XPDC Kita Peng Yu – Kumpulan Paling Berjaya Malaysia 2023, Bakal Depani Cabaran Legasi Keagungan Mael

oleh Chiv Iscandar
2.8K bacaan

Sekiranya ditanya siapakah kumpulan tempatan paling ‘top‘ dan berjaya pada masakini berdasarkan rekod tahun 2023, nama-nama seperti Search (Amy atau Kiddin), Wings, Butterfingers mahupun A.C.A.B mungkin boleh dipetik namun barangkali tidak dapat menandingi produktif dan populariti kumpulan XPDC Kita Peng Yu.

XPDC Kita Peng Yu yang kini dianggotai Zuar (bass), Jeff (Gitar), Amy XPDC (drum) dan Ary (vokal) membuktikan status tersendiri mereka dengan rekod sebanyak 42 ‘show’ dan persembahan terbuka sepanjang tahun 2023 lepas. Jumlah ini termasuklah sebelum dan selepas pemergian vokalis arwah Mael dengan kemasukan Ary.

Untuk rekod, arwah Mael meninggal dunia pada malam Jumaat, 27 April 2023 (hari raya ke-7) dan kelompongnya kemudian diisi oleh Ary, bekas vokalis kumpulan Fahrenheit yang juga pernah bernaung di bawah label terdahulu LIFE Rekod. Peninggalan Mael pada awalnya telah menimbulkan sedikit keraguan tentang masa depan XPDC namun aura arwah yang luar biasa terus berkumandang melalui legasi lagu-lagu nyanyian beliau yang kebanyakannya karya komposer JS Kevin dan tanpa ketiadaan beliau sekalipun, XPDC Kita Peng Yu terus mekar dalam radar muzik Rock tanahair.

Berikut ialah senarai penuh 42 persembahan awam seperti konsert, fiesta, karnival dan festival muzik di seluruh Malaysia  dan Singapura yang melibatkan mereka sepanjang tahun 2023 lepas:

  1.  Sungai Besar, Selangor (5/2/2023)
  2.  Dataran Tasik Kluang, Johor (18/2/2023)
  3. KEDA Mall, Kulim, Kedah (4/3/2023)
  4. Dataran Teluk Kemang, Port Dickson NS (5/3/2023)
  5. KIP Mall, Kota Tinggi Johor (10/3/2023) – Penampilan terakhir arwah Mael di persembahan terbuka
  6. Tribute to Mael Sg Petani, Kedah (5/5/2023) – vokal Afil anak Mael & Ary
  7. Soundvalley Festival, MAEPS Serdang, Selangor (6/5/2023) – voakl Afil anak Mael & Ary
  8. Baling, Kedah (4/6/2023)
  9. The Blow Fest, Langkawi Kedah (9/6/2023)
  10. Kerteh, Terengganu (26/6/2023)
  11. AEON Mall Kulai, Johor (8/7/2023)
  12. Serambi Teruntum, Kuantan Pahang (11/7/2023)
  13. Segamat, Johor (21/7/2023)
  14. Dataran Sg Besar, Selangor (22/7/2023)
  15. Gelang Patah, Johor (28/7/2023)
  16. Penang Auto & Cycle, Juru Pulau Pinang (4/8/2023)
  17. Mega Bike Week, MAEPS Serdang Selangor (6/8/2023)
  18. Pekan, Pahang (8/8/2023)
  19. Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan (11/8/2023)
  20. Putra Fest, Plaza Angsana Johor Bahru, Johor (27/8/2023)
  21. Mersing, Johor (30/8/2023) – Ambang Merdeka anjuran Majlis Daerah Mersing
  22. Kuala Rompin, Pahang (1/9/2023)
  23. Perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang (2/9/2023)
  24. Malam Gerenti Asyik FM, Temerloh Pahang (9/9/2023)
  25. Port of Tanjung Pelepas (PTP), Johor (10/9/2023)
  26. Cmart Padang Serai, Kulim Kedah (15/9/2023)
  27. Bandar Jengka, Pahang (16/9/2023)
  28. Jerantut, Pahang (23/9/2023)
  29. Legacy Continues Live in Singapore (27/9/2023) – Konsert di Star Theater, Singapura
  30. Jasin, Melaka (14/10/2023)
  31. Pagoh, Johor (27/10/2023)
  32. Discover PKNS, Shah Alam Selangor (28/10/2023)
  33. Pontian, Johor (11/11/2023)
  34. Sg Besar, Selangor (28/11/2023)
  35. Konsert Search Voyage of Asia, Educity Johor Bahru, Johor (25/11/2023) – Band pembuka untuk Search Kiddin https://youtu.be/Kc7oUPL6a18?si=lvgox9_fVq8XuHZO
  36. Pesta Pulau Pinang, Pulau Pinang (2/12/2023)
  37. Kangkar Pulai, Johor Bahru, Johor (5/12/2023)
  38. Toppen, Johor Bahru Johor (8/12/2023)
  39. Seremban, Negeri Sembilan (10/12/2023)
  40. Kluang, Johor (22/12/2023)
  41. Manjung, Perak (26/12/2023)
  42. Nu Year Countdown 2024 Saratok, Sarawak! (31/12/2023) – Sambutan Tahun Baru 2024 anjuran Majlis Daerah Saratok

Johor menjadi negeri paling banyak XPDC Peng Yu membuat persembahan pada tahun 2023 iaitu sebanyak 14 ‘show’. Purata persembahan mereka tahun lepas ialah 3.5 ‘show’ sebulan. Kebanyakan persembahan ialah siri karnival ala ‘funfair’ seperti Pesta Lelong KawKaw, Mega Fiesta, Festival Flora & Fauna dan beberapa lagi, oleh itu tidak hairan mereka digelar ‘Raja Funfair’ sejak berzaman. Mereka mengakhiri tahun 2023 penuh bergaya dengan konsert tahun baru di Saratok, Sarawak.

Terdapat tiga (3) faktor yang menyebabkan nama XPDC Kita Peng Yu terus gah dan mekar di arena muzik Rock tanahair.

1. Aura Arwah Mael

Legasi arwah Mael ialah personaliti beliau yang dilihat sentiasa merendah diri dan tidak pernah mendabik dada walau di mana dia berada.

Mael ialah satu-satunya ‘Rock Star’ besar yang dilihat tidak mempunyai ego personaliti malahan mudah bergaul mesra bercampur di kalangan peminat-peminat. Ia menimbulkan aura tersendiri Mael yang memberi identiti sebenar kumpulan XPDC Kita Peng Yu sehingga kini.

2. Katalog Lagu

Inilah kekuatan sebenar XPDC yang hanya terdapat pada band-band berstatus tinggi.

Hasil legasi nyanyian Mael, katalog lagu-lagu XPDC mempunyai tiga (3) jenis lagu-lagu premium yang kebanyakannya telah berstatus ‘cult‘, lejendari dan klasik iaitu:

1) Balada – Nafisa, Titian Perjalanan, Hentian Ini, Aku & Sesuatu, Semangat Yang Hilang, Aku Masih Di Sini, Hijau Bumi Tuhan, C.I.N.T.A, CT Cinta Kenangan Silam, Impian Seroja, Kabus Semalam, Lagu Dari Aq,

2) Metal ‘Berat‘ – Kita Peng Yu, Selendang Merdeka, Senapang Patah, Raja Kertas (versi Metal Punk), Hamba Abdi, Pelesit Mata Sebelah

3) Rock& Roll ‘Nakal’ – Bahlol, Tak Nak Jadi Soh Chai, Ntahapahapantah, Jangan Tak Mandi, Talam Dua Muka, John Jenin, Hidup Bersama, Apa Nak Dikata,  Penyakit Gatal

Dengan katalog lagu-lagu ini juga, mereka adalah satu-satunya kumpulan yang boleh memiliki setlist yang berlainan pada setiap konsert atau persembahan yang berbeza, tanpa perlu menghiraukan senarai lagu! Sebagai contoh, mereka telah mengeluarkan setlist lagu-lagu berat yang premium dan jarang dimainkan (‘rare‘) semasa konsert Voyage of Asia bersama Search Kiddin di Johor Bahru lepas  seperti Pelesit Mata Sebelah, John Jenin, Tak Nak Jadi Soh Chai manakala bagi karnival persembahan awam (konsert percuma lah!), cukup sekadar lagu-lagu lazim seperti medley Titian-Hentian-Aku & Sesuatu, Bahlol dan seumpamanya. Dengan hanya diskografi daripada 4 album utama mereka sahaja iaitu Darjah Satu, Kita Peng Yu, Brutal dan Timur Barat, itu sudah cukup untuk membina empayar besar muzik rock tanahair kerana setiap album mengandungi lagu-lagu terbaik (all killers, no fillers) yang masih segar hari ini.

Dalam hal  ini, kredit perlu diberikan kepada arwah JS Kevin yang merupakan tunjang penghasilan lagu-lagu XPDC dan memenuhi naluri vokalis Mael.

Perlu diingat, mereka hanyalah 4-piece dan muzik mereka sebenarnya jauh lebih ‘berat’ berbanding Search, Wings, Lefthanded mahupun Barbarik dalam kelompok ‘Big 5’. Dalam konteks ini, pemilihan Jeff sebagai gitaris oleh Mael sejak reinkarnasi Kita Peng Yu 2015 adalah pemilihan arwah yang tepat dan bergaya. Jeff dengan henyakan gutar Thrash Metal ala Dimebag Pantera telah membawa dimensi sebenar muzikal Peng Yu.

3. Anti-Hero

Kumpulan XPDC mempunyai konsep semangat ‘anti-hero’ iaitu penolakan terhadap nilai-nilai establishment yang sangat sinonim dengan personaliti arwah Mael. Anti-hero mereka juga boleh dilihat terutama dari segi ‘kesempoian’ mereka tidak kira di mana mereka berada.

Peminat melihat perkara ini sebagai satu nilai kejujuran dan ia dibawa dalam kumpulan XPDC melalui lagu-lagu dan persembahan mereka. Tiada jurang antara mereka dan para peminat, ini agak berbeza dengan kumpulan-kumpulan ternama lain.

XPDC Kita Peng Yu membawa nilai-nilai sejagat dan falsafah perjuangan manakala dalam konteks kenegaraan, mereka membawa unsur perpaduan berbilang kaum di Malaysia di sebalik lagu-lagu keras dan nakal. Mereka memiliki segelintir peminat-peminat setia juga di kalangan kaum Cina dan India.

Mereka juga memiliki legion peminat-peminat tegar serata tanahair yang akan setia headbanging dan memeriahkan suasana bersama setiap kali Peng Yu turun seperti Rockers Utara, Rockers Selatan dan Sabah & Sarawak.

Faktor ketiga dianggap penentu akhir legasi arwah Mael kerana di sinilah sebenar XPDC oleh para peminat dan orang ramai amnya.

Cabaran Masa Depan & Visi Kesinambungan Legasi Arwah Mael

Kita Peng Yu berdepan cabaran membawa legasi ke tahap lebih tinggi pada masa depan manakala Ary, walaupun telah diakui vokalis yang baik tapi kemampuan sebenar beliau masih belum teruji tanpa lagu-lagu original.

Sebagai perbandingan, Metallica masih ligat mengeluarkan album-album baharu walaupun mereka telah mempunyai katalog lagu-lagu berjutaan dollar.

Mereka kini hanyalah ke-3 terbesar selepas Search dan Wings dalam arena sejarah muzik Rock tanahair dan mereka perlu terus memanjangkan visi dan muzikal mereka.

Apabila bercakap tentang XPDC, ia bukan sekadar sebuah band – tetapi bagi peminat-peminat, XPDC ialah sebuah legasi kehidupan dan perjuangan. Mereka membesar, bernafas dan berinspirasi dengan lagu-lagu XPDC dan seperti ucaptama nyanyian Mael dalam ‘Kabus Semalam’ dan ‘Nafisa’, walau dalam perjalanan jauh yang tak mungkin kita menapak, mereka akan terus menyokong ‘selagi hayat dikandung rezeki’.

Al-fatihah, arwah Mael.

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅