
Harmoni! Kredit : Popsicle Records
Dua penghibur ini pernah—dan masih—menjadi fenomena sejak akhir 90-an hingga awal 2000-an. Namun, secara peribadi, kedua-duanya bukanlah dalam senarai artis kegemaran penulis kerana genre yang dibawa kurang menjadi pilihan pendengaran. Walau bagaimanapun, sebagai pendengar kasual, penulis tetap mengenali beberapa lagu hits mereka seperti Rindu Terhenti dan Paling Comel. Tidak dapat disangkal, Shah Indrawan (lebih dikenali sebagai Tomok) dan Siti Nordiana tetap berada dalam kelas tersendiri, mengekalkan pesona dan keunikan mereka dalam industri hiburan.
Dalam konteks ‘not my cup of tea’, pada tahun 2025, sebagai seorang yang lebih cenderung kepada lagu-lagu arus bawah tanah berbanding muzik komersial, penulis mengambil peluang untuk memperluaskan perspektif dan pengalaman muzik dengan menghadiri Konsert Memori Mungkin Berulang baru-baru ini.
Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu peristiwa besar yang menyatukan dua bintang dengan kumpulan peminat setia mereka—Tomokianz dan SNFC—yang terus memberi sokongan tanpa henti sepanjang lebih 25 tahun penglibatan mereka dalam industri. Lebih menarik, konsert ini juga mengambil inspirasi daripada lagu duet mereka yang dilancarkan pada tahun 2024, yang bukan sahaja menjadi siulan peminat, tetapi juga simbol kejayaan dan keabadian legasi mereka dalam dunia seni.

Konsert Memori Mungkin Berulang oleh Tomok & Siti Nordiana
Bertempat di Zepp Arena, Kuala Lumpur, Konsert Memori Mungkin Berulang melabuhkan tirainya pada malam 1 Februari yang lalu, dengan kehadiran lebih daripada seribu penonton yang terdiri daripada peminat setia kedua-dua bintang ini. Dianjurkan oleh Popsicle Records, konsert ini menjadi detik bersejarah kerana buat pertama kalinya mereka disatukan di pentas berskala besar selepas melalui fasa ‘kelahiran semula’ menerusi pertandingan realiti popular, Gegar Vaganza dan All Stars Gegar Vaganza.
Konsert dimulakan sekitar jam 8.30 malam dengan suasana penuh emosi apabila penonton diperdengarkan dengan bacaan puisi oleh kedua-dua bintang utama. Pentas kemudian dibuka dengan sebuah medley instrumental yang menggabungkan melodi lagu-lagu ikonik mereka, membangkitkan rasa nostalgia sebelum kemunculan mereka yang dinanti-nantikan. Sorakan gemuruh memenuhi ruang Zepp KL saat mereka melangkah ke pentas dan mempersembahkan lagu Benang Emas sebagai pembuka tirai, diikuti dengan Demi Cinta Ini dan Cinta Tak Pergi. Persembahan duet mereka yang penuh harmoni dan bertenaga terus memukau penonton, menandakan permulaan sebuah malam yang penuh magis dan kenangan indah.
Pentas kemudian memberikan tumpuan kepada Siti Nordiana, yang tampil memukau dengan persembahan solo menerusi lagu Tatasuria, Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai. Dalam segmen ini, Nana—panggilan mesranya—kelihatan sedikit goyah pada lagu pertama, namun dengan profesionalisme dan semangat yang tinggi, beliau bangkit menguasai pentas, memberikan persembahan bertenaga serta penuh penghayatan dalam lagu kedua dan ketiga, sekali gus memikat hati para penonton yang hadir.

Kredit : Popsicle Records
Penyanyi bertukar pentas, dan kini giliran Tomok kembali menghangatkan suasana dengan persembahan solonya. Dengan penuh keyakinan, beliau menyampaikan lagu Berlari, Aku Datang dan Rindu Terhenti dengan tenaga dan semangat yang luar biasa. Lagu-lagu ini merupakan antara karya yang melonjakkan semula karier nyanyiannya selepas bergerak secara solo dan menjuarai sebuah pertandingan nyanyian yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta.
Di segmen keempat, Tomok dan Siti Nordiana sekali lagi bergabung di atas pentas, kali ini dengan penuh keserasian mendendangkan Kasihmu Seakan BerubahdanHiasan Di Laman Rindu. Suasana semakin gamat apabila mereka berdua membawakan lagu Kill This Love serta medley Kuch Kuch Hota Hai/Koi Mil Gaya, memukau penonton dengan kepelbagaian genre dan gaya persembahan yang bertenaga.
Peminat fanatik yang duduk di kerusi masing-masing tidak dapat menahan keterujaan—mereka bangun, berjoget, dan menyanyi bersama. Malah, ada yang tidak melepaskan peluang untuk meluru ke hadapan pentas dan bergelek sakan, menambahkan lagi kemeriahan suasana. Gamat dan penuh energi!

Penyanyi dan peminat sama-sama happening! Kredit : Popsicle Records

Medley lagu Hindustan. Kredit : Popsicle Records
Segmen solo kembali, kali ini giliran Nana untuk mempersembahkan lagu-lagu yang pernah mengangkat namanya di awal kemunculan dalam industri muzik. Dengan vokal yang penuh emosi, beliau menyampaikan Seribu Setia, PerlukanmudanCinta Hanya Sandaran, memukau para penonton.
Penulis secara peribadi sangat tertarik dengan persembahan Perlukanmu pada malam itu yang disampaikan dengan penuh keadilan dan kesempurnaan, menjadikannya lebih bermakna dan menyentuh jiwa. Sebuah karya yang sarat dengan nilai estetika tersendiri—tanpa ragu, terus masuk dalam senarai lagu kegemaran penulis sebaik sahaja konsert berakhir!
Tomok kemudiannya kembali ke pentas, menggantikan Nana untuk segmen solo terakhir. Kali ini, beliau membuka persembahan dengan penuh penghayatan menerusi lagu hit Almarhum Achik Spin, Janji Kita, sebelum menghangatkan suasana dengan dua lagu popular semasa bersama kumpulan New Boyz iaitu Meraungdan Sejarah Mungkin Berulang.
Yang pasti, suasana di dalam dewan bertukar riuh—seakan-akan histeria! Penonton tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama, mencipta momen nostalgia yang begitu mengasyikkan.

Karisma. Kredit : Popsicle Records
Konsert memasuki segmen terakhir, di mana Tomok dan Nana kembali bergabung untuk mendendangkan dua lagu keramat yang pernah dipopularkan oleh Nana bersama arwah Achik dahulu iaitu Gurauan Berkasih dan Memori Berkasih. Nyanyian mereka berdua pada malam itu benar-benar mengesankan, dengan harmoni yang begitu padu dan merdu.
Pentas kemudiannya ditutup dengan persembahan lagu duet terbaharu mereka, Memori Mungkin Berulang yang berjaya menduduki carta teratas radio tahun lepas, diikuti dengan lagu Paling Comel yang menamatkan konsert dengan penuh gamat dan gemilang, meninggalkan kenangan manis di hati penonton.
Secara keseluruhan, dari kaca mata penulis, sama ada konsert bawah tanah atau arus perdana, kejayaan sesebuah konsert itu tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada peminat yang sentiasa mendukung artis kesayangan mereka. Konsert yang berjaya juga memiliki magisnya yang tersendiri, terutama apabila penyanyi pandai menyusun atur persembahan dan berinteraksi dengan peminat setia mereka. Konsert Memori Mungkin Berulang ini berjaya dengan cemerlang kerana memenuhi semua kriteria yang disebutkan. Tidak ketinggalan, konsert ini turut diiringi oleh pemuzik-pemuzik handalan yang dipimpin oleh Johan John, selaku pengarah muzik pada malam tersebut.
Walaupun genre ‘leman’ bukanlah antara genre yang paling digemari, dan penulis sendiri ada sedikit keraguan terhadap nyanyian Siti Nordiana, konsert malam itu membuktikan sebaliknya. Lagu ‘leman’ yang dinyanyikan dengan tepat dan dalam skala besar ternyata enak didengari. Sebenarnya, suara Siti Nordiana begitu sedap didengar, terutama secara langsung dan berdepan. Asalkan tidak ada tekanan yang terlalu besar, saya yakin beliau mampu menyanyi dengan sangat baik!
Selamat maju jaya kepada Tomok dan Siti Nordiana. Semoga projek muzik mereka yang akan datang mendapat sambutan hebat dan terus diminati ramai, khususnya oleh peminat setia mereka.
Adios.