Di tengah hiruk-pikuk dunia muzik alternatif tanah air yang semakin sarat dengan pengaruh luar dan suara generik, hadir satu kolektif dari Ampang, Selangor yang membawa naratif berbeza iaitu Insiden Ruang Legar atau IRL, dengan karya sulung mereka Semesta Menggila. Album ini bukan sekadar sebuah rilisan biasa, tetapi merupakan hasil perjalanan kreatif dan emosi yang panjang, disusun dengan penuh ketelitian dan ditenun dengan semangat tradisi serta suara hati generasi muda.
Sejak ditubuhkan pada Julai 2022, IRL telah melalui banyak fasa perubahan. Apa yang pada asalnya dirancang sebagai projek EP pendek selepas kejayaan lagu “Arah Baru” akhirnya berkembang menjadi sebuah album penuh hasil daripada simpanan lagu-lagu yang semakin bertambah dan rasa “rugi” jika dibiarkan begitu sahaja. Ini bukan keputusan mudah, tetapi lahir daripada naluri seni dan keinginan untuk menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja bernilai kepada pendengar, tetapi juga kepada diri mereka sendiri sebagai pencipta.
“Kami merasakan sangat rugi bila lagu dah banyak tapi pendengar tak tahu, dan kami memilih album demi kepuasan halwa telinga dan citarasa semua.”
“Semesta Menggila” sebenarnya adalah lagu pertama yang mereka hasilkan untuk IRL. Namun menariknya, ia bukanlah lagu yang mula-mula diriliskan. Menurut IRL, pada ketika itu, gitaris mereka merasakan lagu itu belum cukup kuat dari segi susunan, dan oleh sebab itu “Arah Baru” diberi laluan terlebih dahulu. Kini, setelah melalui proses pembaikan dan penstrukturan semula, lagu tersebut bukan sahaja diberi nafas baharu, tetapi juga dipilih sebagai tajuk album kerana merupakan satu simbolik kepada segala kekacauan, keresahan dan kebangkitan yang membentuk identiti muzik mereka.
Album ini dirakam di Ruang Mekar Studio dan disempurnakan oleh Hazeeq Azhar serta Taja Mustapha untuk proses mixing dan mastering. Pemilihan Hazeeq bukan satu kebetulan, tetapi keputusan yang datang daripada rasa percaya terhadap hasil kerja beliau bersama Dataran Kertas. “Dia faham betul vibe dan paten IRL,” ujar mereka, merujuk kepada keserasian kreatif yang tercipta apabila sesebuah projek dimulakan dengan individu yang mereka benar-benar kenal. Ia bukan soal teknikal semata-mata, tetapi semangat dan kesetiaan terhadap visi bersama.
“Hazeeq ni kami kenal sejak dari Dataran Kertas lagi iaitu kugiran beliau. Bila kami mendengar, segala rasa yang kami simpan selama ni rasa seiring dengan perjalanan beliau. Dan kami juga suka bila bekerja dengan orang yang ada semangat bukan sekadar buat dan selesaikan.”
“Semesta Menggila” membawa pendengar ke satu dunia sonik yang berlapis, introspektif dan penuh sentuhan lokal. Dari satu sudut, ia menyuntik elemen Midwest emo yang sering dikaitkan dengan nuansa kesedihan dan keterasingan, namun pada masa yang sama, IRL menambahkan sentuhan tradisional Melayu dan Nusantara ke dalam komposisi mereka. Ini dapat dilihat dalam penggunaan skala pelog, motif folklore serta pendekatan lirik yang puitis dan bersifat peribadi. Bagi IRL, ini bukan hanya gaya — ini adalah warisan yang harus dikekalkan. “Kita memang nak share benda traditional, tak nak hilang dari perjalanan muzik kita,” jelas mereka.
Apa yang menjadikan IRL menonjol ialah keupayaan mereka untuk menjadikan pengalaman hidup sebagai bahan mentah muzik. Setiap lagu dalam album ini mengandungi naratif yang menyentuh, penuh emosi dan dekat dengan realiti. Lagu “Semesta Menggila” mengisahkan perjuangan batin seseorang yang bergelut dengan kegelisahan dan kehilangan kedamaian, lalu menemukan ketenangan dalam kehadiran seorang insan istimewa yang menjadi penenang di tengah kekacauan dunia. “Arah Baru” pula menyuntik semangat kebangkitan selepas kejatuhan, menyeru agar kita tidak lagi terperangkap dalam bayang-bayang masa lalu dan percaya kepada harapan baru. Dalam “Percaya”, pendengar dibawa menelusuri kekecewaan terhadap pengkhianatan dan kepalsuan, tetapi dalam masa yang sama menyerlahkan keteguhan untuk tetap bermaruah sambil lagu “Gojet” menyeru kepada perdamaian dan penghapusan rasa curiga untuk mencapai kebahagiaan sejati. Selebihnya? Sila dengar sendiri dan fahami setiap isi lagu-lagunya.
Seni visual album ini turut menyumbang kepada kekuatan keseluruhan naratif IRL. Farid Jasni, artis visual yang diberi tanggungjawab untuk mencipta karya seni muka hadapan, berjaya menangkap esensi album ini dengan sentuhan yang segar dan mendalam. IRL tidak mengambil ringan soal estetika, malah mereka melihat muzik dan visual sebagai satu pengalaman menyeluruh yang tidak dapat dipisahkan.
Ketika ini, IRL sedang dalam fasa promosi album dan merancang untuk melancarkan merchandise rasmi serta jelajah mini ke beberapa lokasi dalam negara. Album mereka sudah tersedia di Spotify, tetapi versi fizikal dijangka hadir tidak lama lagi bersama beberapa kejutan tambahan untuk para peminat yang membuat pra-tempahan. Keghairahan mereka untuk terus bergerak bukan sekadar strategi pemasaran — ia lahir daripada rasa cinta yang mendalam terhadap muzik dan keinginan untuk terus berinteraksi dengan komuniti pendengar.
Sebagai seorang penulis dan pendengar, saya melihat IRL sebagai sebuah band yang jujur, berani dan mempunyai visi yang sangat jelas. Mereka tidak hanya menghasilkan sekadar lagu namun mereka bercerita. Mereka tidak takut untuk menyentuh luka, dan tidak malu untuk menyuarakan cinta. Susunan muzik mereka mengalir dengan baik, vokal yang penuh ekspresi dan lirik yang mudah meresap ke dalam hati. Cuma, saya yakin mereka masih ada ruang untuk berkembang dengan potensi dan idealisme yang mereka miliki. Saya percaya Insiden Ruang Legar boleh pergi jauh, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau Asia Tenggara dan lebih jauh lagi.
IRL bukan sekadar mencipta muzik, mereka mencipta ruang. Ruang untuk emosi, untuk budaya, untuk memori. Dan dalam ruang itu, semestanya menggila… tetapi tetap indah.
Ikuti Insiden Ruang Legar di: