Dari Seniman Jalanan ke Artis Rakaman, Arish Mikael Mahu Buktikan Kemampuan Sebenar

Bintang viral tampil dengan single pertama, ‘Nukilanmu’

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.3K bacaan

Penyanyi solo Arish Mikael akhirnya melancarkan single pertamanya, Nukilanmu di semua platform strim digital berserta video lirik rasmi di saluran YouTube Luncai Emas pada 5 Januari 2024.

Untuk yang belum mengenali, Arish Mikael memulakan perjalanan seninya sebagai pemuzik jalanan (busker) dan telah tular pada sekitar 2022 kerana suaranya persis Allahyarham Sudirman sehingga menjadi tetamu di beberapa stesen televisyen. Pada 22 April 2022, jejaka yang berasal dari Muar, Johor ini telah dilamar menjadi artis di bawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd.

Single berdurasi 3 minit 29 saat ini dihasilkan oleh Arish sendiri manakala liriknya dikarang oleh sahabatnya, Radzlan. Istimewanya, Arish mengenali Radzlan di media sosial dan mereka hanya berjumpa beberapa kali. Dengan minat dan visi yang sama, Radzlan menjadi sosok penting dalam proses penulisan lagu-lagu Arish sejak tahun 2017 dan mereka masih bekerjasama hingga ke hari ini. Bercakap tentang proses rakaman, Arish berkata;

Ini pertama kali saya melibatkan diri dalam rakaman secara profesional di studio. Ia melibatkan ramai orang dan cara bekerja pun sudah seperti sebuah band berbanding demo-demo yang saya hasilkan secara individu dan hanya berbekalkan telefon bimbit dan interface ‘pekak’.

 

Untuk proses rakaman ini, saya dibantu oleh Hidayat Nasir (Pitahati) selaku producer, Izzat Latiff (Ramayan) sebagai assistant producer dan Faliq (FLQ) selaku sound engineer dan hasilnya alhamdulillah mereka telah memperkukuhkan hala tuju lagu itu sendiri.

 

Bila kalian dengar single ini dan bandingkan dengan demo di YouTube, vibe dan arrangementnya mungkin lebih “general” dan teratur namun unsur-unsur selamba itu masih ada.

Menurut Arish juga, beliau menjadikan Nukilanmu sebagai single pertama kerana mempunyai cerita tersendiri dan mengingatkan beliau tentang perjalanan hidup dari awal kerjaya sebagai busker hingga ke hari ini. Beliau juga tidak mempunyai sebab tertentu mengapa lagu ini dipilih untuk dipasarkan kerana pemilihan lagu terjadi secara spontan dan semulajadi melalui perbincangan dan sesi ramah mesra bersama penerbit, Hidayat Nasir sewaktu proses pra-produksi.

Apa yang saya boleh kongsikan, saya berada dalam keadaan yang tertekan semasa sesi merakamkan vokal lagu ini. Mungkin rasa canggung bekerja dalam studio secara profesional buat pertama kali dan kurangnya pengalaman tetapi secara tak langsung ini semua telah menjadi “momen” berharga yang terakam pada masa itu.

Ketika sesi mendengar, saya mendapati single ini memberi nafas baharu dalam aliran pop Malaysia. Sebagai peminat muzik pop, saya merasakan Arish seperti telah menjawab teka-teki siapakah penyanyi solo lelaki yang harus dilihat pada masa kini dalam lapangan muzik Malaysia. Beliau bukan sahaja mempunyai rupa, malah lantunan suaranya yang merdu juga membuatkan penulis melayang-layang di awangan.

Apabila ditanya mengenai strategi pemasaran single ini, Arish berpendapat bahawa ia adalah sesuatu yang bersifat subjektif dan tidak meletakkan harapan yang tinggi, namun dia berusaha untuk menekankan kejelasan pemikiran dan ideologi secara ketara untuk membuktikan sesuatu yang positif pada peringkat awal. Bagi Arish, ini bukan hanya tentang tugas rutin, tetapi lebih kepada minat dan semangat yang boleh mengatasi segala rintangan.

Konklusinya, single perdana Arish Mikael ini membuktikan bahawa beliau merupakan seorang penyanyi yang mempunyai karisma tersendiri dan mampu menarik hati setiap pendengar. Karekter lagu yang bersahaja dan penyampaian emosi Arish menunjukkan  lagu ini mempunyai pakej yang unik dan sesuai didengari di dalam kedai ‘hipster’ sambal menikmati kopi Americano dan kek coklat serta mampu menjadi lagu pilihan ketika memandu di lebuh raya.

Buat masa ini, Arish dalam rangka menerbitkan album pertama beliau yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan jika tiada aral melintang. Kalian boleh ikuti beliau di Instagram untuk perkembangan semasa.


Untuk pengetahuan semua, Arish Mikael bakal membuat persembahan di Tamasya Anak Muda bertempat di Jio Space Petaling Jaya pada 5 dan 6 Januari 2024. Sama-samalah kita datang dan menonton beliau membuat persembahan bersama kugiran hebat lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini serta pembelian tiket, sila layari www.jiotix.asia.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅