Sebagai penggemar dan pemerhati konsert dan muzik, penulis gembira melihat Johor Bahru sudah mula menjadi hub kepada aktiviti seni seperti ini. Penganjur sudah mula yakin untuk menganjurkan konsert-konsert besar seperti ini di sini, bukan lagi tertumpu di ibu kota Kuala Lumpur.
Penonton yang majoritinya hadir dari Johor dan juga seberang tambak, Singapura, tidak melepaskan peluang untuk turun padang memberikan sokongan kepada acara Voyage of Asia yang menampilkan Search dan XPDC, walaupun Search versi ini bukan dari formasi kumpulan yang asal.
Di sini penulis ingin menyenaraikan momen-momen yang menarik sepanjang konsert yang telah berlangsung pada 25 November 2023 ini:
1. Search Voyage of Asia diadakan bersekali dengan Hari Rock Negara edisi selatan. Ia diibaratkan reunion para rockers dan peminat muzik rock.
2. Rock Karpet untuk VIP sebagai pembuka acara merupakan satu idea yang sangat menarik. Para pemegang tiket VIP tidak ketinggalan untuk bergaya mengikut tema rock dan bergambar di backdrop gergasi selepas menyusuri Rock Karpet yang dihamparkan.
@fidaraha Hari Rock Negara. Search Voyage of Asia.
3. Azan Isyak sebagai pembuka majlis dan slot khas menderma untuk Palestin sebagai pembuka acara. Ini merupakan satu pendekatan yang menarik di mana ia menyedarkan kita untuk masih kekal teguh di landasan yang benar dan tidak melupakan situasi yang berlaku di Palestin.
4. Kemunculan DJ Isma Halil Hamzah sebagai pengacara adalah satu momen yang menarik jika anda mengikuti perkembangan beliau. DJ Isma Halil Hamzah juga memberikan beberapa cenderahati label stesen radio beliau, Bapakku.fm kepada para penonton.
@fidaraha Hidup YB! Anda mau Rock?!!!
5. Kemunculan ADUN Iskandar Puteri, YB Datuk Pandak Ahmad memberi ucapan panjang selama lebih kurang 4:30 minit mengundang resah penonton yang tak sabar-sabar menunggu persembahan bermula. Namun begitu penonton terhibur dengan semangat yang ditonjolkan beliau dan memberikan laungan semangat diselangi dengan hilai tawa. Sehinggakan pertanyaan DJ Isma Halil Hamzah “Anda mahu apa?” Jawapan cliche sepatutnya “Rock!” Tetapi penonton menjawab “YB!”. Hingga tak tentu arah pengacara dibuatnya dengan gurauan penonton.
@fidaraha Anugerah Ikonik Gitar Negara Hari Rock Negara
6. Din Search, atau nama sebenarnya Nordin Taib, memenangi Anugerah Ikonik Gitar Negara sempena Hari Rock Negara ini. Sempat beliau berseloroh sambil melihat hadiah yang diterima dan berkata “Harap dapat hadiah gitar tapi dapat trofi je”. Tahniah diucapkan di atas penghargaan ini.
7. Dari segi tatarias pentas, pujian harus diberikan kepada krew konsert ini kerana mereka menepati kesemua ciri-ciri tatarias pentas yang dikehendaki penonton. Sistem audio juga mantap dan padu serta permainan lampu yang sangat menakjubkan. Saiz dewan digunakan hanya tiga per empat sahaja dan dewan terasa tiada ruang-ruang kosong. Ketinggian pentas yang lebih tinggi dari kebiasaannya juga memberikan satu pengalaman yang puas kepada semua penonton. Penonton yang berdiri belakang stadium juga berpuas hati dengan sudut pandangan yang jelas.
@fidaraha Hari Rock Negara. Search Voyage of Asia. Opening band XPDC
8. XPDC mempersembahkan lagu-lagu yang tidak familiar bagi penulis dan sebahagian penonton lain, namun bagi peminat tegar mereka, hayunan kepala dan gerak mulut mereka cukup memberitahu betapa asyiknya mereka dengan lagu-lagu bawaan XPDC ini.
@fidaraha Padu la siot… #searchvoyageofasia #harirocknegara
9. Vokalis Search Denden wow…luar biasa. Pada nada tinggi, wajahnya langsung nampak tak struggle. Begitu tenang mengalunkan nada tinggi seolah-olah wajah yang sedang berbual kosong. Vokalis yang berasal dari Indonesia ini juga bijak mengawal suasana dengan menggunakan perkataan ‘lanjut’ yang melekat di minda penonton setiap kali mula dan tamat sesebuah lagu. Perkataan ‘lanjut’ menjadi ulang siul penonton selepas beberapa lagu.
Penonton yang hadir meluahkan rasa puas di wajah masing-masing. Ternyata Johor Bahru dahagakan konsert seperti ini lagi. Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur dan krew yang telah berjaya menganjurkan konsert besar seumpama ini. Moga Johor Bahru akan menjadi hub kepada aktiviti seni pada masa hadapan.