Teleportasi: Hadiah Mafidz Buat Jiwa-Jiwa Seni

oleh Boes!
668 bacaan

Teleportasi, sebuah kata pinjam daripada Bahasa Inggeris, teleportation yang secara mudahnya didefinisikan sebagai perpindahan sesuatu dari satu titik ke satu titik dengan sekelip mata tanpa medium pengantaraan. Dan ketika definisi ini dibacakan oleh Fazleena Hishamuddin, juruacara yang mengemudi majlis pelancaran album kedua kumpulan adik beradik ini di Hartamas pada khamis lepas, perkara ini sedikit sebanyak menyedarkan penulis yang rilisan kali ini bukan biasa-biasa. Karyanya setanding tajuk albumnya!

Ya, Mafidz, kumpulan ‘folk-pop’ yang diterajui oleh Megat Hafidz (vokal), Megat Fazly (vokal & piano) dan Megat Aizzat (vokal & gitar) ini telah melancarkan album terbaharu mereka yang berjudul Teleportasi di Yuespace, Hartamas, Kuala Lumpur. Acara yang ringkas tetapi intimasi ini berlangsung selama dua jam dan dihadiri oleh rakan-rakan media dan artis yang bersama-sama merasai pengalaman empati dan emosi yang diteleportasikan melalui alunan muzik dan suara emas mereka.

Mafidz. Kredit : Mafidz Music Management

Kepada yang belum mengenali kugiran ini, mereka sebelumnya telah menerbitkan satu album yang berjudul Ada Angin & Hati pada tahun 2018 dan pernah memenangi Vans Musician Wanted Malaysia pada tahun 2019 sekali gus mewakili negara ke pertandingan House Of Vans Asia Pacific Stage  di Chicago, Amerika Syarikat. Selain mereka bertiga, kumpulan ini juga dimantapkan lagi dengan gabungan lima pemuzik professional iaitu Khairul S (gitar), Ahmad Zakri (bass), Abbas Munawwar (dram), Mariamlisa (cello) dan Amirin (perkusi).

Kembali kepada pelancaran album, album kali ini mengandungi 11 buah lagu dan hampir kesemuanya dicipta dan ditulis oleh mereka bertiga. Ujar mereka, proses untuk menghasilkan album ini bermula sejak zaman pandemik lagi dan percaturan album kali ini lebih jauh dan berbeza daripada album sebelumnya. Menurut Megat Fazly:

“Mafidz masih menjadikan folk sebagai genre utama di dalam album kedua ini, namun kami
tidak hanya fokus kepada satu genre sahaja. Menerusi ‘Teleportasi’, Mafidz turut bereksperimen
dengan genre alternatif-pop. ‘Teleportasi’ juga digarap dengan nafas baharu dengan
kepelbagaian nada, di samping kami banyak bereksperimen dengan instrumen yang kami miliki.

 

Perubahan paling ketara adalah dengan menampilkan penggunaan instrumen drum yang
sebelum ini tidak digunakan sama sekali dalam album pertama. Selain itu, dalam sebuah lagu
juga dihadirkan alunan yang diiringi string quartet buat pertama kali.

Pendengar juga boleh menikmati kolaborasi Salammuzik dan Otam bergandingan bersama mereka menerusi lagu ‘Tenteram” dan “Senandung.” Mafidz menganggap kerjasama bersama kedua-dua pemuzik tanah air ini istimewa, selain bertepatan dengan usaha mereka dalam menyuntik kelainan dan nuansa baharu dalam album ini.

Pelancaran album Teleportasi. Kredit : Mafidz Music Management.

Acara bermula dengan tayangan trailer disusuli dengan sesi bergambar bersama replika album sebagai simbolik pelancaran.  Video dokumentasi wawancana tersebut telah dimuatkan dalam laman rasmi YouTube memaparkan di sebalik tabir pembikinan album Teleportasi. Penulis tertarik dengan kata-kata yang diujar oleh Megat Hafidz yang menggambarkan album ini:

Bukan kesempurnaan yang dicari, tetapi kepuasan yang lebih diutamakan. Bukan sahaja untuk berhibur tetapi mententeramkan jiwa-jiwa yang perlukan seni dalam hidup mereka.

Kredit : Mafidz Music Management

Acara diteruskan dengan dendangan tiga buah lagu yang dimuatkan dalam album.  Antaranya adalah Lemas, Matamu dan Teleportasi yang dimainkan secara live dan akustik. Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan sesi soal jawab dan diakhiri dengan tayangan perdana video muzik lagu Kala Malam yang menampilkan Sarah Ali sebagai cameo dan bakal dilancarkan pada 1 Mac nanti di Youtube.  Apa yang penulis boleh katakan, ketiga-tiga lagu yang diperdengarkan pada hari itu bukan biasa-biasa! Walaupun ketiadaan pemuzik yang lain atas kekangan masa, tetapi penyampaian mereka membuatkan pendengar tertunggu-tunggu bagaimana magis lagu terbabit akan memukau bagi versi studio pula!

Kredit : Mafidz Music Management

Kepada peminat yang ingin mendapatkan album Teleportasi, album fizikal telahpun mula dijual secara rasmi pada 23 Februari dan orang ramai boleh melakukan pesanan melalui platform Shopee (mafidzstore) atau menghubungi pihak pengurusan Mafidz menerusi akaun Instagram (@mafidz.store). Anda juga boleh dengarkan dua single yang terdapat dalam album ini yang berjudul ‘Kayuh’ dan ‘Lemas’ di semua platform penstriman digital.

Akhir kata, tahniah buat Mafidz atas kelahiran Teleportasi. Semoga perjalanan seni berkembang dan menempah nama di peringkat nasional dan antarabangsa! Salam maju jaya daripada MAMY!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅