Pada bulan September yang lalu, Music Addicts Malaysia telah menerima beberapa rilisan dari beberapa kugiran. Untuk edisi 01, penulis membawakan 5 rilisan pilihan sepanjang bulan September yang dibarisi Servants, Patriots, Alkamu, Centipede dan Seeing The River.
1. Servants – Selamanya Bukan Milik Kita
Dilancarkan pada 30 September 2022, Selamanya Bukan Milik Kita diterbitkan secara bersama oleh Izmal Che Ahmad (Aperforatedsphere) dan turut dibantu oleh Safwan Abu Samah (May Of Scarlet) serta diadun/ mastering oleh El Moe Husaini dari Jemson. Naskah ini menceritakan tentang kekesalan selepas kehilangan orang yang terlalu penting dan tersayang di dalam hidup kita dan tentang bagaimana kita sering mengambil mudah soal masa, di mana kita sering fikir kita ada lagi masa bersama orang tersebut walhal kita tidak tahu setiap pertemuan itu mungkin adalah pertemuan yang terakhir.
2. Patriots – Remembrance
Dilancarkan pada 23 September 2022, Remembrance menceritakan tentang perpisahan antara dua dunia laitu di alam ghaib dan nyata dari pandangan entiti yang merindui seorang kekasih/teman/keluarga yang masih hidup. Perkataan ‘REMEMBRANCE’ membawa maksud memperingati dan di dalam konteks lagu ini bermaksud memperingati bahawa yang telah mati tidak semestinya tiada di sisi.
3. Alkamu – Penat
Dilancarkan pada 30 September 2022, Penat menceritakan dua kisah kehidupan yang dimuatkan di dalam sebuah lagu iaitu cerita seorang graduan yang kehilangan nikmat kehidupannya apabila beliau mula bekerja sekaligus menimbulkan konflik di tempat kerja menjadikan tekanan yang diserap itu membuatkan beliau hilang masa-masa untuk menikmati hidup sebenar manakala kisah kedua pula mengenai satu keluarga yang pada awalnya sangat bahagia dan lama kelamaan kebahagiaan itu diragut kerana sifat tolak ansur tiada di dalam diri seorang isteri. Walaubagaimanapun si suami tanpa rasa “PENAT” terus memujuk dan mengimpikan kebahagiaan yang mereka rancang dan gambarkan sebelum ini.
4. Centipede – Inhumane
Centipede telah mengeluarkan muzik video baharu untuk single mereka Inhumane pada 30 September 2022. Menggabungkan hardcore style bercampur dengan fundamental death metal, liriknya meletakkan pendengar dalam kehidupan seharian seorang psiko dan menceritakan bagaimana pembunuhan seorang lelaki yang tidak bersalah berlaku.
4. Seeing The River – Second Chance
Dilancarkan pada 30 September, lagu ini telah dirangka semula sewaktu pandemik melanda dan dihasilkan pada pertengahan 2021. Second Chance menceritakan tentang kisah hubungan toksik yang melanda, tetapi bukannya membalasnya dengan kebencian. Mereka memberinya peluang untuk berubah dan memikirkan semula apa yang telah dia lakukan. Lagu ini benar-benar personal buat Seeing The Riveri dan memerlukan pemahaman yang lebih mendalam daripada hanya mengambilnya secara literal.
Tahniah buat semua kugiran yang melancarkan single. Penulis doakan kalian terus maju di masa hadapan!