamannya. Mula bertapak di dalam seni muzik tanahair melalui EP Chingichanga, 5 trek lagu yang mendapat sambutan yang positif, juga dideskripsi sebagai “one style per track” oleh The Wknd. Album debut mereka, Tekesima (2019) yang lebih fokus telah mendapat pengiktirafan dan memenangi Album Terbaik di Anugerah TAPAU 2019.
Vantablack, album terkini duo ini sekali lagi mengetengahkan tema gelap. Dihasilkan semasa PKP, tidak salah untuk dikategorikan album ini sebagai ‘produk gelisah pandemikʼ. Sebuah EP 6-trek berdurasi 20 minit keseluruhannya.
Single utama Vantablack tampil ditemani video muzik hitam putih karya Krew Filem Sek Kito (KFSK), sebuah produksi filem indie. Video tersebut menampilkan Eli Orkid dan gerakan tari abstraknya. Lenggok tari tubuhnya itu bagaimanapun dibingkaikan menentang cermin yang herotbenyot. Membawa sisi signikasi tertentu, antara Eli dan refleksi diri. Ini adalah bertepatan dengan tema EP Vantablack, iaitu refleksi-diri. Vantablack adalah merujuk kepada bahan hitam-legap ciptaan makmal sains yang mampu menyerap 99% cahaya. Di dalam di filem ini, bahan ini secara tematiknya dilihat sebagai jiwa manusia, umpama span yang sentiasa menyerap informasi dan data tanpa hujung – berapa banyak yang diserap menjadikan kita, kita? Melihat ke dalam refleksi diri adalah bagai melihat ke dalam ‘vantablackʼ, kosong tidak berpenghujung.
Tentang Krew Filem Sek Kito
KFSK adalah singkatan kepada produksi Krew Filem Sek Kito, kata dari dialek Kelantan yang membawa maksud krew filem kami. Diwujudkan pada hujung 2019, KFSK mengkhusus kepada pembikinan kandungan kreatif yang berteraskan muzik seperti video dan sesi persembahan secara langsung. Produksi ini diterajui Arman Shahmiey, Firdaus Malek, Nizam Omar dan Saiful Azwan. Selain itu, produksi ini juga dibantu oleh Sahrul Ridzwan, Loqman Hakim, Nash Haron, dan Faiz.
Pencapaian KFSK: –
1. Video musik debut Integers – Viseral
2. Video musik debut No Good – Che Using dengan penerimaan meluas (tontonan di Youtube sehingga March 2021 sudah mencecah ke 78,242
3. TRANSMISI – Sebuah rancangan musik live yang ditayang secara mingguan
4. Video musik LUST Vantablack yang diambil dari EP, Vantablack
5. Filem pendek eksperimental – SILIKA