Rindukan muzik Punk Rock yang mentah dan kasar? Untuk ulasan kali ini, kami bawakan sebuah unit yang direalisasikan oleh tiga orang anak muda berjiwa berani mengambil keputusan pada tahun 2017 untuk menubuhkan band yang dikenali sebagai The Rags. Kugiran ini baru sahaja melancarkan EP Backstabber di laman YouTube dan Spotify mereka pada 1 Ogos 2022.
Sedikit pengenalan, The Rags dianggotai oleh Anwar sebagai gitaris/vokalis, Alep sebagai bassist/vokalis, dan Izzat Twa sebagai pemain dram. Mereka aktif menyertai beberapa siri gig di sekitar Kuala lumpur dan Melaka pada tahun 2018. Lebih manis, mereka juga pernah menjadi band pembuka buat Sekumpulan Orang Gila di Melaka ketika siri Jelajah Dermaga . Sebelum EP ini dikeluarkan, mereka juga pernah melancarkan beberapa single iaitu Backstabber, Intro dan Guna Akal menampilkan Ku Azri.
Bercerita tentang rilisan terbaru mereka, EP ‘Backstabber’ yang memuatkan lapan buah yang ditulis oleh Izzat Twa manakala liriknya ditulis oleh Anwar, Alep dan Ku Azri untuk lagu Guna Akal. Untuk proses produksi pula mereka melakukan secara kendiri bagi mendapatkan kepuasan maksimum untuk karya ini. Menurut Anwar:
Kebanyakan lirik yang kami tulis adalah berdasarkan kehidupan masyarakat dunia, kerenah & perangai manusia, ambil mudah, nak kaya, muslihat, berkenaan ketidak adilan dan ketidakpuasan hati.
EP ini secara keseluruhan telah disuntik penuh dengan semangat dan bait-bait lirik dalam lagu-lagunya agak bagus serta tidak bercelaru. Bukan itu sahaja, penulis menggemari cara vokalis melontarkan vokal dengan bersahaja walaupun terdapat off key di beberapa bahagian. Namun setelah mendengar berulang kali, banyak elemen yang mereka perlu perbaiki lebih-lebih lagi di bahagian bunyi dan kualiti instrumen di mana ada beberapa lagu yang bunyinya naik turun dan tidak sekata lebih-lebih lagi di bahagian bass. Pendek kata, sound EP ini memang barai, kualitinya seperti mendengar demo di tahun 90an. Ingat lagi bunyi sebu kaset?
Bagi sesetengah orang, lebih-lebih lagi yang membesar di era 90an dan awal 2000an, sound sebegini memang dicari kerana estetika dan keunikannya yang tidak terdapat dalam rilisan profesional. Tetapi, seiring perubahan zaman dan teknologi, generasi baharu mungkin melihat visi sebegini sebagai ketinggalan zaman dan kokak.
Pada hemat penulis, tidak salah untuk merekod lagu secara DIY namun pastikan adunan dan mastering yang dikeluarkan juga bagus. Penulis mencadangkan supaya hantar lagu yang akan datang kepada jurutera bunyi yang berpengalaman agar hasilnya lebih mantap. Keseluruhannya, EP ini boleh diterima dan boleh diperbaiki lagi di masa akan datang. Kegemaran penulis? Hipokrasi dan Guna Akal menampilkan Ku Azri. Selebihnya? Kalian harus dengar sendiri di YouTube dan Spotify mereka.
Sejujurnya, EP ini bukanlah sesuatu yang gagal malah penulis puji kesungguhan The Rags mengangkat genre punk rock dalam nuansa nostalgia. Namun jika diasah sedikit lagi dalam kualiti produksi dengan izin Tuhan, hasilnya akan menjadi lebih bagus.
Tahniah buat The Rags atas pelancaran EP Backstabber. Semoga kalian dirahmati Tuhan dan teruskan usaha kalian dalam bermuzik. Jangan menyerah kalah kerana ini baru permulaan. Penulis mendoakan agar The Rags mampu berdiri sama tinggi dengan kugiran-kugiran lain di Malaysia. Adios!!!
Ikuti perkembagan The Rags di: