
Barisan juri,media serta finalis ALI2024
Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24) kini memasuki fasa paling dinanti apabila 15 lagu terbaik telah diumumkan sebagai finalis utama bagi tiga kategori – Pop, Rock dan Hip Hop. Pengumuman rasmi ini dibuat dalam satu acara tertutup yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix pada 11 Jun 2025 mempertemukan barisan peserta, penggiat industri serta pemerhati seni tempatan.
Memasuki edisi kelima, ALI24 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform penting dalam memartabatkan suara dan karya anak muda dari komuniti muzik indie tempatan, satu ruang alternatif yang memberi makna pada ekspresi di luar arus perdana.

Senarai hadiah yang ditawarkan kepada Pemenang. Kredit foto: Amiruddin Karim
Barisan juri tahun ini dihimpunkan daripada pelbagai latar muzik dan estetika kreatif, termasuk nama-nama terkemuka seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof. Madya Dr. Muhammad Sayyid dan Wing Meng. Gabungan pengalaman mereka menjadikan proses penilaian lebih seimbang.
Penjurian menggabungkan suara profesional dan suara rakyat — 70% daripada juri, 30% dari undian awam di laman rasmi ALI. Daripada 630 penyertaan yang diterima tahun ini, hanya 15 lagu terbaik berjaya menempah tempat ke Pentas Akhir ALI24.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Adam Adli Abd Halim
ALI24 turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan, Rakan Muda, Gaya Hidup Rakan Muzik serta radio rasmi Rakita 107.9.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Adam Adli Abd Halim dalam ucapannya berkata,
Saya berpendapat bahawa ALI merupakan sebuah platform yang sangat signifikan dalam dunia muzik indie, di mana anak muda bebas mengekspresikan bakat dan identiti mereka tanpa perlu tunduk kepada kehendak arus perdana dan kami akan sentiasa menyokong inisiatif seperti ini.

Penerbit Eksekutif ALI, Ahmed Faris Amir
Menurut Penerbit Eksekutif ALI, Ahmed Faris Amir, peningkatan penyertaan menunjukkan pertumbuhan positif dunia muzik indie Malaysia.
“Sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2020, Anugerah Lagu Indie kekal meraikan dan membuka laluan buat karya dalam dunia muzik indie tanah air, tidak kira genre. Tahun ini, ALI berjaya menerima 630 penyertaan lagu, satu petanda positif terhadap perkembangan dan penerimaan muzik indie di Malaysia dan hanya 15 daripadanya berjaya dipilih sebagai finalis di Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie 2024 yang akan diadakan pada 27 Julai 2025 nanti.”

Penerbit Eksekutif Bersama ALI 2024, Jennifer Thompson
Jennifer Thompson, selaku Penerbit Eksekutif Bersama ALI pula menegaskan bahawa penilaian memberi fokus kepada keaslian dan kualiti keseluruhan karya.
“Anugerah Lagu Indie menilai penyertaan berdasarkan kualiti keseluruhan sesebuah lagu, termasuk keaslian lirik dan muzik. Kesemua lagu yang kami terima telah dinilai oleh barisan juri profesional berdasarkan komponen penilaian sebanyak 70%, dan melalui undian awam di anugerahlaguindie.com.my sebanyak 30%.”
Turut bersama mengangkat semangat muzik indie tempatan adalah rakan-rakan media seperti Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS.

Rakan Media Strategik ALI2024
Jangan lepaskan Pentas Akhir ALI24 pada 27 Julai 2025, disiarkan secara langsung di YouTube rasmi Anugerah Lagu Indie, dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Senarai penuh 15 Finalis Anugerah Lagu Indie 2024 seperti berikut:
SENARAI 15 FINALIS ANUGERAH LAGU INDIE 2024
Kategori Hip Hop Terbaik
- Different Worlds – Bubba D
- Shh Shh – B-Heart
- Good Day – Fusion Cypher House
- Malayhood – Bear B
- OK-GO – Pikabu
Kategori Pop Terbaik
- I Got A Woman – Reubben Chelvan
- Dewasa Yang Ku Impikan – Umar Akmal
- Jangan Merajok – Max Brandon
- Ke Akhirnya – Fimie Don
- TV Show – Odelia Tirza
Kategori Rock Terbaik
- Bola Si Ernie – Teh Tarik Senja
- Senandung (ft. Otam) – Mafidz
- Bima Sakti (ft Dhenaldi Savirio) – Crazy Grizzly
- Anatheama – Inversion
- I,Suffocate – (ft Amanda Love & Ewan Roslan) – An Honest Mistake
Malam kemuncak yang penuh suara, semangat dan seni. Dilaporkan sebanyak RM 36,000 hadiah wang terkumpul dimana juara lagu terbaik akan membawa pulang sebanyak RM 15,000. Jangan lupa menyaksikan pertandingan ini!