Semestinya khabar berita perpecahan kumpulan Sum 41 menjadi air mata bagi semua peminatnya. Bayangkan bertahan selama 27 tahun bukanlah senang. Pelbagai rintangan yang mereka hadapi, jatuh bangun kumpulan ini hanya mereka dan peminat kipas susah mati sahaja yang tahu.
Pelbagai peristiwa yang berlaku kepada Sum 41, antaranya menyajikan muzik buat golongan remaja pada era lewat 90-an dan awal tahun 2000. Gelombang pop punk yang dibawa oleh mereka menjadi satu titik fasa bagi golongan remaja yang membesar.
Sebagai penghormatan kepada Sum 41, penulis ingin menyenaraikan beberapa momen pahit dan manis yang berlaku pada kumpulan ini.
Album All Killer No Filler Menjadi Kejayaan Mereka Dalam Arena Pop Punk
Siapa anak-anak pop punk yang menghadapi zaman remaja pada awal tahun 2000 pastinya album All Killer No Filler menjadi dendangan utama.
Memfokuskan alunan melodi yang pantas, bertenaga serta elemen catchy, Sum 41 berjaya membawa satu genre pop punk yang klasik. Boleh dikatakan semua elemen yang diketengahkan dalam album All Killer No Filler menjadikan mereka kumpulan pop punk yang terkenal pada masa itu.
Dua buah lagu dalam album ini, iaitu Fat Lip dan In Too Deep boleh dilabel sebagai lagu kebangsaan bagi anak-anak pop punk pada ketika itu. Hal ini kerana kedua-dua lagu ini berjaya menggunakan dua elemen, iaitu punk rock dan elemen pop ‘catchy’.
Kepada sesiapa yang mahu berjinak dengan Sum 41, boleh dengar dahulu album sulung All Killer No Filler ini. Jangan risau tiada istilah siapa yang makan garam atau berpengalaman, mahu jadi anak pop punk tiada sebarang halangan, malah digalakkan.
Satira Sum 41 untuk The Strokes
Siapa sahaja tak tahu pasal peristiwa ini, tengok saja MV Still Waiting, terkejut eh macam sama tapi bukan ia. Baik, mari kami huraikan kisah parodi ini.
Perasan tak dalam MV Still Waiting, mereka menukar nama kumpulan kepada “The Sums”. Peminat beranggapan yang mereka secara rasmi menukar nama kumpulan, tapi sekadar satira.
“Ye, ramai orang percayanya untuk seketika.” — Deryck Whibley.
Pada era muzik pop punk sedang membangun, mereka menyedari bahawa mereka terpaksa bersaing dengan trend kumpulan muzik rock yang mengetengahkan elemen ‘The’ — The Strokes, The Killers, The White Stripes, The Hives dan banyak lagi.
Disebabkan itu, agak masuk akal juga kalau mereka menukar nama pada The Sums demi mengikut trend. Dalam MV ini kita boleh lihat unsur satira dan parodi, di mana Sum 41 dipanggil masuk pejabat Islands Records untuk membincangkan hala tuju baharu.
Selepas itu, diikuti dengan gaya MV seperti The Strokes bernyanyi di atas pentas dan bertindak gila merosakkan barangan pentas.
Dave Baksh Keluar Dari Sum 41
Pengumuman Dave Baksh keluar dari Sum 41 pada 2006 menjadi peristiwa yang paling diingati oleh Sum 41 serta peminatnya. Sangat sedih kerana Dave antara ahli kumpulan yang wujud sejak awal penubuhan lagi.
Menurut beberapa sumber, dikatakan Dave berhasrat keluar daripada kumpulan kerana citarasa dan idea yang berbeza. Kata Dave dalam kenyataan, dia keluar kerana ingin melebarkan lagi sayap muzik dan mahu mempelajari pelbagai jenis muzik yang ada di muka bumi.
Sungguhpun sudah berbeza haluan, Sum 41 tetap meneruskan lagi perjuangan muzik pop punk dengan melancarkan album Underclass Hero pada tahun 2007. Walaupun ketiadaan Dave, peminat terus menikmati album tersebut seperti hidangan istimewa. Padahal, dalam hati masih merindui Dave.
Setelah 9 tahun berlalu, Dave kembali menjumpai jejak semula Sum 41 pada tahun 2015. Sum 41 kembali rancak bersama Dave dengan melancarkan album 13 Voices.
Kesihatan Deryck Whibley satu kerisauan buat peminat Sum 41
Segalanya berlaku apabila tabiat buruk Deryck Whibley yang suka mabuk. Pada 2014, dia telah rebah di dapur akibat hati dan buah pinggang gagal berfungsi.
Keadaan Deryck semakin merosot kerana dia mengalami koma selama tiga hari dan telah menjalani rawatan detoxing selama sebulan di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di Los Angeles. Susuk tubuh badannya semakin kurus (tahap kering), nampak seperti tidak sihat dan memerlukan rawatan secukupnya. Hal ini telah menyebabkan ramai orang risau dengan kesihatan Deryck.
Namun, keajaiban berlaku, Deryck kembali sembuh dan memberikan penghargaan kepada semua peminat Sum 41. Menurut hantaran dia dalam internet:
“Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana menghantar hadiah dan simpati dan sokongan yang telah anda berikan kepada saya. Ia amat bermakna bagi saya pada masa pemulihan ini. Saya akan menjadi lebih baik tidak lama lagi dan kembali ke atas pentas sebelum anda mengetahuinya…” — Deryck Whibley.
Deryck juga berkongsi gambar-gambar semasa berada di hospital:
Selamanya akan menjadi fenomena buat remaja pop punk
Berita perpecahan Sum 41 sudah semestinya menjadi berita sedih buat semua remaja pop punk yang kini sudah berkahwin dan mempunyai anak (mungkin ada yang single lagi). Fesyen pakaian pop punk diikuti dengan alunan muzik Sum 41 kekal menjadi kenangan yang terindah bagi mereka.
Perpecahan kumpulan ini bukanlah satu titik noktah bagi kita semua. Tidak semestinya jika mereka berhenti berkarya, kita juga turut berhenti mendengar lagu-lagu mereka. Meskipun sudah tiada, tetapi hasil seni yang ditinggalkan tetaplah kita kena layan.
Jika ada generasi baharu yang mahu berjinak dengan pop punk, janganlah kita ada sifat ‘senior berlagak’ dalam diri. Sebaliknya, ajarlah mereka bagaimana mahu berkecimpung dengan genre pop punk, kumpulan muzik mana yang kena dengar dan sebagainya.