40 tahun yang lalu, dunia digemparkan dengan berita lagenda heavy metal Ozzy Osbourne menggigit kepala seekor kelawar hidup. Insiden ini terjadi ketika konsert persembahan solo beliau di Veterans Memorial Auditorium di Des Moines, Iowa pada tanggal 20 Januari 1982 .
Pada tahun sebelumnya, Ozzy Osbourne telah menggigit kepala dua merpati hidup di dalam sebuah mesyuarat bersama eksekutif rakaman. Hal ini telah membuatkan beliau mempunyai reputasi dalam menggigit perkara yang menjijikkan.
Berdasarkan reputasi tersebut, para peminat seringkali melontarkan patung permainan haiwan terutamanya patung kelawar ke pentas untuk digigit oleh Ozzy Osbourne. Pada malam itu, beliau menangkap seekor kelawar yang melayang ke arahnya yang disangkakan sebuah patung permainan, malang sangkaannya meleset.
Ozzy Osbourne menyedari bahawa kelawar yang ditangkapnya merupakan kelawar hidup hanya setelah menggigit kepala kelawar tersebut. Menurut beliau di dalam satu wawancara Diary of a Madman Edisi Tahun 2002, kelawar yang digigitnya ketika itu masih lagi hidup dan menggigitnya kembali, menyebabkan beliau terpaksa mengambil suntikan penyakit anjing gila (rabies).
Menurut satu wawancara lain, Mark Neal yang berumur 17 ketika itu menyatakan bahawa beliau merupakan individu yang bertanggungjawab melontarkan kelawar hidup tersebut kepada Ozzy Osbourne. Beliau juga menyangka kelawar tersebut telah mati pada ketika itu malah turut mengeluarkan bau yang tengik.
Hidup ataupun mati, peristiwa ini telah menjadi cebisan sejarah penting di dalam legasi Ozzy Osbourne. Pada tahun 2004, Majalah Rolling Stones telah menobatkan peristiwa ini di tangga kedua Senarai Mitos Paling Liar Muzik Rock.