Dataran Merdeka bakal menjadi pentas utama meraikan kepelbagaian budaya muzik serantau apabila ASEAN Youth Concert berlangsung hujung minggu ini pada 14 dan 15 Jun 2025 bersempena sambutan Hari Belia Negara 2025.
Konsert ini menghimpunkan 10 barisan artis mewakili negara-negara ASEAN, menampilkan pelbagai genre dan persembahan daripada muzik pop, hip hop, funk, disko, grunge dan persembahan tari kontemporari.
Malaysia akan diwakili oleh kugiran grunge lagenda tanah air, Butterfingers, band alternatif pop Fugo, kumpulan rentak harmonis Voice of Percussion, serta kumpulan tarian profesional Zeppo Youngsterz.
Barisan artis ASEAN yang turut serta termasuk:
- Akeem (Singapura) – hip hop
- Aziz Harun (Brunei) – penyanyi dan penulis lagu muda berbakat
- Diskoria (Indonesia) – DJ duo terkenal dengan gabungan pop, funk dan disko
- Giana (Vietnam)
- Jarvis (Thailand)
- Morobeats (Filipina)
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memainkan peranan sebagai tuan rumah Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, sekaligus memperkukuh hubungan serantau melalui ekspresi seni dan budaya belia.
Konsert ini adalah percuma dan terbuka kepada semua, tanpa sebarang bayaran dikenakan. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan konsert ini. Bawa kerusi ‘healing’, dan nikmati suasana santai bersama rakan dan keluarga sambil dihiburkan oleh artis-artis serantau di jantung kota Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman media sosial rasmi JBSNegara dan KBS Malaysia.