DANGERDISKO kembali menemui peminatnya dengan kehadiran sebuah video muzik (MV) animasi single terbaru mereka, Astral. MV tersebut telah dilancarkan pada 22 Februari 2022 tepat jam 22:22 dengan jangka masa selama 5 minit 03 saat di saluran Youtube rasmi mereka, DANGERDISKO.
Astral merupakan sebuah hasil kerjasama antara DANGERDISKO bersama pereka visual tempatan, Metakaji dan Hyfy. Ia juga turut menampilkan Irena Taib dari kugiran The Impatient Sister sebagai suara latar.
Menurut DANGERDISKO, Astral ialah sebuah lagu yang diilhamkan oleh isu-isu berkaitan vaksinasi. Lagu ini menceritakan tentang pilihan dan akibat yang telah sekian lama membelenggu masyarakat kita.
Jika dibandingkan dengan karya-karya mereka sebelumnya, boleh dilihat bahawa tema-tema lagu DANGERDISKO juga sudah mula menunjukkan tanda-tanda kematangan dan lebih dewasa. Mereka kini lebih selesa menulis tentang isu-isu kehidupan harian, kerohanian malah kesihatan mental.
Sekarang, mari kita selusur wawancara bersama ahli DANGERDISKO, Farez (Robotron 500);
Seperti yang diketahui, Astral telah direkodkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Apa cabaran yang dihadapi oleh DANGERDISKO sepanjang sesi rakaman?
“Pada masa itu, kami dah tak berjumpa dah hampir setahun lebih. Sebagai seorang kreatif, perbatasan untuk berkarya ini adalah suatu cabaran yang sangat hebat. Kami juga tidak dapat lakukan persembahan fizikal. Oleh itu saya telah sarankan Shah untuk membawa komputer peribadinya ke ladangnya dan kita cuba cara menulis muzik yang baru.”
Adakah DANGERDISKO selesa berkarya secara norma baharu?
“Menarik juga berkarya begini. Ia mengingatkan saya pada zaman-zaman muda waktu persekolahan dahulu – saya akan rakam berberapa kerat ‘riff’ dengan gitar, dan pada waktu petang lepas sekolah, saya akan ke rumah Shah dan kongsikan lagu kepada dia. Dia akan melengkapkan lagu tersebut dengan sentuhan tersendiri dia. Oleh itu saya sudah mula kembali berjinak-jinak bermain dengan peralatan muzik seperti gitar dan juga menyanyi. Dulu, saya cuma menyanyi sebagai demo panduan untuk artis lain sahaja, tetapi sekarang saya ingin cuba mencabar diri saya sendiri.”
Apa pendapat DANGERDISKO mengenai sesetengah pendengar yang skeptikal dan beranggapan bahawa muzik elektronik tidak membawa sebarang makna?
“Muzik elektronik ini adalah sebuah kanvas kosong yang boleh digunakan untuk menceritakan aneka cerita. Tidak semestinya lagu elektronik cuma menceritakan hal hal yang tidak berakal. Kami sentiasa cuba menyelitkan sebuah cerita yang mempunyai pengajaran kehidupan di dalam lagu-lagu kami.”
Apa kata-kata terakhir Danger Disko terhadap para pendengar?
“Kami agak berbangga dengan hasil kerja kami ini. Kami mahukan pendengar muzik untuk memahami dan menghayati mesej yang cuba disampaikan di dalam karya kami ini.”
Astral boleh didapati di iTunes, Amazon, Google Play, Spotify, Tidal dan semua platform muzik digital terkemuka. Ikuti mereka di: