Bantahan demi bantahan diasak untuk membatalkan konsert Coldplay di Kuala Lumpur. Tetapi bak lirik lagu Queen, the show must go on. Bagi penulis, mereka yang hadir bukan semuanya atas tujuan yang sama. Kebanyakan mereka membesar bersama-sama lagu Coldplay dan sudah tentulah tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan band ini beraksi di depan mata setelah lebih dua dekad lamanya. Tidak semestinya hadir kerana hiburan dan konten media sosial semata-mata, tetapi bagi penulis, menikmati terapi seni persembahan dan muzik yang lain dari yang lain seperti ini adalah lebih mempesonakan.
Keunikan siri jelajah Coldplay: Music of the Spheres kali ini terletak pada idea dan usaha mereka untuk mengetengahkan konsep mesra alam sekitar. Dengan harga tiket yang tidak rahmah, pengalaman berada di dalam konsert yang merangsang seluruh pancaindera ini merupakan satu malam yang menakjubkan. Persembahan formasi asal England yang penuh dengan teknik dan permainan warna ini berjaya menambat hati lebih 75,000 penonton yang hadir bukan sahaja dari Malaysia, malah juga dari negara-negara lain.
Ingin sekali penulis berkongsi serba sedikit sisi-sisi menarik tentang konsert ini di sebalik caci maki yang dilemparkan ke arah mereka. Berikut merupakan perkara menarik tentang Konsert Coldplay: Music of Spheres di Kuala Lumpur:
1. Tatarias dan kualiti bunyi
Coldplay membangunkan konsertnya dengan menggunakan kuasa tenaga yang boleh diperbaharui. Mereka mengecas semula tenaga ini menggunakan tenaga suria, angin dan tenaga hijau yang lain. Sumber tenaga ini membekalkan cahaya lampu dan laser yang cukup luar biasa. Dengan penggunaan tenaga jenis ini, ia bukan sahaja dapat menggalakkan penjimatan elektrik, malah dapat mengurangkan pencemaran bunyi di luar kawasan persembahan.
@fidaraha Salam semua viewer video ini. Setengah tahun yang lalu (bulan 5) aku beli tiket Coldplay sebab ini. Sebab motif dan tujuan konsert dia lain dari yang lain. Takde terdetik pun kat mana-mana pembeli tiket untuk menyokong 🏳️🌈. Aku memang suka pegi konsert, dan aku juga merupakan freelance writer untuk mana-mana konsert yang aku pegi. Menikmati muzik itu salah satu terapi bagi aku. Itu minat aku. Raikan perbezaan selera minat kita. Jangan kerana salah faham anda menyebabkan jari anda menaip sesuatu yang tidak indah dibaca. ☺️☺️☺️ #coldplaykualalumpur #coldplaykualalumpur2023 #coldplayliveinmalaysia #coldplay #coldplaymalaysia2023
Secara jujurnya bagi penulis yang berpeluang menonton konsert Muse di lokasi yang sama beberapa bulan yang lalu, feel menikmati muzik itu menjadi kurang sampai apabila melibatkan kualiti bunyi. Untuk yang jarang ke konsert mungkin tidak akan merasakan perbezaannya. Namun begitu, penulis berpuas hati kerana Coldplay bijak mengalihkan perhatian penonton daripada menikmati kualiti bunyi semata-mata. Selain suara Chris Martin yang sememangnya merdu walaupun tanpa kualiti bunyi lima bintang, elemen-elemen persembahan menggunakan teknik warna lampu, bunga api, makhluk asing, puppet yang jelita, konfeti dan paparan skrin yang menarik sudah cukup untuk kita maafkan sedikit kekurangan ini.
2. Konfeti
Konsert Coldplay yang luar biasa ini juga menyelitkan elemen taburan kertas konfeti di udara. Slot ini adalah antara slot yang membuatkan penonton menjerit keriangan dan terpesona dihujani kertas konfeti berwarna-warni di udara. Kertas kofeti yang digunakan bukan kertas biasa ya. Ia merupakan kofeti yang dibuat menggunakan bahan mudah urai di mana bahan ini ialah bahan mesra alam dan merupakan formula untuk mengurangkan bahan kimia berbahaya kepada alam. Konfeti ini juga dibuat dalam pelbagai bentuk mengikut kesesuaian muzik seperti bentuk petak, bintang dan rama-rama. (Kredit video tiktok: Arif Eddy)
@arifeddy Can’t move on, beautiful sight indeed 😭 #Coldplay #ColdplayKualaLumpur #ColdplayMalaysia #coldplayliveinmalaysia
3. Xyloband
Setiap penonton yang hadir dibekalkan dengan gelang tangan xyloband yang mengeluarkan cahaya LED berwarna-warni mengikut rentak muzik. Xyloband ini dibuat menggunakan bahan kompos tumbuhan. Ia juga perlu dipulangkan semula selepas tamat konsert untuk memastikan ianya dapat diguna semula oleh penonton di tempat lain pula bagi menyokong kempen kitar semula. Di skrin ditunjukkan paparan peratus pemulangan xyloband bagi setiap negara bagi memberi galakan kepada penonton memulangkan xyloband ini. Setakat waktu artikel ini ditulis, pihak Coldplay belum mengeluarkan jumlah pemulangan xyloband di Malaysia. (Kredit video tiktok: rumahtanggaai)
@rumahtanggaai Its like a heartbeat 🥹 #coldplaykualalumpur #coldplaykualalumpur #coldplayconcert #coldplayworldtour2023 #coldplayliveinmalaysia #coldplayliveinkl #coldplay #coldplayasiatour2023
4. Pesta Tarian Kinetik
Bagi penonton yang membeli tiket free standing, mereka dapat menikmati satu pengalaman luar biasa di mana penonton boleh membantu persembahan Coldplay menjana tenaga elektrik menerusi Lantai Tenaga dan Basikal Pegun. Penonton hanya perlu melompat di atas Lantai Tenaga ini atau mengayuh Basikal Pegun untuk mengecas tenaga elektrik yang digunakan sepanjang persembahan Coldplay berlangsung. Sebelum konsert, penonton tidak akan bosan kerana mereka boleh bersama-sama membantu Coldplay mengecas tenaga ini sambil melihat paparan wajah sendiri di skrin. Sorakan bergema apabila kelihatan ada yang bersungguh-sungguh mengayuh atau melompat apabila wajah mereka terpapar di skrin.
@fidaraha Lantai Tenaga. Seru kawan orang yang ada kat skrin. Sori kualiti video kureng sebab guna 2nd fon. Fon 1 lagi nak jimat bateri 😂😂😂#coldplaykualalumpur #coldplayliveinmalaysia #coldplayconcert #coldplay
5. Stesen Air Minuman
Berbeza dengan konsert-konsert lain yang membuatkan penonton kehausan, di konsert Coldplay ini mereka menyediakan Stesen Air Minuman agar penonton kekal bertenaga dan tidak dehidrasi sepanjang konsert. Bagi penonton yang menonton dari kawasan tempat duduk, mereka juga digalakkan untuk membawa botol minuman sendiri dan membuat isian semula di stesen air minuman yang disediakan.
6. Hasil jualan tiket dikembalikan kepada alam sekitar
Sebelum Coldplay memulakan persembahan, mereka memaparkan tayangan video yang menyatakan tujuan mereka mengadakan konsert ini. Hasil penjualan tiket siri jelajah dunia ini akan disalurkan kepada beberapa pertubuhan untuk tujuan penghutanan semula, pemuliharaan dan pembersihan laut dan sungai, pemulihan semula tanah, penangkapan karbon dan teknologi hijau. Antara yang projek yang dipaparkan di skrin adalah Penghutanan Semula Sacred Valley di Cusco, Peru, Pembersihan Sungai Klang di Klang, Malaysia dan Pemulihan Laut di Loch Craigbish, Scotland.
@fidaraha The Ocean Cleanup by Coldplay Sungai kita tuuuu… Orang lain yang beria bersihkan… #coldplayconcert #coldplayliveinmalaysia #coldplaykualalumpur #coldplaykualalumpur2023 #coldplaymalaysia2023
Penulis sebenarnya tidak berniat menulis panjang. Nanti disalah tafsir sebagai penyokong band LGBT pula. Maaf, penulis bukan peminat nombor satu Coldplay ya. Penulis hadir untuk melihat sendiri kelainan yang dipersembahkan oleh band yang telah memenangi banyak anugerah ini. Tutur kata vokalisnya, Chris Martin yang lembut, sopan dan teratur serta cukup menghormati budaya negara ini harus dipuji. Chris juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membenarkan konsert ini berlangsung dan juga berterima kasih kepada penonton Malaysia yang sudi hadir. Tidak lupa untuk berpantun dan menyebut beberapa perkataan tular di Malaysia seperti ‘Healing‘, aksi Chris ini membuatkan penonton terhibur serta melupakan sebentar rintik hujan yang tidak putus membasahi kawasan stadium sejak waktu petang.
@fidaraha Coldplay sekarang di Kuala Lumpur Payong lagu favourite anda Hahahhahaha comel #coldplayliveinmalaysia #coldplaykualalumpur2023 #coldplaykualalumpur
@fidaraha Sape ajar Chris cakap healing ni 😂😂😂 #coldplaykualalumpur #coldplaykualalumpur2023 #coldplayliveinmalaysia
Kepada netizen yang berbalah di ruangan komen media sosial, penulis berasa amat kesal. Sedikit pun tiada ajakan untuk menyokong LGBT sewaktu konsert Coldplay di Malaysia. Mereka pun cukup menghormati garis panduan yang ditetapkan di negara ini.
Seperti artikel penulis sebelum ini, https://musicaddicts.my/coldplay-kontroversi-pro-palestine-dan-lgbt/, tidak dinafikan Coldplay ada menyokong LGBT, tetapi ini kerana selain mementingkan alam sekitar, mereka juga mendukung nilai kemanusiaan yang tinggi dan mengharapkan kesamarataan hak setiap manusia, termasuklah hak menjadi LGBT. Sebagai umat Islam yang menolak sekeras-kerasnya LGBT ini, penulis juga tidak bersetuju dengan idealogi mereka. Namun begitu, penulis memilih untuk melihat kebaikan lain yang ditonjolkan oleh Coldplay yang mana belum tentu ada insan lain yang berusaha bersungguh-sungguh seperti mereka.
Raikan perbezaan pendapat dan bersama-samalah kita berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan tanpa perlu mengecam orang lain secara membabi-buta.